Archive for August, 2009

RAMADHAN…

RAMADHAN DATANG…
DAH SEMINGGU KITA MENJALANI IBADAT PUASA. SEMOGA IBADAT KITA PADA TAHUN INI DITERIMA ALLAH. MARILAH KITA PERBAIKI DIRI KITA DENGAN SEBAIKNYA. BUANG SIFAT RIAK JAUH-JAUH. BUATLAH APA JUGA PERKARA KERANA ALLAH. JANGAN BUAT KERANA MANUSIA.

CONTOHNYA ORANG LAIN BUAT TERAWIH 20 RAKAAT, AKU MALU NAK BUAT 8 RAKAAT. BUATLAH DENGAN IKHLAS KERANA ALLAH, BUKAN TAKUT APA ORANG LAIN KATA. INSHAALLAH KITA BERADA DI LANDASAN YANG BETUL. IKHLAS KERANA ALLAH.

SELAMAT MENJALANI IBADAT PUASA.

Advertisements

MTCP 2009 di IPPTAR

Malaysian Technical Cooperation Program, MTCP 2009 di IPPTAR baru saja tamat. 10 peserta TV Documentary Production telahpun pulang ke negara masing-masing. Begitu juga 10 peserta Audio Digital Course dan Radio Jingle Course yang pulang 2 minggu lebih awal.

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Para peserta memberikan komen Excellent kepada kebanyakan soalan dalam borang penilaian selepas kursus. Sekarang perlu fikir pula kursus untuk tahun depan…

Apapun, bagi peserta Malaysia, jangan lupa mengambil peluang untuk mengikuti Kursus Penerbitan TV…sama ada Dokumentari atau Majalah atau kursus yang lain, belum pasti lagi.
Sekarang akak perlu fokus kepada kursus untuk tahun-tahun akan datang…

Cipo sakit…

Aduh, melayang duit RM500.00 kerana Cipo, kucing kesayangan Aini sakit. Bergaduh agaknya, hingga luka besar di dekat telinganya. Ngeri juga melihat luka begitu, takut menanah, aku dan Aini bawa berjumpa doktor haiwan. Cipo ‘ditahan’ di kedai rawatan haiwan selama 4 malam, kemudian apabila kami pergi nak ambilnya, jahitannya terbuka balik sebab Cipo tarik kolar yang dipasang di lehernya. Pandai dia menggaru jahitan itu…akhirnya kena jahit sekali lagi…
Bayaran rawatan Cipo lebih mahal daripada rawatan manusia. Apakan daya…tak ada klinik kerajaan untuk binatang di sekitar Bandar Baru Bangi.
Apapun, aku redha duit itu melayang. Daripada melihat Cipo terseksa.

“4,4,4…” Bhg. 7

Di sepanjang perjalanan ke tempat kerja setiap hari aku dapat melihat pelbagai gelagat manusia yang penuh sesak dalam keretapi. Paling aku kagum ialah sikap orang Jepun tidak suka bising dan sopan. Dalam keretapi mereka diam dan senyap. Masing-masing dengan aktiviti masing-masing seperti membaca, mendengar lagu daripada handphone, atau berSMS. Ada juga yang membawa laptop dan melayari internet atau menaip dokumen atau menghantar email. Semuanya aktiviti yang berfaedah.
Paling aku suka tinggal di rumah baru kerana lebih luas dii tingkat tiga rumah apartment yang kukuh dan tidak bising. Orang Jepun memang tidak suka bising berbanding rumah terdahulu yang agak bising kerana diperbuat daripada kayu dan apabila orang berjalan di tingkat atas bunyi bising jelas menyakitkan hati. Di rumah nbaru ini sunyi sangat. Kadang-kadang rasa seperti tidak ada penghuni di apartment ini, cuma aku dan keluargaku saja. Namun sewa rumah ini mahal sangat, mencecah RM 5,000 atau 155,000 yen sebulan. Nasib baik elaun sewa rumah dibayar oleh NHK.
Ramai juga warga Jepun yang menjadi rakan dan kenalanku. Apabila tiba hari raya, aku memasak nasi beriani dan lauk pauk yang istimewa. Rendang ayam juga aku masak. Ramai rakan orang Jepun dan warga Malaysia yang aku jemput berhari raya bersama. Nasi berniani seperiuk besar habis dijamu. Dan orang Jepun rasa hairan kerana aku berjaya memasak bersendirian makanan yang pelbagai jenis seperti sebuah kenduri besar bersendirian.
Empat tahun, empat bulan aku tinggal di Jepun penuh dengan pelbagai pengalaman yang menarik dan indah. Di tambah dengan melalui empat musim yang menarik setiap tahun menjadikan kenangan itu tidak mungkin dapat aku lupakan sepanjang hayatku. Dapat juga berkomunikasi sedikti-dikit dalam bahasa Jepun. Tetapi Aini anakku yang fasih menjadikan aku amat cemburu dengannya. Dia fasih kerana memasuki hoikuen atau tadika Jepun dari usia 2 tahun setengah hingga 7 tahun. Aku pula asyik bercakap bahasa Inggeris dan Melayu, menjadikan bahasa Jepunku kurang fasih, tetapi daijobu…(tak apalah)…
Kenangan bersama rakan setugas dari NHK seperti Hori san, Chao Kun, Hiraoka san, Yoshimura san dan Muray san amat aku hargai. Begitu juga dengan Rumah san dari India, Zahid san dari Bangladesh dan Nor san dari Indonesia amat bermakna buat ku.
Kenangan di Jepun akan aku simpan dalam lipatan kenanganku. Bukan aku tidak pernah ke Negara Eropah, Arab dan Negara Asia lain, tetapi kenangan bekerja di Jepun dan mengalami cuaca empat musimnya adalah anugerah Allah yang tidak dapat dijual beli. Adat dan budaya Jepun juga dapat aku fahami di samping pelbagai sambutan dan pesta setiap musim yang disambut mereka.

“4,4,4,…” Bhg. 6

Setiap kali tiba hari minggu, aku tidak pernah lupa mengambil kesempatan meneroka negara Jepun. Pelbagai tempat aku jelajahi khususnya di kota Tokyo. Odaiba salah satu tempat yang memang hebat. Di sini terdapat ‘eye on Tokyo’. Untuk ke sana kami terpaksa menaiki keretapi bawah tanah atau keretapi komuter dan monorail di atas laut. Memang cantik dan romantik apabila tiba waktu malam, dengan pantulan cahaya neon di permukaan laut berkerlipan dan mengasyikan. Tempat ini asalnya laut yang ditambak dan dijadikan tempat rekreasi yang indah lengkap dengan pusat membeli belah yang besar. Kami juga pergi ke Disneyland Tokyo yang terkenal, juga di Tobu World di mana terdapat lebih 100 miniature / bangunan terkenal seluruh dunia termasuk Tambok Besar China, Buckingham Palace dan Piramid di Mesir. Kita seperti berada di negara-negara berbeza apabila berada di hadapan bangunan-bangunan mini yang diperkecilkan itu.
Perkampungan lama Jepun juga sempat kami jengah. Rumah-rumah lama dijadikan seperti muzium lengkap dengan periuk belanga lama dipamerkan didapurnya. Pada ketika ini teringat drama Oshin terbitan NHK yang terkenal di Malaysia. Pegawai NHK pernah memberitahuku bahawa pernah ketika drama ini masih ditayangkan dan diterbitkan di studio NHK, orang ramai datang ke NHK “menyerahkan beras dan makanan lain untuk diberikan kepada Oshin. Kerana kasihan kepada Oshin yang miskin dan menderita itu.” Begitu sekali impak drama terbitan NHK. Studio rakamannya masih ada hingga ke hari ini di NHK. Aku pernah membawa Ketua Pengarah RTM ketika itu Dato’ Hj Abdul Rahman Hamid dan KP Filem Negara , Ym Raja Rozaimi ke studio tersebut ketika mereka melawat NHK dalam rangka kerja rasmi di Jepun.
Aku juga sempat berkunjung ke beberapa tempat di luar Tokyo seperti di Gunung Fuji, di Nagoya dan tempat-tempat lain. Di Nagoya, aku sempat melawati rakan sekerja dan keluarganya dari Malaysia yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat MA. Puan Zauyah Yusof juga pernah mengunjungiku di Tokyo. Di sana aku diraikan oleh beliau dan rakan-rakannya yang lain dari Malaysia. Seronoknya kunjungan itu dalam musim luruh, dan kami beramai-ramai berkonvoi dengan kereta ke pergunungan untuk berkelah di samping menikmati keindahan cuaca can alam sekitar yang sungguh indah di Jepun.
Tahun kedua di Tokyo, aku berpindah rumah dari Tomigaya di Shibuya-ku ke satu daerah yang lebih menarik di Tokiwadai di daerah Itabashi-ku (‘Ku’ di sini bermakna daerah). Aku mahu menimba pengalaman hidup di Jepun dengan lebih luas lagi. Jika tinggal berdekatan dengan tempat kerja, apa yang dapat dilihat sangat? Perjalanan dari rumah baru ke NHK sungguh mencabar. Berkayuh basikal dari rumah ke stesen keretapi selama 5 minit, kemudian menaiki keretapi Tobu Tojo 10 minit, sampai Ikebukuro, menukar laluan keretapi iaitu yamanote line, laluan yang mengelilingi sekitar bandar-bandar besar di Tokyo termasuk Shibuya-ku, Harajuku, Shinjuku, dan pelbagai bandar lain dan ke Ikebukuro semula. Perjalanan mengambil masa selama 25 minit lagi, dan kemudian berjalan kaki lagi selama 10 minit untuk sampai di NHK. Pendeknya di Jepun ini aku berjalan kaki 80 minit pergi balik setiap hari. Apabila pemeriksaan kesihatan tahunan dibuat, aku menjadi bertambah sihat dan aku seolah 25 tahun lebih muda. Berjalan laju memang sudah menjadi kebiasaan warga kota Tokyo. Dan aku adalah salah seorang daripadanya.
Bersambung…

“4,4,4,…”Bhg.5

Musim sejuk- siangnya pendek dan malamnya panjang. Kebetulan dalam keempat-empat tahun di Jepun, kesemua bulan Ramadhan yang aku sambut adalah dalam musim sejuk…memang pendek saja berpuasa. Jam empat petang dah berbuka. Ketika berbuka, ramai kawan dari India, Pakistan, Bangladesh dan Indonesia akan berbuka puasa bersamaku. Kami menjamu selera makanan yang kami masing-masing bawa dari rumah dan sama-sama menjamah makanan secara berkongsi…Sungguh shahdu musim puasa di Jepun. Zahid dari Bangladesh sering membawa kacang kuda rebus dan di masak dengan serbuk kari. Rakan dari Pakistan pula membawa capati dan kari ayam.
Pada musim sejuk pertama aku dan rakan-rakan memasuki kelas bahasa Jepun. Seronoknya kerana rata-rata kelas dewasa ini melucukan. Paling lucu rakan dari Mesir yang menyebut “Watashiwa supun” bermaksud “saya sudu”. Beliau keliru di antara perkataan “korewa” atau ‘ini’ dengan ‘watashiwa’ bermaksud ‘saya’. Kami sekelas ketawa macam nak pecah perut. Hairannya ketawa bagaikan tak boleh berhenti pulak. Kami menamatkan kelas setelah 10 sesi. Bolehlah berbahasa Jepun. Tapi kalau sukar sangat aku akan cakap “Gomen nasai, nihon go wakarimasen”, “Maaf saya tak faham bahasa Jepun” dan orang Jepun akan berkata “So desuka?” “Ye ke?” atau “Hai, wakarimashta” atau “Saya faham”.
Musim sejuk berlalu, tiba pula musim bunga atau haru. Di mana-mana saja bunga berkembang. Pelbagai warna yang sungguh menceriakan keadaan. Cuaca dalam musim bunga sama seperti dalam musim luruh, dingin dan nyaman. Kita cuma mengenakan baju yang sederhana tebal. Paling seronok apabila bunga sakura berkembang pada awal bulan April. Seluruh pohon dan dahan dipenuhi bunga sakura yang berwarna merah jambu dan putih. Di kota Tokyo, khususnya di taman-taman di bandaraya itu, banyak sungguh pohon sakura di tanam. Memutih dengan sakura. Seminggu sakura berkembang, kami turut sama meraikan musim itu dengan sama-sama ber’hanami’ atau menikmati bunga sakura di bawah pepohon sakura. Orang Jepun akan ‘menempah’ tempat dengan membuat tanda dari tali atau meletakkan tikar plastic untuk berkelah atau minum-minum sambil berbual dan menyanyi. Ada juga yang berpesta hingga mabuk-mabuk. Aku juga turut berhanami dengan membawa makanan dari rumah yang dimasak sendiri seperti karipap, nasi bungkus dan sebagainya. Apabila seminggu berlalu, dedaun sakura mula gugur. Sesekali kelopak sakura berterbangan menyentuh pipi. Aduh, terasa bagaikan berada di syurga…alangkah indahnya ciptaanMu Ya Allah. Aku sering mengucapkan kesyukuran dengan keindahan ini…Pernah sekali salji turun di luar musim, iaitu dalam musim luruh ketika bunga sakura berkembang. Betapa hebatnya ciptaan Allah ini fikirku.
Kami juga sempat ke taman ros yang indah di Tokyo, yang maklumatnya aku cari melalui internet. Terdapat berpuluh jenis ros pelbagai warna di taman itu. Memang cantik dan mengasyikkan.
Bersambung…

“4 tahun, 4 bulan dan 4 musim…” Bhg. 3

Empat tahun, empat bulan menjalani empat musim setiap tahun penuh dengan kenangan pahit dan manis bagi diriku. Aku tiba di Jepun dalam musim panas atau natsu dalam bahasa Jepun dan panasnya membahang. Kadang-kadang cuaca mencecah 40 darjah celcius. Natsu tiba mulai bulan Jun hingga Ogos, memang memeritkan. Panasnya lebih dahsyat daripada di Malaysia. Di Tokyo, aku tinggal di rumah papan Jepun pada dua tahun awalku di sana. Rumahku terletak cuma 10 minit berjalan kaki ke NHK. Aku berbasikal dan kadang-kadang berjalan kaki saja ke tempat kerja. Musim panas amat merimaskan, tambahan kerana aku bertudung. Aku juga menderita batuk hingga 3 atau 4 bulan setiap kali tiba musim panas di Jepun. Anehnya dalam musim panas saja batuk ini menyerang. Habis musim panas, batukpun hilang. Pernah aku terpaksa ditahan di hospital berhampiran rumahku, untuk dimasukkan air dan ubat di pergelangan tangan untuk memulihkan batuk yang keras. Pernah juga aku membuat terjemahan dari rumah dan menghantar skrip melalui email. Orang lain yang menyampaikannya kerana batuk menghalang aku menyampaikan program.
Musim panas pertama agak mengkagetkan khususnya melihat juu-dai no shoonen-shoojo atau remaja Jepun menggelapkan kulit hingga kelihatan aneh dan pelik. Kasut platform dipakai hingga ada yang terjatuh dan matipun pernah disiarkan dalam akhbar. Apabila tiba musim panas berikutnya pada tahun kedua, tren remaja bertukar lagi. Kali ini memakai skirt dan jean pula. Paling menarik pakaian remaja di Harajuku yang pelik dan aneh menjadikan Harajuku yang terletak tak jauh dari NHK itu popular di kalangan remaja Jepun dan orang asing yang sering bergambar untuk dijadikan kenangan.
Hati kembali riang apabila melihat daun-daun pokok mula bertukar warna sebaik saja tiba aki atau musim luruh. Daripada hijau dedaun menjadi kuning, jingga, merah, coklat dan pelbagai warna indah yang lain apabila hari bertukar ganti. Indahnya suasana tidak tergambarkan dengan kata-kata. Aku paling suka musim luruh yang tiba. Terasa seperti mahu meraikannya setiap masa dan saat. Namun apakan daya, masa terbatas. Aku bekerja dari pukul 1 tengah hari hingga 9.30 malam. Jadi cuma waktu pagi aku dapat nikmati keindahan pepohon. Atau ketika melalui Taman Yoyogi yang luas dalam perjalanan dari stesen keretapi atau eki di Harajuku ke NHK pada waktu tengah hari. Jika tiba hari minggu aku tidak melepaskan peluang membawa anakku Aini dan kakak yang turut serta ke Jepun untuk menikmati saat-saat indah dan cuaca yang semakin dingin pada musim luruh yang indah itu. Sesekali ada rakan Jepun mengajak kami ke rumah mereka untuk berbarbique. Kami tak makan daging bakar mereka, tetapi membawa makanan dari rumah. Orang-orang Jepun suka makanan Melayu. Itu yang pasti. Aku suka sangat suasana rumah kayu Jepun yang menggunakan pintu sorong. Berkelah dan makan-makan dalam suasana santai di taman Jepun di depan rumah yang cantik memang menyeronokkan. Apatah lagi cuaca aki yang nyaman dan segar.
Bersambung…