Archive for May, 2009

ASIA MEDIA SUMMIT DI MACAO

Aku baru saja balik dari Macao setelah 6 hari berada di sana untuk turut serta dalam Asia Media Summit 2009 di sana dari 24 hingga 27. Penat juga setiap pagi hingga petang mengikuti persidangan tentang media tu. Aku juga terlibat dalam membuat presentation bertajuk Code of Ethic in Gender Mainstreaming in the Broadcasting Organisations: Challengers Confronted by the Training for Human Resource Development. Wah susah jg tajuk tu…Alhamdulillah aku dapat menyampaikannya dengan lancar.

Kita di Malaysia patut bersyukur kerana semua kemudahan kita ada, sama seperti negara negara maju. Tapi bagi negara-negara miskin seperti Bhutan dan Nepal, mereka menghadapi pelbagai rintangan dalam dunia media mereka. Di Bhutan misalnya, tenaga eletrik masih dicatu. Jadi mereka menghadapi pelbagai rintangan dalam berhadapan dengan kerja harian mereka dan usaha untuk menyampaikan maklumat.

Perbincangan tentang Media Baru juga agak hangat. Rata-rata berasa bimbang dengan media ini yang di antara lain disalah guna oleh generasi muda. Malahan menurut Prof. Drew Mac Daniel dari Univ. Ohio, USA bahawa ada anak-anak muridnya yang menyalah guna facebook hingga menyebabkan kredibiliti diri mereka sendiri terjejas. Apatah lagi sehingga orang memandang serong kepada diri pelajar itu.

Nantilah akan aku ceritakan lagi dalam post yang akan datang. Hari ini penat sangat.

Advertisements

CINTA DI TOKYO,Part 30: “20 Tahun Lebih Muda…”

Sejak berpindah ke Tokiwadai, hati Alisa semakin tenang dan girang. Aini dan Wati juga begitu. Wati yang datang ke Jepun selepas Aishah balik ke sana juga merasa lebih seronok tinggal di Jepun.

Setiap pagi, Alisa akan menghatar Aini ke hoikuen yang terletak tidak jauh dari Shibuya, dekat rumah lama Alisa. Kelas bermula jam 8 pagi, bermakna mereka mesti bertolak sejam lebih awal. Setiap hari Aini dengat liatnya terpaksa bangun lebih pagi. Kalau sebelum ini ketika di Shibuya Aini bangun pagi jam 7.30, tetapi kini 6.30 dah perlu dikejutkan.

Mereka bergegas ke eki di stesen Tokiwadai, kemudian ke Ikebukuro dan terus menaiki keretapi lain untuk ke Shibuya. Pagi-pagi begini, mashaallah ramainya orang dalam keretapi. Bersesak-sesak dan kadang-kadang macam kena himpit oleh ribuan manusia yang berebut-rebut nak ke tempat kerja. Paling sesak ialah di stesen Shibuya, dengan jutaan orang bertali arus tidak hentinya dari pagi hingga ke malam.

Suasana ini bagi Alisa sungguh trillling, mencabar dan menguji kekuatan iman. Nasib baik Aini tidak meragam. Aini juga seperti suka sangat menaiki keretapi setiap hari ke tadika/ hoikuen.

Aini juga sudah pandai berjalan laju seperti ibunya. Wati kelihatan seperti penat, walaupun masih remaja, baru berusia 19 tahun, tetapi dia mudah penat. “Tak biasa berjalan laju macam ini” Katanya. Gadis hitam manis dan kecil molek ini bersetuju datang ke Jepun untuk mencari pengalaman sementara menunggu tawaran pekerjaan.

Musim panas yang kian berlalu memang melegakan. Mana tidaknya suhu musim panas sehingga hampir 40 darjah centigrate amat merimaskan. Apatah lagi, mereka selalu dipandang tajam oleh warga tua Jepun. “Atsui desne?” Pernah seorang wanita warga emas Jepun bertanya soalah itu kepada Alisa ketika mereka membeli belah di Ueno. Maksud soalah itu “Panas kan?”.

Iek…” Alisa menjawab selamba. Dia tak pandai nak jawap dalam bahasa Jepun. Dibantainya bahasa Inggeris, tak faham juga makcik tu…Akhirnya Alisa bercakap dalam bahasa Melayu. “Tak lah, saya orang Islam, dah biasa menutup kepala macam ini.” Sia-sia saja bercakap wanita Jepun tersebut tak fahampun.

Wah cabaran nih…

Sejak di Tokiwadai ini, hidup Alisa semakin sibuk dan amat memenatkan. Berjalan laju menghantar Aini ke tadika, balik ke rumah memasak untuk bekalan Aini, kemudian menghantarnya dan terus ke NHK. Aduhhhh, letih sangat. Balik ke rumah waktu malam, ketika Aini sudah enak dibuai mimpi, Alisa terus bersolat Isyak dan terus merebahkan tubuhnya yang sedikit susut.

Namun pada bulan November ketika menjalani pemeriksaan doktor, yang wajib bagi setiap specialist di NHK, doktor memuji Alisa. Katanya Alisa semakin sihat. Malah Alisa seperti 20 tahun lebih muda daripada usia.

Dalam perjalanan ke NHK daripada klinik doktor di Harajuku, Alisa tersenyum panjang. Mungkin orang yang berselisih dengannya sepanjang jalan hairan. Gila ke orang ini?

Hatinya terus berbunga riang. Daun-daun pokok di sepanjang jalan yang sudah bertukar warna dalam musim luruh ini terasakan menambahkan lagi keceriaan dirinya.

“Aku bertambah sihat, berat badan bertambah turun, dan aku lebih muda 20 tahunnnnnnnn” Terasa bagaikan nak menjerit.

CINTA DI TOKYO, Part 29: Tokiwadai

Berpindah rumah adalah satu perkara yang sungguh memenatkan. Entah apalah nasib Alisa. Terpaksa berpindah rumah dari rumah yang dekat dengan tempat kerja di NHK ke sebuah rumah yang terletak jauh dari NHK. Rumah pertama cuma 10 minit berjalan kaki. Rumah kedua hampir satu jam dengan berjalan 20 minit dan menaiki keretapi hampir 40 minit. Perlu menaiki dua keretapi. Kata orang mencari susah!

Namun hati Alisa sudah bulat, kerana dia telah membuat solat istikharah. Ya, dia sudah pasti. Wati membantu mengemas semua barang di rumah lama. Dan Hori san menolong mencarikan lori. Wah satu tahun lebih tinggal di Shibuya, dia telah mengumpul banyak juga barang. Sebuah lori besar juga diperlukan untuk mengisi semua barang dari rumah lama ke rumah baru.

Tokiwadai, sebuah kawasan yang tenang dan damai. Jauh lebih indah daripada di Tomigaya, di Shibuya, tempat lama. Dari NHK Alisa perlu berjalan kaki kira-kira 10 minit ke stesen keretapi atau eki sama ada di Shibuya atau di Harajuku. Alisa lebih suka melalui Harajuku, kerana di sini penuh dengan warna warni kehidupan.

Untuk ke Harajuku, dia melalui taman Yoyogi yang besar dan luas. Kemudian dari situ terus ke eki dan melalui kawasan lapang di atas jejantas yang sering dipenuhi oleh remaja Jepun berpakaian aneh dan berwarna warni. Rambut mereka diwarnakan perang, kelabu, puteh dan pelbagai warna yang gila-gila. Baju juga dipadankan mengikut sesuka hati mereka. Kuku dipanjangkan dan diwarnai hitam atau pelbagai warna lagi. Merah, biru, hitam dan entah apa-apa lagi. Menarik dan ceria.

Dari Harajuku, dia perlu ke Ikebukuro menaiki keretapi kira-kira 20 minit, kemudian menukar keretapi untuk ke Tokiwadai. 20 minit dari Ikebukuro, sampai ke Tokiwadai dan turun keretapi berjalan kaki hingga ke rumah dalam 10 minit. Setiap hari pergi balik dua jam. Pergi sejam, balik sejam…

Seronoknya dia dapat melihat pelbagai perilaku dan perangai orang Jepun. Namun rata-rata orang Jepun tidak suka bising. Dalam keretapi masing-masing dengan cara sendiri. Ada yang membaca, ada yang berSMS dan ada yang tidur. Paling ramai yang membaca dan mendengar radio/ kaset menggunakan head phone di telinga.

Hari pertama di Tokiwadai, Aini senonok sangatl. “Rumah ini best…” Katanya.

Wati juga gembira dapat berpindah ke rumah ini. Watilah satu-satunya pembantu atau pengasuh Aini yang dapat tinggal di dua buah rumah.

Hati Alisa juga riang. Tokiwadai menjanjikan kehidupan yang selesa di Jepun bagi Alisa. Tentu ada episod riang di sini nanti. Fikir Alisa.

Musim panas yang hampir tiba ke penghujung itu dihabiskan oleh Alisa berulang alik bekerja. Aini meneruskan tadikanya di hoikuen di Omukai, Shibuya. Alisa penat sangat menghantar Aini pada awal pagi. Dan dia terus balik untuk memasak untuk Aini dan jam 11 akan dihantar makanan untuk Aini. Penat tetapi hatinya girang.

ABU PRIZES WORKSHOP…Gaya kerja orang Jepun

IPPTAR dan ABU bekerjasama mengadakan bengkel ABU PRIZES di Dewan Cendikiawan IPPTAR pada 13 dan 14 Mei. Hampir 50 orang menyertai bengkel ini. Menariknya kerana penceramah jemputan ialah tiga pemenang anugerah ABU PRIZES 2008 dalam kategori program hiburan TV, dokumentari kemanusiaan dan dokumentari.

Para peserta didedahkan dengan gaya kerja orang Jepun dan China dalam penerbitan program hiburan dan dokumentari mereka. Memang hebat komitmen para petugas Jepun dan Cina menghasilkan karya/ program TV mereka. Paling jelas menurut penceramahnya ialah AIM HIGH dan TEAM WORK. Hasilnya amat hebat. Paling menarik perhatian saya ialah setiap anggota petugas amat mencintai tugas mereka. Sehingga bagi jurukamera yang diberi tugas, terus memberikan shot yang sungguh menarik dan sesuai dengan lagu yang dinyanyikan dalam konsert lagu-lagu klasik barat dan tarian kabuki Jepun.

Penerbit tidak perlu meminta shot daripada jurukamera, sebaliknya jurukamera seramai 13 orang di 13 lokasi kamera memberikan shot yang sungguh cantik dan menarik. Terpesona kita dibuatnya. Lagu klasik selalunya jarang kita suka. Namun dengan shot dan penerbitan yang hebat, satu jam dirasa seperti setengah jam sahaja.

Satu lagi yang paling menarik ialah penyelidikan, persediaan, perbincangan, penelitian, semuanya diberi penekanan yang lama. Pemasangan kabel dan kamera hanya dua hari, tetapi penyelidikan dan persiapan awal memakan masa selama 2 hingga 4 bulan untuk satu konsert hiburan yang hebat ini. Begitu juga dengan program dokumentari.

Program dokumentari Jepun mengenai sistem kredit mikro di Bangladesh amat hebat. Hasilnya kita merasakan seperti kita berada di negara Bangladesh yang miskin dan kurang dalam serba serbi. Namun kejayaan Bank yang memberikan pinjaman mikro ini banyak membantu dan menyelamatkan bisnis dan kehidupan orang-orang miskin negara itu. Dengan penerbitan dokumentari yang dibuat dengan teliti dan penuh komitmen, sebuah dokumentari yang hebat dapat dihasilkan dan meninggalkan kesan mendalam di hati penonton. Gambarimasho…

Sayangnya, tidak ramai Controller unit-unit di RTM yang hadir. Nasib baik Mr Jack Najarajah , Controller dari Unit Hiburan TV dan ramai penerbit muda hadir. Mereka bertuah kerana didedahkan dengan budaya kerja orang-orang Jepun, bukan saja untuk program hiburan, tetapi juga program dokumentari yang dihasilkan oleh penerbit dari negara China, Korea dan Jepun.

IPPTAR berhasrat mengadakan sesi screening dan dialog seperti ini lagi pada tahun depan. Stesen-stesen dari Media Prima, Astro juga dijemput, tetapi tak ada yang datang. Kenapa agaknya? Rugi kerana IPPTAR dan ABU mengeluarkan belanja yang bukan sedikit, tetapi anda tidak menyertainya.

Apa kata tahun depan semua dapat hadir????

CINTA DI TOKYO, Part 28: “Rumah Baru”

Sampai saja di rumah petang Ahad itu, Alisa terus menelefon Hori san. Dia menceritakan tentang rumah Nori san yang dilihatnya.

Oh, really? I myself don’t even know about this type of house!” Kata Hori san. Hori san berjanji akan melihat buku informasi tentang rumah jenis itu esok.

Hari Isnin itu, Hori san sibuk lagi, menelefon agen perumahan kerajaan. Dan hari Selasanya mereka pergi lagi meninjau rumah. Dari satu rumah ke rumah yang lain. Bukannya dekat-dekat, ada yang terpaksa menaiki dua keretapi. Alisa membawa Aini dan Wati.

Sebuah rumah yang agak cantik, terletak tidak jauh dari eki Shinjuku tak jauh dari Shibuya. Cuma empat perhentian dari Shibuya. Rumah itu hampir sangat dengan eki atau perhentian keretapi. Ada masalah pula nampaknya. Setiap kali keretapi melalui kawasan itu, bunyinya amat bingit. Tolak lagi.

Mereka ke rumah yang terakhir, terletak di Tokiwadai, di Itabashi ku. Mereka perlu menaiki Yamanote line dan sampai ke Ikebukuro, kira-kira setengah jam dari Shibuya, mereka menaiki Tobu Line, untuk ke Tokiwadai. Rumah ini jauh dari eki. Perlu berjalan kaki kira-kira 15 minit jika berjalan santai. Tapi jika berjalan seperti orang Jepun, akan mengambil masa 10 minit.

Mereka juga perlu melalui lorong kecil di depan rumah-rumah orang Jepun yang cantik dan hebat. Rumah-rumah banglo Jepun ini beratap genting yang sungguh runcing, seperti juga rumah orang Cina di Beijing yang ditontonnya dalam drama Cina. Di depan rumah, ada pintu gerbang comel lengkap dengan atapnya yang cantik. Pintunya diperbuat daripada kayu yang berkualiti. Dan ruang halamannya juga luas.

“Aini nak rumah ini, cantik sangat.” Aini tiba-tiba bersuara. Tak sangka juga rupa-rupanya anak kecil ini juga terpikat dengan rumah banglo mewah Jepun itu.

“Tak boleh, Aini Chan ini rumah orang. Bukan rumah sewa” Kata Hori san berbahasa Melayu yang faseh, sambil ketawa. Dia memegang tangan Aini.

Mereka terus berjalan. Mata Alisa liar melihat rumah-rumah Jepun yang cantik dan kemas di sepanjang jalan. Taman-taman Jepun dan pepohon sakura yang berderetan, menambahkan lagi keindahan persekitaran.

Akhirnya mereka sampai di rumah yang dituju. Seorang agen telah siap menunggu. Mereka mengambil kunci dan menaiki rumah kosong di tingkat tiga. Wah, rumah ini sungguh cantik. Agak luas dan sungguh selesa. Tidak lagi kelihatan seperti rumah typical Jepun. Apartment ini kelihatan mewah. Lebih luas daripada town house LADA di Langkawi yang diduduki Alisa sebelum ke Jepun dulu.

Kemasan rumah ini memang bagus. Ada lorong di tengah-tengah rumah, membahagikan rumah itu kepada dua ruang. Di dekat pintu utama, ada satu ruang bilik mandi lengkap dengan ofuro, di sebelahnya tandas moden dan bersih, di depan tandas itu ada ruang bersolek dan ada ruang meletak mesen basuh kain. Masuk sedikit lagi, ada ruang dapur yang comel dan lengkap dengan kabinet dapurnya. Sungguh selesa.

Di sebelah kirinya di sebelah lorong itu ada tiga bilik berderetan. Bilik utamanya bersebelahan dengan bilik mandi. Bilik itu bertikar tatami. Ada pintu sorong. Almarinya juga berpintu sorong Jepun.

Ruang depannya di bahagian dalam rumah, luas dan lapang berlantai kayu yang divarnish. Pintu cerminnya ada empat keping. Luas rumah ini. Ruang luarnya ada beranda. Di sini boleh ditanam pokok-pokok bunga, atau sayuran. Juga boleh disidai kain kerana ada ampaian separa lengkap. Hanya perlu dibeli kayu ampaian yang dijual di kedai perabut.

Rumah ini mengadap bangunan apartment yang berbentuk u. Cantik sungguh tempat ini.

Hati Alisa sudah yakin, inilah rumahnya!!!

CINTA DI TOKYO, Part 27c: “House Hunting 3”

Hari minggu itu, Alisa, Aini dan Wati diajak pergi berkunjung ke rumah keluarga Nori san dan isterinya Ayu wanita Melayu yang manis dan cantik. Alisa mengenali Ayu secara kebetulan ketika bermain-main dengan Aini di taman Yoyogi. Melihat kelibat orang Melayu, Ayu terus berlari mendapatkan Alisa dan berkenalan dengannya. Sejak itu mereka berkawan rapat. Pernah ketika Alisa sibuk mencari pengasuh Aini buat sementara ketika Aisyah balik Malaysia, Ayu menghulurkan tangannya mengasuh Aini. Setiap pagi Ayu tunggu di eki tidak jauh dari rumah Alisa. Mengambil Aini untuk ke rumahnya di satu tempat yang Alisa sukar nak ingat nama tempatnya.

Hari itu Nori san dan Ayu menunggu mereka di eki yang dijanjikan. Sesampai di sana, mereka menaiki kereta Toyota milik Nori ke rumah mereka. Rumah ini adalah rumah kerajaan. Rumah apartment lima tingkat. Rumah Nori san di tingkat 3. Buatan rumah itu kemas. Rumah batu ini cantik dan memang menyenangkan hatinya.

“Berapa sewa rumah ini?” Tanya Alisa. “Cantik rumah ini, kemas, dan bilik mandinya juga cantik dan kemas. Semuanya baru di sini.”

“It’s 155,000 yen.” Kata Nori san. Lelaki Jepun ini memang peramah. Nama Islamnya Nori Abdullah. Dia lelaki yang kacak dan lawa. Tinggi lampai dan pandai menghormati Alisa. Ayu pula cantik orangnya. Berkulit sawo matang dan bermata bundar. Bertubuh tinggi lampai dan langsing. Memang mereka berdua cocok sangat. Kalau dapat anak pasti cantik, fikir Alisa apabila menatap pasangan ini.

“Since you are working with NHK, you too can apply this type of house” Kata Nori san.

Nori san memberikan buku informasi tentang rumah tersebut dan alamat-alamat rumah kerajaan yang ada di seluruh Tokyo. Wah, ada banyak rupanya. Ada di Shinjuku, di Ikebukuro, ada di Tokiwadai di Itabashiku dan banyak lagi.

Sejak saat itu, hati Alisa berbunga kembali. Ya, dia mendapat idea. Rumah seperti ini yang bakal didudukinya.

CINTA DI TOKYO, Part 27b: “House Hunting 2”

Alisa terfikir, alangkah sukarnya hidup orang-orang Jepun. Khususnya untuk mencari rumah sewa. Sudahlah mahal, sempit pulak. Kebanyakan rumah yang Alisa lihat, seperti sarang merpati. Kalau di Malaysia, seingat Alisa, jarang ada rumah yang sempit begini. Kalau adapun, mungkin flat rumah murah, namun lebih besar daripada rumah-rumah yang dilihatnya.

Alisa menyuarakan kesesakan fikirannya kepada Norizan, pelajar Malaysia yang menyambung pelajaran di peringkat MA mengkhusus dalam Bahasa Jepun di Universiti Tokyo. Norizan ini agak tomboy. Berambut pendek dan memakai pakaian ala lelaki. Berhati cekal tetapi baik hati. Dia berkerja sebagai penyiar sambilan di NHK. Norizan mendapat idea, “Apa kata kita tinggal bersama di rumah banglo Jepun?”

Apabila mereka pergi melihat rumah itu, yang terletak tidak jauh dari NHK, kira-kira 20 minit berjalan kaki, Alisa mula menyukai rumah itu. Bertingkat dua, ada empat bilik kecil-kecil dan setiap bilik bertikar tatami. Ada dua bilik air yang lengkap dengan ofuro. Harganya kira-kira 130,000 yen atau RM 4,500. Namun apabila Alisa memberitahu Hori san, niatnya terbatal lagi.

“NHK tidak membenarkan specialistnya tinggal berkongsi rumah dengan penyiar lain…” Takut berlaku salah faham, maklumlah kita manusia. Jika ini berlaku, nanti lebih mengganggu fikiran. Katanya.

Alisa kecewa. Dia menyatakan kepada Hori san supaya dihentikan sementara pencarian rumah sewa. Dia penat. Dan dia tahu Hori san juga penat. Mana tidaknya, hampir tiap hari mereka bertemu dengan agen perumahan yang rata-rata rajin dan menghormati orang. Setiap kali berpisah, Alisa berasa bersalah, kerana terpaksa menolak rumah yang ditinjau kerana sebab-sebab seperti bising, bunyi kereta lalul lalang, bunyi dari tingkat atas, dan pelbagai perkara yang merunsingkannya.

Aduhhhhh! Letih, penat, bosan.