Archive for February, 2009

CINTA DI TOKYO (Part 23): “Akibat tak faham bahasa…”

Aishah mula suka tinggal di Tokyo. Nampaknya dia dan Aini amat serasi. Sementara ini, Aini belum lagi masuk tadika, biarlah mereka berdua tinggal di rumah ketika Alisa pergi kerja. Namun Alisa berpesan, jangan keluar rumah lagi, kerana takut sesat, tambahan Aishah belum faham bahasa Jepun.

Awal-awal lagi Alisa membelikan radio mini dan recorder untuk Aishah. Bukan apa, Alisa mahu Aishah tidak jemu seharian di rumah. Aini baru pandai bercakap, baru berusia dua tahun setengah, berbanding Aishah berusia 16 tahun. Bimbang juga Alisa jika Aishah jemu dan nak balik cepat ke Malaysia. Siapa nak jaga Aini?

“Eee, mak andak, terima kasih banyak…Chah suka sangat dengan radio ini. Chah nak dengar lagu Arab dan Inggeris yang Chah bawa dari Malaysia” Kata Aishah apabila Alisa menghadiahkannya dengan radio dan player.

Aishah suka sangat mendengar lagu-lagu Arab nyanyian Amr Diab. Alisa juga ‘tumpang sekaki’…sedapnya suara Amr Diab, hanya Allah yang tahu, fikir Alisa. Kekadang Alisa mendengar lagu Amr Diab khususnya lagu Allah Allah, hingga berpuluh kali ketika tidak dapat tidur malam…hingga terlena.

Setiap hujung minggu Alisa akan merancang membawa Aini dan Aishah ke tempat-tempat menarik. Agar Aishah tidak jemu dan nak balik  Malaysia. Sekurang-kurangnya biarlah hingga enam bulan, barulah kalau nak baliknya, fikir Alisa penuh harap.

Dia terus menghiburkan Aishah setiap hujung minggu. Tidak ketinggalan pergi shopping. Satu hari itu mereka ke satu pasar raya yang terletak tidak jauh dari rumah. Kira-kira 20 minit berbasikal. Ketika di bahagian pakaian, mereka memilih sakan.  Waktu dah gelap. Walau masih awal, tapi dah malam, kerana musim sejuk dah tiba. Jadi malamnya panjang berbanding siang.  Selepas Maghrib mereka menaiki basikal ke pasar raya itu. Memilih dan terus memilih pakaian, tanpa disedari rupanya dah hampir jam 9 malam.

Berkali-kali mereka mendengar pengumuman dibuat  menggunakan pembesar suara. Semuanya dalam bahasa Jepun. Malangnya sepatah perkataanpun mereka tak faham. Maklumlah baru dua bulan setengah di Jepun. Biarkanlah, fikirnya.

Alisa rasa hairan juga mengapa tak ada orang membeli belah ketika itu? Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Tinggal dua orang petugas di kaunter bayaran. Mereka bercakap sesama sendiri dalam bahasa Jepun. Alisa tak faham.

Selepas membayarnya mereka beredar. Kedua petugas di kaunter bayaran mengucakpan ‘arigato gozaimas’ sambil terus memberi senyuman manis kepada Alisa. Sampai dipintu keluar, baru Alisa tahu rupanya pasar raya dah nak ditutup. Orang Jepun ini hanya menunggu mereka bertiga saja untuk keluar. Sebaik mereka keluar, pintu sorong besi di tarik. Pasaraya itupun ditutup untuk niaga hari itu.

“Ya Allah, dia orang tunggu kita saja rupanya Aishah” Kata Alisa agak kehairanan dan lucu.

“Hah ah, tinggal kita je?” Aishah tak dapat menahan ketawanya. Begitu juga Alisa. Akhirnya mereka ketawa besar didepan pasar raya itu sambil menuju ke basikal mereka yang diletak tak jauh dari pintu masuk pasarraya.

Sepanjang jalan pulang, sambil berkayuh basikal di laluan basikal melalui depan kedai-kedai dan rumah-rumah kayu dan rumah banglo comel Jepun, mereka ketawa hingga rasa macam nak pecah perut.

“Itulah pasalnya….kita ini tak faham bahasa” Kata Alisa. Mereka terus ketawa.

“Mami gelak apa?” Aini mencelah.  Bingung anak cilik itu melihat ibu dan kakak saudaranya ketawa macam orang gila.

“Tak ada apa.” Celah Aishah. Namun ketawanya makin kuat. Bergelong-gelong basikal yang mereka naiki melalui lorong-lorong di celah-celah rumah berderetan sepanjang jalan.

“Shhhhhhhhh” Alisa cuba mententeramkan diri dan Aishah. Bimbang takut tawa mereka mengganggu orang Jepun yang terkenal dengan kesopanan dan tidak bising mereka.

“Shhhh apa mak Andak…geli hati ini…hah hah hah” Bertambah galak lagi Aishah ketawa. Alisa juga ketawa, makin keras tawanya kali ini.

Inilah akibatnya tidak memahami bahasa tempatan. Tinggal di negara orang, tidak faham bahasa tempatan, akibatnya baginilah jadinya. Dah pasti  pengumuman tadi ditujukan kepada mereka. Cuma mereka tak faham.

“Mungkin dia cakap pasar raya dah nak ditutup…kita pulak dok leka memilih barang lagi.” Alisa masih memikirkan kebodohan mereka.

“Kah kah kah…” Mereka terus ketawa.

“Bisinglah mami.” Jerit Aini.

Mereka katawa dan terus ketawa dalam kegelapan malam yang semakin dingin, sambil mengayuh basikal yang di dalam raga depannya  penuh dengan barang keperluan dapur dan pakaian baru.

KLCC waktu malam…

kham-206KLCC- dari jendela kereta ketika malam.kham-204

Dari jendela Angkasapuri…

Setiap hari waktu bekerja, dari jendela bilik pejabat  di Angkasapuri, saya melihat kereta yang lalu lalang di Lebuhraya Persekutuan, sama ada dari arah Seremban ke PJ atau dari PJ ke Seremban. Saya  boleh tahu jika hari itu berlaku kesesakan lalu lintas di kedua-dua arah itu.

Ketika membuat kerja di depan komputer, dapat sayakham-382melihat keindahan Bangsar. Jika cuaca elok, dapat juga melihat KLCC dengan jelas, namun saya tak nampak dua bangunan, hanya dua bangunan kelihatan seperti satu setengah, kerana kedudukan sudutnya dari arah Angkasapuri.

Ketika kita bekerja, mata kita perlu juga melihat keindahan di kejauhan di luar pejabat. Kita dapat mencari ilham dengan permandangan yang  menenangkan fikiran. Tambahan bidang kerjaku kini memerlukan fikiran yang tenang dan fokus.

Di sini saya nak kongsi permandangan itu…

Tengok Angkasapuri dari Lebuhraya Persekutuan. Ini di ambil oleh Aini anak saya ketika saya memandu ke arah PJ. Satu lagi gambar saya ambil dari bilik pejabat di Angkasapuri…Sekadar berkongsi cerita…kham-293

CINTA DI TOKYO (Part 22): “Faridah san”

Orangnya cantik, bertubuh langsing, sederhana tinggi, berkulit putih, manis dan cergas. Hatinya baik dan kawan yang amat setia.

Alisa mula mengenalinya satu hari pada minggu kedua dia bertugas di NHK. Faridah adalah warga Malaysia yang telah menetap di Jepun hampir sepuluh tahun lebih. Bahasa Jepunnya hebat. Apabila dia bercakap bahasa Jepun, pasti orang Jepun sendiri menyangka dia orang Jepun. Dia datang ke Jepun melanjutkan pelajaran dalam bahasa Jepun di sebuah universiti di Jepun, kemudian meneruskan pengajian di peringkat sarjana dan PHD. Memang hebat orangnya. Gigih dan tak kenal putus asa.

Faridah menjadi sahabat baik Alisa sejak itu. Dia banyak menolong Alisa dalam banyak perkara. Menolong Alisa membawa Aini ke rumah sakit, menjadi penterjemah di antaranya dengan orang Jepun ketika berurusan di kaunter rumah sakit. Juga ketika pergi ke sekolah rendah untuk mendaftar sekolah Aini.

Faridah ada dua orang anak, ketika itu berada di Malaysia bersama suaminya S. D. Faridah selalu meluahkan perasaan rindunya kepada anak-anaknya dan suaminya di Malaysia kepada Alisa. Kadang-kadang air matanya berlinangan. Tapi apakan daya, anak-anak dan suami terpaksa berada di Malaysia buat sementara waktu, kerana suaminya bekerja dan anak-anak belajar agama di sana.

Satu hari Faridah mengajak Alisa dan anak-anak ke rumahnya yang terletak agak jauh di pnggir Tokyo. Mereka menaiki keretapi yang melalui dari satu stesen ke stesen lain. Alisa tidak ingat nama tempat tinggal Faridah. Rumah tempat Faridah tinggal agak luas. Rumah banglow dua tingkat. Di bawah ada ruang dapur dan ruang tamu bertikar tatami. Di atas ada dua ruang, satu ruang santai menonton TV dan satu ruang lagi bilik tidur. Semuanya bertikar tatami. Tidak ada perabut dalam rumah Jepun ini. Kalau tetamu datang, duduk di atas tikar tatami. Selesa, damai dan tenang ketika Alisa berada di rumah Faridah san. Tak ada bunyi bising dari luar kerana sekitar situ semuanya rumah banglow.  Rumah itu Faridah sewa dengan harga murah, kerana tuan rumahnya kenal dengan Faridah. Pendeknya Faridah punyai ramai kenalan orang Jepun yang baik dengannya.

Faridah pandai memasak. Hari itu mereka makan masakan Malaysia  iaitu kari ikan, sayur segar, siap dengan ulam dan sambal belacan.

Rupanya Faridah ada ramai anak angkat Jepun. Dia mengajar bahasa Melayu di salah sebuah universiti di Tokyo. Ramai orang Jepun yang dah pandai berbahasa Melayu. Ramai yang berkunjung ke Malaysia apabila Faridah bercuti dan membawa mereka bercuti dalam projek homestay di kampung Faridah di Johor. Faridah ini kiranya duta kecil Malaysia di Jepun.

Suami dan anak-anak Faridah san datang dan menetap bersama Faridah tidak lama selepas itu. Faridah bertambah gembira. Alisa rajin juga berkunjung ke rumah Faridah. Kali ini Faridah berpindah ke rumah lain yang agak dekat dengan universitinya dan dengan Shibuya tempat tinggal Alisa. Aini sungguh gembira dapat berkawan dengan Fatimah dan Yusuf anak-anak Faridah yang comel. Suami Faridah SD juga baik orangnya. Dia meletak jawatan untuk ke Jepun dan mengajar bahasa Melayu   di sekitar Tokyo apabila di undang. Alisa juga selalu menumpangkan Aini ke rumah Faridah untuk berkawan dengan Fatimah (tujuh tahun) dan Yusof yang sebaya dengan Aini.

Alisa kagum dengan keluarga ini. Keluarga yang sungguh bahagia. Baik dan berbudi bahasa. Alisa suka masakan Faridah. Hebat sungguh wanita ini. Mana nak berkejar ke kelas PHDnya, mana nak mengajar bahasa lagi, mana nak memasak lagi…pendeknya dia ini macam robot, tak kenal penat.

Kak Nyah, kakak Alisa yang datang ke Jepun enam bulan menggantikan Aishah juga kagum dengan Faridah. Ketika Alisa berkunjung ke rumah Faridah bersama kak Nyah dan Aini, Alisa terkejut, banyaknya makanan yang disediakan. Tak sangka, ada roti canai buatan tangan Faridah san sendiri.

Hari itu, Faridah juga menjemput rakan Jepun, alias anak muridnya yang berusia 64 tahun datang ke rumahnya. Alisa berkenalan dengan rakan itu. Pandai bercakap bahasa Melayu, semuanya hasil bimbingan Cikgu Faridah. Orang Jepun juga memanggilnya Cikgu Faridah. Itu bagi yang pandai berbahasa Melayu. Jika tidak semua orang memanggilnya Faridah san. Faridah macam sebati dengan Jepun.

Alisa banyak merujuk kepada Faridah apabila ada masalah memahami satu-satu perkara yang tertulis dalam bahasa Jepun. Ada satu yang melucukan berlaku satu ketika….