CINTA DI TOKYO (Part 3) “Sejuknya…”

Kebas rasanya tangan apabila menyentuh air. Aduh…Nasib baik dicampur air panas. Selesai saja mengambil wuduk, cepat-cepat dicapainya tuala kecil yang tersangkut di ampaian kecil bersebelahan ruang sempit yang menempatkan sinki dan cermin muka. Ish, ruangan ini sejuk sungguh. Kalau di dalam bilik, siap dipasang alat pemanas seperti selimut eletrik, karpet eletrik dan alat pemanas udara, daripada alat pendidingin udara, yang bertukar fungsi dalam musim sejuk menjadi alat pemanas, tapi di ruang kecil selebar empat kaki dengan panjang tujuh kaki ini, sejuk yang teramat sangat.

Mudah juga tinggal dirumah sempit Jepun ini, semuanya boleh dicapai dengan tangan. Sungguhpun sempit, namun kemudahan dan ‘finishing tauch’nya semuanya sempurna. Sebab itu agaknya harga sewa rumah di sini mahal? Selain berada di tengah-tengah kota Metropolitan Tokyo, rumah kecil yang dibuat daripada papan ini lengkap segala-galanya. Tak hairanlah sewanya mencecah 125,000 yen…kira-kira RM 4,200 sebulan. Kalau di Malaysia harga sebegini dah boleh duduk rumah banglow, detik hati Alisa.

 

Lamunannya terhenti. Dia mendengar suara anak kecilnya menangis. pantas dia berjingkit masuk melalui pintu pertama dari ruang pintu masuk depan ke dalam bilik. Ditepuk-tepuknya punggung anak comel itu. “Shhh, tidur, tidur…” Cahaya lampu dari ruang depan dan dapur menyuluh pipi monggel anak comel itu. Nasib baik terlena balik anak kecil berusia 2 tahun setengah itu. “Alhamdulillah”.

 

Dia melangkah perlahan ke ruang tamu. Dibentangnya sejadah, dan dicapainya telekung. Subuh kian meninggi. Dia mengangkat takbir menunaikan solat subuh di pagi yang dingin. Dia berdoa panjang-panjang, agar hari-hari yang mendatang akan membawa sinar dalam hidupnya bersama-sama anaknya yang masih kecil.

 

Ya Allah, ampunlah dosa-dosaku, dosa kedua ibu bapaku dan dosa muslimin dan mulismat. Ampunkan dosa anakku. Jadilah dia anak yang solehah. Kurniakan kehidupan kami  yang lebih bahagia di rantau ya Allah” bisik hatinya. “Aku bermohon kepadamu, agar kebahagiaaan ini dipanjangkan hingga bila-bila…”

 

Selepas berdoa, Alisa teringat kepada Aishah…Mahu digerakkan gadis manis berhidung mancung dan bermata galak itu bangun bersembahyang. Namun ia teringat, kata Aishah siang tadi, dia uzur. Biarkanlah dia tidur, tambahan dalam cuaca yang dingin hingga ke tulang sum sum ini. Fikirnya.

Hati Alisa rasa berbunga ketika melihat salji memutih dalam kedinginan subuh yang masih kelam. Dia menjengok ke luar rumah melalui tingkap cermin di kepada tidurnya. Aduh, cantiknya alam maya ciptaan Allah…Memutih di sana sini. Rumahnya mengadap bukit di belakangnya. Dan bukit itu memutih diselaputi salji. Empingan-empingan salji masih turun. Semakin lama semakin lebat.

Dia ke bahagian dapur yang mengadap ke lorong di depan rumahnya. Diselaknya tingkap rumah. Tingkap yang ada dua lapis. Lapisan pertama tingkat cermin, lapisan kedua diperbuat daripada logam ringan, yang bertujuan untuk menutup daripada cahaya matahari musim panas yang muncul awal daripada biasa. Musim sejuk di sini, malamnya panjang daripada siangnya. Musim panas pula, siang panjang daripada malam.  

Indahnya suasana ketika itu. Sepanjang jalan dan lorong dipenuhi salji yang kian menebal. Ada dalam dua kaki tebalnya salji kali ini, fikir Alisa. Terasa bagaikan mahu saja dia berlama-lama disitu, namun  kesejukan mencengkam diri. Angin sejuk bertiup masuk. Sejuknya. Cepat-cepat ditariknya langsir yang terselak luas. Ditutupnya tingkap cermin dan tingkap logam itu. Biarkan salji terus mencurah turun…subuh tetap berlabuh dengan suasana damai yang teramat sangat di Tomigaya, daerah Shibuya-ku  di kospomolitan Tokyo ini.

%d bloggers like this: