“4 tahun, 4 bulan dan 4 musim…” Bhg. 3

Empat tahun, empat bulan menjalani empat musim setiap tahun penuh dengan kenangan pahit dan manis bagi diriku. Aku tiba di Jepun dalam musim panas atau natsu dalam bahasa Jepun dan panasnya membahang. Kadang-kadang cuaca mencecah 40 darjah celcius. Natsu tiba mulai bulan Jun hingga Ogos, memang memeritkan. Panasnya lebih dahsyat daripada di Malaysia. Di Tokyo, aku tinggal di rumah papan Jepun pada dua tahun awalku di sana. Rumahku terletak cuma 10 minit berjalan kaki ke NHK. Aku berbasikal dan kadang-kadang berjalan kaki saja ke tempat kerja. Musim panas amat merimaskan, tambahan kerana aku bertudung. Aku juga menderita batuk hingga 3 atau 4 bulan setiap kali tiba musim panas di Jepun. Anehnya dalam musim panas saja batuk ini menyerang. Habis musim panas, batukpun hilang. Pernah aku terpaksa ditahan di hospital berhampiran rumahku, untuk dimasukkan air dan ubat di pergelangan tangan untuk memulihkan batuk yang keras. Pernah juga aku membuat terjemahan dari rumah dan menghantar skrip melalui email. Orang lain yang menyampaikannya kerana batuk menghalang aku menyampaikan program.
Musim panas pertama agak mengkagetkan khususnya melihat juu-dai no shoonen-shoojo atau remaja Jepun menggelapkan kulit hingga kelihatan aneh dan pelik. Kasut platform dipakai hingga ada yang terjatuh dan matipun pernah disiarkan dalam akhbar. Apabila tiba musim panas berikutnya pada tahun kedua, tren remaja bertukar lagi. Kali ini memakai skirt dan jean pula. Paling menarik pakaian remaja di Harajuku yang pelik dan aneh menjadikan Harajuku yang terletak tak jauh dari NHK itu popular di kalangan remaja Jepun dan orang asing yang sering bergambar untuk dijadikan kenangan.
Hati kembali riang apabila melihat daun-daun pokok mula bertukar warna sebaik saja tiba aki atau musim luruh. Daripada hijau dedaun menjadi kuning, jingga, merah, coklat dan pelbagai warna indah yang lain apabila hari bertukar ganti. Indahnya suasana tidak tergambarkan dengan kata-kata. Aku paling suka musim luruh yang tiba. Terasa seperti mahu meraikannya setiap masa dan saat. Namun apakan daya, masa terbatas. Aku bekerja dari pukul 1 tengah hari hingga 9.30 malam. Jadi cuma waktu pagi aku dapat nikmati keindahan pepohon. Atau ketika melalui Taman Yoyogi yang luas dalam perjalanan dari stesen keretapi atau eki di Harajuku ke NHK pada waktu tengah hari. Jika tiba hari minggu aku tidak melepaskan peluang membawa anakku Aini dan kakak yang turut serta ke Jepun untuk menikmati saat-saat indah dan cuaca yang semakin dingin pada musim luruh yang indah itu. Sesekali ada rakan Jepun mengajak kami ke rumah mereka untuk berbarbique. Kami tak makan daging bakar mereka, tetapi membawa makanan dari rumah. Orang-orang Jepun suka makanan Melayu. Itu yang pasti. Aku suka sangat suasana rumah kayu Jepun yang menggunakan pintu sorong. Berkelah dan makan-makan dalam suasana santai di taman Jepun di depan rumah yang cantik memang menyeronokkan. Apatah lagi cuaca aki yang nyaman dan segar.
Bersambung…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: