Menggapai pelangi (PART V)

Bapak dah pencen ketika aku masih kecil. Siingat aku, bila aku bersekolah, bapak dahpun pencen. Tapi semua orang di kampung atau di daerah Lenggong kenal bapak. Selalunya bapa dijemput ke majlis Hari Ibu Bapa. Dalam majlis itu ibu bapa dan guru membincangkan tentang pelbagai perkara. Bapa mesti akan bercakap dalam majlis itu, dia dikira sebagai wakil para ibu bapa, maklumlah bekas guru besar. Entah kenapa, dalam satu majlis itu aku turut serta, tak salah kerana menerima hadiah kerana menjadi juara bola jaring kawasan utara Malaysia. Tiba giliran bapak berucap, dia komen tentang aku. Kata bapak “Anak saya, di darjah enam, wakil pasukan sekolah dan negeri Perak dalam bola jaring. Main memang hebat. Tapi dah jadi macam tomboy… Kebelakangan ini keputusan periksanya menurun. Dapat nombor 20. Patutlah, bila dipanggil namanya dia menjawab “O””O”. Dua kali “O” jadi 20. Sebab itu dapat nombor 20″ Kenapa bapak cakap macam itu? Malunya aku.

Semua hadirin ketawa besar, aku malu sangat. Aku menangis hingga nak pecah kepala. Puas juga cikgu perempuan memujuk aku. Aku tak dengar lagi apa yang bapak cakap lepas itu. Bila balik rumah, aku menangis lagi. Bapak dengan ibu memujuk aku. Bapak kata, bapak tak nak anak bapak dapat nombor corot, kerana aktif dalam bola jaring tapi pelajaran tertinggal.

Lepas itu aku pulun belajar. Keputusan peperiksaan pun meningkat. Dari nombor 20 dapat nombor 8 kemudian nombor 3. Aku cuba nak dapatkan nombor 1 tapi tak upaya. Rozana memang hebat. Dia kekal di nombor satu sejak darjah empat. Aku pernah dapat nombor satu di dalam darjah empat, tapi merosot apabila aktif bersukan. Hairannya Rozana masih di nombor satu, walaupun dia aktif bersukan. Aku tahu aku boleh buat, tapi sedikit malas. Hari ini, Rozana jadi pensyarah kanan di sebuah institusi pengajian tinggi. Aku pula dalam bidang penyiaran. Tapi sejak peristiwa di hari ibu bapa itu, selepas bapak tegur baru aku berusaha lebih. Hasilnya tak mengecewakan.

Jarak rumah aku dengan sekolah agak sederhana jauh. Berjalan kaki, melalui kawasan quarry dekat rumah. Tak terasa takutpun, walaupun hari masih agak gelap, sebelum pukul tujuh pagi. Aku masih ingat, adikku Maznah selalu cakap pada aku, apabila sampai di dekat kuari dan melihat bukit di dekat kuari, dia selalu berangan, di bawa terbang oleh kuda terbang. Aku pula berangan kalau ada sungai mengalir di tepi bukit ini, alangkah bagusnya. Dan malamnya aku bermimpi air mengalir di kawasan kuari di tepi bukit yang hijau ini. Kami tak ada TV hendak ditonton, jadi hidup kami penuh dengan angan-angan. Ibu selalu membawa balik buku cerita. Ada bermacam-macam hikayat yang ibu bawa balik. Setiap hari ada saja buku yang ibu pinjam untuk kami adik beradik baca. Aku yang paling banyak membaca. Agaknya sebab itu aku rajin berangan. Adik juga begitu. Rajin berangan. Jadi apabila berjalan di tengah panas, apabila kita memasang angan-angan, tak terasa jauh pulak jarak di antara sekolah dengan rumah.

Untuk ke sekolah, ada dua jalan. Satu jalan di tengah sawah, satu jalan di tepi kuari. Waktu petang, kami selalu bermain di kuari. Batu yang dikilang bertimbun-timbun. Kami memanjat batu yang telah dikecilkan sebenar ibu jari. Ada juga sebesar bola tenis dan dikelas-kelaskan mengikut saiz. Timbunan batu itu mengadap ke sawah padi yang luas terbentang. Indah sangat tempat itu. Selalu juga kami tengok seorang budak lelaki berbasikal seorang diri lalu depan kami, dari arah sekolah menuju ke dalam kampung kami, terus ke ulu kampung, untuk mandi mandi agaknya di empangan di sungai di dalam hutan di bukit. Budak itu baik sangat. Kami tahu dia ada juga menjeling kami. Tapi tak kisahkan dia. Baik sangat orangnya. Tak sangka pula, budak ini menjadi adik ipar aku bila dah besar dan menamatkan pengajian di UPM. Rupanya dia anak bekas tuan kadi di pekan kami. Maznah adikku bertemu jodoh dengan Zam apabila dewasa. Mereka tak pernah berkenalan, tapi kawan Zam rekomenkan Zam bahawa di Lenggong ini, Maznah gadis yang cantik dan baik tingkah laku. Zam pergi ke rumah, pura-pura nak tengok anak pokok durian kepunyaan bapak yang terkenal baik dan sedap buahnya, rupanya nak tengok Maznah. Hati terpaut dan mereka bertemu jodoh, walau tidak pernah berkawan. Zam anak seorang kadi, baik perangai dan berpelajaran tinggi. Tidak sombong, kuat ibadat dan kami semua menghormatinya. Sekarang mereka dah punya empat anak. Seorang dah tamat pengajian di Universiti Islam Antarabangsa, seorang akan tamat tahun depan di UKM, keduanya dalam bidang kejuruteraan dan seorang baru mendapat 11A dalam SPM dan yang bungsu di darjah empat. Semuanya bijak.

Tak sangka pula aku sekarang menjadi jiran Maznah di Bandar Baru Bangi. Aku membeli rumah bersebelahan saja dengan rumahnya. Kami membuang pagar pemisah kami. Jadi rumah Maznah macam rumah aku sendiri. Rumah aku macam rumah Maznah sendiri. Walau kini aku di tukarkan ke Pulau Mutiara, tapi selalu juga aku balik ke Bangi apabila menghadiri mesyuarat di KL. Rajinlah aku ke rumah Maznah. Kalau balik ke Bangi, tak pernah aku memasak, mesti makan di rumah Maznah. Zam pula peramah dan baik orangnya. Bercerita pasal jodoh mereka Zam pernah cakap, ketika dia berbasikal melalui jalan depan rumah kami di kampung, dia terlihat karpet yang tersidai di varendah. Tertulis perkataan “Cikgu Minah”. “Oo, rupanya tuan rumah ini namanya cikgu Minah” Fikirnya. “Tak sangka pula rupanya cikgu Minah ini yang menjadi ibu mertua saya” Kata Zam. Maznah mendapat jodoh dengan orang dekat. Yang lain dalam 12 adik beradik, tiga lagi kakak dan abang bertemu jodoh dengan orang satu daerah. Mudah juga, tak payah nak bertekak pasal nak balik cuti. Yang lain-lain mendapat jodoh dengan orang luar, sama ada orang Ipoh, orang Sungai Petani, orang Slim River, orang Johor dan banyak lagi. Kini semua adik beradik yang dah keluar daerah. Ada yang bekerja di KL, Shah Alam, di Sabah, Serawak, di Port Dickson , di Ipoh, di Terengganu, di Langkawi dan malah di luar negara. Maznah sekelurga dah tinggal di Jepun tiga tahun, kerana Zam menyambung pelajaran peringkat MA. Aku teringin sangat nak pergi Jepun, masa itu Maznah terbang ke Jepun, aku terbang ke Holland. Dari sana kami berutus surat. Tetapi tidak lama selepas itu aku pula mendapat rezeki tinggal di Jepun. Betapa besarnya nikmat Allah. Aku tak terfikir langsung satu hari aku akan tinggal di sana, di zaman milinium, 1999-2003. Nanti aku cerita kisah itu.

Berbalik kepada bapak. Satu hari bapak pergi jumpa cikgu kelas, ambil aku di sekolah dan bawa aku naik basikal tuanya. Tempat duduk basikal itu besar. Seronok juga duduk di tempat duduk besar tu. Bapak nak bawa aku ke mana agaknya? Fikirku. “Nak buat kad pengenalan” kata bapak. “Bila umur cukup 12 tahun kena buat kad pengenalan.” Itu tahun 1968. Sampai di pejabat daerah Lenggong, akupun diangkat turun basikal. Lepas buat kad pengenalan, bapa bawa ke kantin pejabat daerah. Aku masih ingat bapak order ovaltin untuk aku dan dua biji telur rebus. Itu saja yang aku masih ingat. Bukan apa aku rasa itu minuman yang paling sedap aku pernah rasa dalam hidupku. Bukan tak ada ovaltin di rumah, tapi yang dikedai ini yang paling sedap. Macam masih terasa hingga hari ini. Kenapa? Kadang-kadang ketika aku dah dewasa, aku cuba bancuh oveltin untuk diminum, tapi tak pula terasa sesedap ovaltin di pejabat daerah.

Pernah aku cakap kepada Maznah, aku ingin sangat mengulangi pengalaman lalu. Khususnya dapat nikmati masakan ibu, bersama ibu bercerita kisah lama, minum ovaltin lazat ketika bersekolah rendah. Maznah kata, dia juga teringat masakan ibu ketika kecil-kecil dulu, iaitu ikan bilis di masak rendang menggunakan banyak serai yang dikisar halus, dimasukkan juga daun kunyit. Memang sedap. Sebab itu Maznah memasakkan untuk ibu ketika ibu bersetuju ke rumah kami dua tahun lalu pada hujung tahun 1995, sebelum ibu kembali ke rahmatullah pada Januari 2006 ketika Maznah dan suaminya ke tanah suci Mekah menunaikan Haji. Seronoknya, hari Sabtu dan Ahad ibu tidur di rumah aku, hari bekerja yang lain ibu ke rumah Maznah, kerana Maznah suri sepenuh masa. Jadi kami dapat bermanja dengan ibu sebulan lamanya, setelah sekian lama ibu yang tinggal di kampung bersama adik bungsu kami. Selepas sebulan ibu nak balik kampung kerana rindu kepada adik bungsu kami Pin dan isterinya Bah juga anak mereka Haikal yang baru berusia 2 tahun ketika itu. Rupanya bukan saja rindu kepada Pin dan keluarganya, bahkan ibu ditakdirkan akan pergi menemui ilahi beberapa minggu selepas sakit dua minggu, sakit tua kata doktor. Ketika itu usia ibu dah mencecah 83 tahun. Hancur luluh hatiku ketika ibu pergi. Tak dapat lagi menatap wajah ibu, tak dapat melepaskan rindu kepada ibu. Maznah lagi parah. Berita kematian ibu diterima ketika dia di tanah suci Mekah. Setiap hari dia beribadat, dan setiap hari mendoakan ibu. Selalu juga katanya kesedihan tak dapat dibendung, hingga tidak dapat menumpukan perhatian kepada ibadat. Akhirnya Maznah pergi bersolat dan berdoa di depan Multazam, memohon kepada Allah agar kesedihan itu hilang dan akhirnya dia dapat menumpukan ibadat sepenuh hati dan menghadiahkan arwah ibu dengan seluruh isi al Quran. Hingga kekadang, di tanah suci itu, Maznah termimpi berjumpa ibu dan mendakap tubuh ibu. Katanya ia seolah bukan mimpi, tetapi seperti dunia nyata, dapat merasa kehangatan tubuh ibu dan mencium bau wangi ibu yang kelihatan manis menawan.

Ibu memang hebat. Wanita yang tabah dan usia tuanya dihabiskan dengan beribadat dan membaca Quran. Hingga lusuh naskah Quran milik ibu, kerana beratus kali habis dan habis dibacanya. Ketika ibu masih larat, sihat dan sudah pencen, ibu panggil ustaz mengajar agama di rumah. Ramai jiran dan kenalan datang ke rumah untuk belajar agama. Selepas habis kelas agama, ibu dan jiran menghidangkan makanan sumbangan jiran, kenalan juga sumbangan ibu sendiri untuk dinikmati bersama. Kalau tak salah ketika itu masih belajar di tingkatan 6 di Taiping. Jika balik cuti, aku turut sama menghidangkan makanan selepas ikuti kelas agama. Memang bagus kelas begini. Ustaz yang mengajar memang bertauliah. Seorang ustaz yang dah lama bersara sebagai guru agama. Sebelum minum petang, sesi soal jawab dibuka. Ramai yang mengemukakan soalan. Aku masa itu masih remaja. Bukan pandai sangat nak menghayati kelas yang baik ini. Aku kemukakan soalan dengan niat nak kenakan jiran yang aku tak suka. Ramailah yang menjeling. Seorang jiran sekampung pula bertanya soalan, “Apa hukumnya gadis memakai gaun pendek.” Ambil aku. Aku tahu ditujukan soalan kepada ustaz untuk perli aku. Gadis kampung, bersekolah Inggeris, dan anti baju kurung ketika itu. Lepas ustaz memberi jawapan panjang lebar, aku mulai sedar, bahawa memang aku berdosa kerana tidak turup aurat. Tak lama selepas itu aku menutup aurat. Ikhlas kerana Allah. Hatipun jadi tenang. Ibu gembira. Hubungan dengan jiran tetangga baik. Apabila aku dapat melanjutkan pelajaran ke UM, ramai yang mendoakan aku berjaya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: