CINTA DI TOKYO (Part 23): “Akibat tak faham bahasa…”

Aishah mula suka tinggal di Tokyo. Nampaknya dia dan Aini amat serasi. Sementara ini, Aini belum lagi masuk tadika, biarlah mereka berdua tinggal di rumah ketika Alisa pergi kerja. Namun Alisa berpesan, jangan keluar rumah lagi, kerana takut sesat, tambahan Aishah belum faham bahasa Jepun.

Awal-awal lagi Alisa membelikan radio mini dan recorder untuk Aishah. Bukan apa, Alisa mahu Aishah tidak jemu seharian di rumah. Aini baru pandai bercakap, baru berusia dua tahun setengah, berbanding Aishah berusia 16 tahun. Bimbang juga Alisa jika Aishah jemu dan nak balik cepat ke Malaysia. Siapa nak jaga Aini?

“Eee, mak andak, terima kasih banyak…Chah suka sangat dengan radio ini. Chah nak dengar lagu Arab dan Inggeris yang Chah bawa dari Malaysia” Kata Aishah apabila Alisa menghadiahkannya dengan radio dan player.

Aishah suka sangat mendengar lagu-lagu Arab nyanyian Amr Diab. Alisa juga ‘tumpang sekaki’…sedapnya suara Amr Diab, hanya Allah yang tahu, fikir Alisa. Kekadang Alisa mendengar lagu Amr Diab khususnya lagu Allah Allah, hingga berpuluh kali ketika tidak dapat tidur malam…hingga terlena.

Setiap hujung minggu Alisa akan merancang membawa Aini dan Aishah ke tempat-tempat menarik. Agar Aishah tidak jemu dan nak balik  Malaysia. Sekurang-kurangnya biarlah hingga enam bulan, barulah kalau nak baliknya, fikir Alisa penuh harap.

Dia terus menghiburkan Aishah setiap hujung minggu. Tidak ketinggalan pergi shopping. Satu hari itu mereka ke satu pasar raya yang terletak tidak jauh dari rumah. Kira-kira 20 minit berbasikal. Ketika di bahagian pakaian, mereka memilih sakan.  Waktu dah gelap. Walau masih awal, tapi dah malam, kerana musim sejuk dah tiba. Jadi malamnya panjang berbanding siang.  Selepas Maghrib mereka menaiki basikal ke pasar raya itu. Memilih dan terus memilih pakaian, tanpa disedari rupanya dah hampir jam 9 malam.

Berkali-kali mereka mendengar pengumuman dibuat  menggunakan pembesar suara. Semuanya dalam bahasa Jepun. Malangnya sepatah perkataanpun mereka tak faham. Maklumlah baru dua bulan setengah di Jepun. Biarkanlah, fikirnya.

Alisa rasa hairan juga mengapa tak ada orang membeli belah ketika itu? Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Tinggal dua orang petugas di kaunter bayaran. Mereka bercakap sesama sendiri dalam bahasa Jepun. Alisa tak faham.

Selepas membayarnya mereka beredar. Kedua petugas di kaunter bayaran mengucakpan ‘arigato gozaimas’ sambil terus memberi senyuman manis kepada Alisa. Sampai dipintu keluar, baru Alisa tahu rupanya pasar raya dah nak ditutup. Orang Jepun ini hanya menunggu mereka bertiga saja untuk keluar. Sebaik mereka keluar, pintu sorong besi di tarik. Pasaraya itupun ditutup untuk niaga hari itu.

“Ya Allah, dia orang tunggu kita saja rupanya Aishah” Kata Alisa agak kehairanan dan lucu.

“Hah ah, tinggal kita je?” Aishah tak dapat menahan ketawanya. Begitu juga Alisa. Akhirnya mereka ketawa besar didepan pasar raya itu sambil menuju ke basikal mereka yang diletak tak jauh dari pintu masuk pasarraya.

Sepanjang jalan pulang, sambil berkayuh basikal di laluan basikal melalui depan kedai-kedai dan rumah-rumah kayu dan rumah banglo comel Jepun, mereka ketawa hingga rasa macam nak pecah perut.

“Itulah pasalnya….kita ini tak faham bahasa” Kata Alisa. Mereka terus ketawa.

“Mami gelak apa?” Aini mencelah.  Bingung anak cilik itu melihat ibu dan kakak saudaranya ketawa macam orang gila.

“Tak ada apa.” Celah Aishah. Namun ketawanya makin kuat. Bergelong-gelong basikal yang mereka naiki melalui lorong-lorong di celah-celah rumah berderetan sepanjang jalan.

“Shhhhhhhhh” Alisa cuba mententeramkan diri dan Aishah. Bimbang takut tawa mereka mengganggu orang Jepun yang terkenal dengan kesopanan dan tidak bising mereka.

“Shhhh apa mak Andak…geli hati ini…hah hah hah” Bertambah galak lagi Aishah ketawa. Alisa juga ketawa, makin keras tawanya kali ini.

Inilah akibatnya tidak memahami bahasa tempatan. Tinggal di negara orang, tidak faham bahasa tempatan, akibatnya baginilah jadinya. Dah pasti  pengumuman tadi ditujukan kepada mereka. Cuma mereka tak faham.

“Mungkin dia cakap pasar raya dah nak ditutup…kita pulak dok leka memilih barang lagi.” Alisa masih memikirkan kebodohan mereka.

“Kah kah kah…” Mereka terus ketawa.

“Bisinglah mami.” Jerit Aini.

Mereka katawa dan terus ketawa dalam kegelapan malam yang semakin dingin, sambil mengayuh basikal yang di dalam raga depannya  penuh dengan barang keperluan dapur dan pakaian baru.

6 responses to this post.

  1. Posted by sitirazila on March 3, 2009 at 7:45 am

    saya sgt suka tulisan2 akak..sangat mengasyikkan..boleh terbitkan dlm bentuk novel ni..sgt akan tunggu sambungn crita ni..

  2. Inshaallah, akak akan terbitkan, sebab itu tak tulis semua. Sambungannya adik bacalah hari ini, part 24…Terima kasih kerana sudi membaca cerita akak ini. Banyak lagi yang akan akak tulis…inshaallah dalam masa terdekat.

  3. Posted by fatimah on March 25, 2009 at 6:03 am

    saya sangat seronok membaca cerita camy. saya juga pernah alaminya. semasa saya pergi ke rumah anak saya di Beppu,Oita Jepun tahun 2007. Saya (seorang diri) ke kedai menjual barangan laut dan cenderamata. Masa itu lebih kurang jam 6ptg. Saya juga tak tahu bahasa jepun. Masa itu hanya ada 2 orang pembeli..satu orang jepun dan termasuk saya. Saya ada mendengar pengumuman yang dibuat dalam bahasa jepun. Bila saya melintasi depan kaunter. chashier juga bercakap-cakap bahasa jepun. Masa itu saya pun terpandang pintu besi depan kedai itu dan ada seorang sedang menunggu dekat pintu itu sambil berkata-kata kepada saya. Oh..saya terlintas dihati..ini pasti nak tutup kedai ! Bila saya keluar, dia pun mengucapkan ..arigato gozaimas.. Dan kenangan itu kini menjadi kenangan indah saya.

  4. Kelakar kan? Orang Jepun memang baik. Jadi dia biarkan kita beli apa yang kita nak. Mungkin dia orang tahu kita tak faham bahasa dia…
    Banyak juga peristiwa lucu yang saya alami sepanjang 4 tahun lebih di Jepun…

  5. Posted by ayu on January 21, 2013 at 9:07 am

    adui…terpaksalah belajar banyak sikit…huhu…kenapa diaorg tutup awal kak?

  6. Ha ha, memang waktu tutup mereka macam itu, sebab kawasan itu kawasan perumahan…shopping complex itu tak besar sangat, orang tak ramai.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: