CINTA DI TOKYO (Part 12) “Miko dan Hendra”

Pasangan suami isteri ini memang secocok. Mereka ditakdirkan bersama walaupun dari dua bangsa berbeza. Seorang dari Jepun dan seorang dari Malaysia. Miko anak seorang diplomat Jepun yang berkahwin dengan wanita Indonesia ketika berkhidmat di Indonesia. Miko bertemu Hendra ketika bapanya bertugas di konsulat Jepun di Kota Kinabalu. Hendra ketika itu bertugas sebagai pemberita sambilan di sebuah stesen penyiaran di Kota itu. Takdir mempertemukan mereka dua tahun lalu. Sepasang suami isteri yang sungguh secocok. Miko cantik sekali. mempunyai kulit yang halus mulus, berhidung mancung, bermata galak tapi tidak begitu tinggi. Kecil molek tubuhnya. Persis wanita Asia yang lain. Tak ada wajah Melayu daripada ibunya wanita Indonesia, tetapi mewarisi wajah papanya lelaki Jepun.

Hendra orang Kota Kinabalu ini memang kacak. Agak tinggi, berkulit sawo matang, berkumis nipis dan mempunyai hati yang sungguh murni. Pasangan inilah merupakan tetamu pertama Alisa ketika mula berpindah ke rumah Jepun di Tomigaya yang terletak di bandar Shibuya-ku di kota metropolitan Tokyo yang besar itu selain Hori san. Oh, ini rupanya Hendra dan Miko pasangan suami isteri yang disebut-sebut oleh Lokman sebelum Alisa terbang ke Tokyo tempoh hari. “Kalau u ada apa-apa yang nak minta tolong, Hendra memang boleh diharap. Dia sekarang bekerja sementara sebagai penyiar di NHK.” Jelas Lokman.

Hendra dan Mikolah yang banyak membantu Alisa dan keluarganya sepanjang di Jepun selain Hori san. Hendra amat menyukai anak kecil. Aini juga rapat dengannya. Begitu juga Miko. Selalu juga apabila tiba hari minggu mereka membawa Alisa dan anak-anaknya berjalan-jalan di banyak tempat di kota Tokyo dan tempat-tempat lain.

Musim panas itu, mereka membawa Alisa dan anak-anak ke rumahnya yang terletak agak jauh dari rumah Alisa. Mereka menaiki keretapi bawah tanah dan melalui beberapa ‘eki’ atau stesen keretapi . Rumah  kayu yang mereka sewa sedikit kecil daripada rumah Alisa. Namun mereka bahagia. Hari itu, Miko mengajar Alisa menyiapkan makanan Jepun ‘tempura’. Dia siap membeli pelbagai jenis sayuran seperti carrot, asparagus, brakoli, cendawan shitaki dan lain-lain lagi. Tidak ketinggalan udang besar dan ikan yang dipotong nipis sebelum dicelup tepung yang dicampur telur dan digoreng dengan minyak yang banyak (deep fried). Semua digoreng satu persatu. Sebaik masak, terus dimakan dengan mencicah sos kicap yang dibeli oleh Miko di kedai depan rumah mereka. Miko berpesan, “Akak jangan masukkan garam dalam tepung ini ya…kerana nanti kita akan makan dengan kicap. Nanti hilang rasa sedapnya sayur-sayuran dan udang yang segar.”

Mereka makan dengan lahap sekali. Aishah kelihatan gembira sekali. “Cah akan masak untuk mak dan ayah bila balik Malaysia nanti.” Ujarnya riang sambil mencicah tempura dengan kicap. Aini juga suka makan tempura. Alisa lagi suka. Lepas satu satu disuapnya ke mulut. Tak Hairan mengapa dia kelihatan montel, suka makan apa juga masakan.

Akhir musim panas pertama itu juga Hendra dan Miko membawa mereka ke kebun oren di luar kota. Mereka menaiki densya/ keretapi dan lepas itu menaiki bas pula untuk sampai ke kebun oren. Beratus-ratus pokok oren ada di situ, dipenuhi dengan buah-buah oren yang masak menguning. Cantik sangat, dari jauh kelihatan seperti pokok berbunga kuning dan jingga. “Kita bayar 3 ribu yen, dan makan sepuasnya. Kemudian kita beli jika nak bawa balik.” Kata Hendra. Alisa bukan main seronok lagi memetik buah oren. Dari satu pokok ke satu pokok dipetiknya. Aini berlari-lari riang di celah-celah pohon oren yang merimbun. Penat juga Hendra mengejarnya. Mereka ketawa riang. Aishah dan Miko juga gembira dan riang memetik buah oren. Mereka makan sepuas-puasnya. Di kebun oren itu juga ada gerai yang menjual ubi keledek Jepun yang dibakar. Rasanya sungguh manis dan sedap sekali. ‘Nihon Ocha’ atau teh hijau jepun dihidangkan percuma.  Apabila hari hampir petang baru mereka beredar sambil membeli oren. Alisa membeli beberapa kilo untuk dibawa ke NHK dan dibawa balik ke rumah. Dia juga menghadiahkan beberapa kilo kepada Miko yang menolaknya, tetapi cuma mengambil sekilo. “Cuma kami berdua saja di rumah kak. jangan terlalu banyak.” katanya dengan loghat Indonesia. Wanita ini berwajah Jepun, tapi pelatnya sebiji pelat orang Indonesia jati.

Mereka berpisah di eki terdekat dengan rumah Alisa di Harajuku dekat Yoyogi Koen atau Taman Yoyogi, taman terbesar di bandar Shibuya. “Akak telefon saja kami jika nak ke mana-mana.” Kata Miko. Alisa melambai tangannya kepada pasangan bahagia ini. Mereka berpisah dengan kenangan manis yang tidak terhingga buat Alisa dan Aishah, juga Aini yang mula menyukai Hendra dan Miko.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: