“4 tahun, 4 bulan dan 4 musim…” Bhg. 1

Tawaran bekerja di NHK Tokyo, Jepun aku terima dengan penuh kesyukuran. Ogos 1999 aku menjejakkan kaki di bumi sakura, dengan membawa misi yang besar untuk diriku, untuk RTM dan untuk Negara. Aku mesti ingat bahawa aku bukan saja membawa imej RTM dan Malaysia, bahkan juga wanita Islam moden, berpendirian tinggi dan professional.
Berkerja di Pusat Penyiaran Antarabangsa di Radio Jepun, NHK World merupakan satu perkara yang paling menyeronokkan bagi diriku. Pemilihan diriku sebagai Pakar Bahasa Melayu dan sebagai penyiar di radio antarabangsa berpusat di Shibuya-ku, Tokyo banyak mendedahkan diri dengan pelbagai pengalaman yang tidak boleh dijual beli. Aku gembira kerana dapat menimba pengalaman berkerja bukan saja dengan orang Jepun yang rata-rata amat berdisiplin, malahan paling menyeronokkan dapat berkongsi pengalaman dengan para penyiar berpengalaman dari 21 buah negara lain seperti German, Mesir, Kanada, China, Vietnam, Indonesia, India, Pakistan dan banyak lagi. Terdapat 22 bahasa siaran antarabangsa dan bahasa Melayu adalah salah satu daripadanya.
Aku ditugaskan untuk memberi tunjuk ajar dan latihan dalam pelbagai sudut penyiaran kepada penyampai sambilan di NHK. Di antaranya membuat ujian terjemahan, ujian suara dan penyampaian di studio. Selepas berjalaya dalam ujian pertama, calon yang layak dipanggil untuk ditemuduga. Aku diberi kebebasan untuk memilih dan mencadangkan siapa yang layak menjadi penyiar di stesen Bahagian Melayu Radio Jepun untuk memantapkan lagi siaran berita, program dokumentari dan majalah, hiburan dan informasi lain. Kebanyakan mereka yang menjadi calon ialah pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di universiti di sekitar Tokyo. Ada yang masih di peringkat bachelor, ada di peringkat sarjana hinggalah diperingkat Ph.D. Ada juga yang telah mendapat Ph.D. Kesemua mereka fasih berbahasa Jepun.
Sebagai pembaca berita utama aku menterjemahkan berita daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Aku berpasangan dengan seorang lagi penyiar sambilan iaitu pelajar yang dipilih daripada pencarian bakat di NHK. Setiap hari kami bersiaran selama 30 minit. 10 minit pertama dimuatkan segmen berita diikuti dengan program majalah atau program belajar bahasa Jepun, diselang seli juga dengan program lain seperti ulasan berita. Ada juga penyiar yang telah lama bekerja di NHK yang telah menetap dan bekerja di negara matahari terbit itu bertahun-tahun lamanya yang menjadi pasanganku membaca berita. Aku juga menyampaikan program hiburan berbentuk permintaan lagu Jepun dan membaca surat pendengar. Ramai yang menulis dari Indonesia, Malaysia, Singapura, Vietnam, Brunei, Korea dan lain-lain Negara dengan memberi pendapat dan komen serta berkongsi pengalaman mereka. Ramai juga peminatku nampaknya. Rancangan hiburan ini disampaikan dari Studio Park. Di sini studio berkonsep terbuka untuk ‘tontonan’ orang ramai. Bilik studio bercermin besar, membolehkan orang ramai melihat bagaimana kita bersiaran. Mereka melambai-lambaikan tangan kepada penyampai dengan riang. Aku juga berasa teruja dengan sikap orang Jepun yang peramah dan baik hati.
Bekerja dengan orang-orang Jepun memang menyeronokkan. Orang Jepun amat menjaga disiplin dan etika kerja mereka. Masa amat dijaga dan jika kerja tidak siap, mereka akan menyiapkan terlebih dahulu, barulah mengambil masa untuk makan. Jika lapar sangat, mereka akan menyuap makanan seperti onigiri (nasi kepal) atau roti sambil menghirup kopi atau nihon no ocha (teh Jepun) sambil menyiapkan kerja. Di ruang bekerja di tingkat 7, NHK yang menempatkan bahagian siaran antarabangsa itu, disediakan mesen pembancuh teh Jepun dan air panas untuk sesiapa saja yang mahu menghilangkan dahaga. Setiap jam seorang pembantu akan datang dan mengambil cawan yang telah digunakan untuk dibasuh dan disusun semula di tempat asalnya. Pendeknya kita boleh makan dan minum di tempat kerja tetapi kebersihan mesti dijaga.
Untuk memudahkan warga kerja, terdapat tiga kantin besar disediakan, sebuah di lantai bawah, sebuah di tingkat tiga dan sebuah di tingkat lima. Ada tiga buah cafe kecil di tingkat berlainan untuk membawa pelanggan NHK berbincang dan berbual sambil minum-minum kopi panas atau kek. Kemudahan kantin dan kafe disediakan untuk memudahkan warga kerja mengisi perut. Masa makan tidak dihadkan, namum tidak ada yang curi tulang, kerana mereka makan ketika perut lapar, tetapi meneruskan kerja apabila habis makan. Di sinilah aku lihat tingginya tahap integriti mereka dalam bekerja. Masa dijaga, penipuan tidak dilakukan dan masing-masing tahu tanggungjawab masing-masing. Pendeknya disiplin adalah kunci utama orang-orang Jepun maju.
Di tingkat 7, tempat aku bekerja, satu ruang empat segi 6 kaki x 4 kaki berdinding dipasang di satu sudut untuk warga kerja beragama Islam bersolat. Selalunya aku terus bersolat apabila tiba waktunya kerana tidak mahu air sembahyang terbatal. Susah juga jika tiba musim sejuk, mengambil air sembahyang menjadi satu azab kerana airnya sejuk dan walau dicampur dengan air panas, tetapi sebentar lagi kaki dan tangan menjadi sejuk kembali.
Bersambung…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: