Archive for November, 2009

CINTA DI TOKYO: Part 46: “Bintang-bintang telah redup…”

Malam semakin larut. Alisa masih tidak dapat tidur, walaupun matanya terasa mengantuk. Dia berpusing ke kiri dan ke kanan.
Ah, aku belum solat witir lagi. Dia bingkas bangun untuk menunaikan solat sunat witir. Solat yang memang dituntut dilakukan selain solat dhuha dan puasa paling kurang 3 hari sebulan, seperti yang dipesan Rasulullah saw kepada saidina Ali. Dia berdoa agar semuanya berakhir dengan baik dalam hidupnya esok dan hari-hari yang mendatang.

Selesai berdoa dia ke futon dan meletakkan badannya yang memang sudah keletihan. Dia membaca ayat-ayat kursi dan kemudian membaca doa: “Ya Allah, bintang-bintang telah redup, mata-mata manusia telahpun terpejam, tetapi Engkau Yang Maha Hidup dan Maha Berdiri dengan sendirinya. Engkau tidak pernah mengantuk dan tidak juga tidur. Wahai Zat yang Maha Hidup dan Maha Berdiri dengan sendirinya, berilah aku ketenangan pada malam hari dan pejamkanlah mataku.” Hampir habis berdoa, matanya terus terlelap.

Jam loceng menjerit kuat. Alisa terus lena bagaikan seorang bayi yang baru tidur. Aini terjaga dengan bunyi bising jam tersebut. Dia menggoncang-gincangkan badan ibunya.

“Mami! Mami! Bangun…bisinglah jam ni, Mami…”

“Hmmm, …janganlah kacau mami tidur ni..ngantuk lah” Gertu Alisa. Tangannya tanpa sedar menolak-nolak tangan Aini.

“Bangunlah mami…” semakin keras suara anak kecil itu.

“Aini, jangan le kacau mami…ini hari Sabtu. Cuti…Aini tak sekolah hari ini kan?”

“…Eee…mami Aini nak…”

“Nak buang air?” Baru Alisa terjaga sepenuhnya. Dia bingkas bangun dan memimpin tangan anaknya ke bilik air. Hussh, sejuknya malam ini. Nasib baik jam loceng berbunyi, anaknya terjaga dan nak pergi ke bilik air…sejuk begini mesti rasa nak ke bilik…fikir Alisa.

Sedang dia membasuh Aini, tiba-tiba dia teringat, dia belum solat subuh lagi. Jam itu dikunci untuk bangun solat subuh. Selepas dia membaringkan dan menidurkan Aini semula, dia terus berwuduk dan bersolat subuh. Nasib baik Aini gerakkan dia tadi, jika tidak, habis subuh pagi ini. Fikir Alisa.

Inilah akibatnya jika sukar nak tidur malam. Mungkin banyak berfikir sangat. Memikirkan mamat kacak itu. Ish, buang masa aku je.

Advertisements

CINTA DI TOKYO: Part 45: “Biarlah aku tak tahu…”

Ishh, buat apa aku kenal dia lebih mendalam? Bukankah aku telah terluka yang parah sebelum ini? Mengapa mesti aku mengharungi lautan api sekali lagi? Bukankan cinta dan sayang yang menjadikan aku seorang wanita yang merana kerana seorang manusia lelaki bernama suami?

Aku ke sinipun untuk mengubati luka di hati? Mengapa aku mesti mencari luka yang baru? Alisa terus berfikir dan berfikir, menolak rasa hati yang kian merindui manusia lelaki bernama Koizumi. Ish, bodohnya aku ini, dia sikitpun tak hairan dengan aku…aku yang syok sendiri. Mengapa dengan aku ini? Mengapa tak sedar diri aku ini? Ish, dia merasa geram dengan perasaannya sendiri.

Sebolehnya Alisa tidak lagi mahu terlibat dalam situasi pedih begitu. Memberi sepenuh kasih kepada suami, tetapi berakhir dengan hatinya dilukai seperti ditusuk duri yang tajam. Sebolehnya dia tidak mahu lagi terikat dengan manusia bernama lelaki kerana pedihnya tidak dapat digambarkan. Lebih pilu melihat dirinya dipermainkan seperti bola…sakit, teramat sakit. Itu sebab dia tidak mahu lagi mengingati Malaysia…cuma apa yang diingatinya ialah keluarga besarnya di sana, khususnya ibu yang amat dicintainya.

“Mak jangan pergi dulu, ya mak, mak mesti bertahan…mak mesti sihat, tunggu hingga Alisa balik, dan Alisa mahu mak tinggal dengan Alisa…” Demikian pesan dan pinta Alisa agar ibu yang ditinggalkan sentiasa sihat dan panjang umur, agar dia dapat lagi bermanja dengan ibu yang mempunyai semangat kental wanita solehah sejati. Ibu yang sentiasa di tikar sembahyang, sentiasa membaca Al Quran dan sentiasa berzikir memuji Pencipta…

Alisa mahu menjadi seperti ibu…sentiasa bersabar dan sentiasa mengingati kepada zat Yang Maha Besar…walau di mana Alisa berada, dia mahu tetap dekat dengan Allah, Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang…

Biarlah aku tak tahu siapa Koizumi san sebenarnya, supaya aku tidak terluka lagi…tapi hati kecilnya meronta-ronta untuk mengetahui siapakah mamat kacak itu sebenarnya. Aduh…kenapa aku ini? Biarlah aku tak tahu siapa dia…tetapi aku mahu tahu juga. Bagaimana ini? Bagaimana? Hati Alisa meronta-ronta…

CINTA DI TOKYO: Part 44: “Kenapa aku tak tanya?”

Malam semakin larut, mata Alisa masih terkebil-kebil tidak boleh tidur. Fikirannya masih tertumpu kepada peristiwa di taman, berkenalan dengan mamat kacak Koizumi san, bermain salji dengannya dan Aini dan bagaimana mesranya Aini dan Hitomi chan dengan Koizumi san…ish, manis sungguh saat-saat itu…

Aini sudahpun terlena dan dibuai mimpi agaknya. Diperhatinya wajah comel anak itu dengan penuh kasih sayang. Kasihan sungguh anak ini, begitu dia mendambakan kasih seorang ayah…sudah bertahun-tahun tidak melihat wajah papanya sendiri. Papanya pun tidak pernah ambil peduli bagaimana wajah anaknya sendiri. Ah, biarkanlah!

Dia teringat bagaimana mesranya dan gembiranya Aini bersama Koizumi san tadi. Wah, seperti dah lama jumpa dan macam dah kenal lama…ketawa berdekah-dekah apabila bermain melempar-lempar salji…paling seronok apabila dia melemparkan salji ke tubuh Koizumi san…berguling-guling dia di atas salji yang tebal. Geli hati sangat melihat gelagat mereka. Koizumi san juga pandai berpura-pura sakit dan jatuh terguling di atas salji…issh, seronok sangat.

“Ok!… ok!…saya kalah… saya kalah…” ujar Koizumi san apabila Aini melemparkan salji kena ke mukanya yang segak itu. Suaranya terputus-putus seperti keletihan. Namun ketawanya semakin menjadi-jadi sehingga masih bergema dalam ingatan Alisa. Aini semakin galak ketawa dan telatah Aini sungguh menghiburkan. Mereka ketawa dan terus ketawa…

Alisa berpusing ke kini dan ke kanan di atas futon atau tilam yang dibentangkan di atas tikar tatami. Di Jepun ini mereka tidak menggunakan beddo atau katil. Mudah juga pakai tilam ini. Teringat dia ketika di rumah ibu di kampung di tanah air, apabila ramai adik beradik yang balik ke kampong terutamanya ketika menyambut musim raya. Mereka akan membentangkan tilam di atas lantai dan tidur beramai-ramai. Seronok.

Matanya masih tak boleh lelap. Dia terfikir-fikir, mamat kacak itu cakap dia pernah bekerja di Malaysia selama 7 tahun…mungkin sebab itu dia pandai bercakap bahasa Melayu. Masalahnya dia tingaal di mana? Bekerja di mana? Bekerja apa? Apa, apa dan apa….banyak yang masih menjadi tanda soal dalam benaknya tentang mamat kacak itu. Entah kenapa hati Alisa selalu menamakan pemuda itu dengan istilah mamat kacak.

Kenapa aku tak tanya tadi? “Awak tinggal di mana?”, “Awak kerja di mana?”…”Awak …awak…awak….” Ish, kenapa tak tanya? Dia terus berfikir dan berfikir tentang pemuda itu…

CINTA DI TOKYO: Part 43: “Yes…”

Kacaklah mamat ini…Alisa terus terpesona dengan wajah kacak Koizumi san. Alisa teringat beberapa bulan lalu Aini mengusiknya, “Mami Aini suka Koizumi san…dia lawa. Mami kawin le dengan dia”. Lucu sangat dialog Aini. Teringat juga rupa Junichiro Koizumi, Perdana Menteri Jepun yang kacak lawa seiras dengan wajah Richard Gere. Berambut putih, berhidung mancung dan macam dua beradik saja PM Jepun dengan bintang Hollywood itu. Dan kini Koizumi mamat kacak itu pula ditemuinya. Agaknya nama Koizumi ini di kalangan orang Jepun takdirnya kacak orangnya.

“Tak boleh, dia handsome…mami tak cantik!” Alisa memberi alasan.

“Lagipun, dia Perdana Menteri Jepun. Mami ini orang biasa…mana boleh.”

“Tak pe lah…Aini suka dia. Lagipun hari tu Aini dengar mami kata dia tak ada isteri. Bercerai dengan isteri dia”. Aduh, anak kecil begini jangan dibuat main. Kalau berbual mesti hati-hati. Baru dia teringat dia pernah berbual dengan Hori san tentang Koizumi san. Hori san bercerita yang Koizumi san sekarang adalah duda terhangat di Jepun.

Kebelakangan ini Aini selalu suruh ibunya Alisa berkahwin…katanya dia mahu ayah baru. Entah kenapa dia sering saja meminta ibunya berkahwin. Bagi anak kecil itu, berkahwin bukan masalah. Alisa rasa topik itu sungguh lucu, apatah lagi dibicarakan oleh anak sekecil Aini.

“Alisa san…” Alisa dikejutkan oleh mamat kacak bernama Koizumi san.

“Saya rasa Alisa san dan Aini chan sudah sejuk. Lebih baik balik ke rumah.”

“Oh,ya, betul, memang sejuk sangat ni. Jumpa lagi Koizumi san….” Jawap Alisa, sambil memagang tangan Aini yang kelihatan semakin keletihan.

“Eee… panggil saya Muhammad” Celah Koizumi san.

“Ah, maafkan saya….Muhamad san…ja mata ne…”

“Ja mata ne Koizumi san.” Hitomi chan menganggukkan kepalanya kepada Koizumi san. Mereka berpisah. Hati Alisa berbunga gembira. Yes!!!

CINTA DI TOKYO: Part 42: “Koizumi san, kawan baru Aini…”

“Hitomi chan… Koizumi san, Koizumi san…Hitomi chan” Alisa memperkenalkan mamat kacak itu kepada Hitomi chan.
Hajime mashite…” Kedua-dua mereka berkenal-kenalan.
“Saya Alisa…dan ini Aini” Aini tersipu-sipu malu sambil memeluk paha Alisa.

Koizumi san menghulurkan tangannya kepada Aini. Dia bercakap sesuatu dengan Aini dalam bahasa Jepun yang pantas. Alisa tidak dapat menangkap maksudnya, kerana bahasa yang digunakan sukar untuknya mengerti. Aini menjawab dalam bahasa Jepun dengan lancar sekali. Alisa terpinga-pinga.

Sebenarnya Alisa selalu berhadapan dengan situasi begitu apabila Aini disapa oleh guru, atau kawan-kawan Aini atau kawan-kawan Alisa sendiri. Aini akan berbalas cakap dengan pera-pera atau lancar sekali. Dia akan cepat mesra dengan orang-orang Jepun tidak kira kanak-kanak, mahupun orang dewasa. Bahasa Jepunnya faseh dan kedengaran seperti bunyi sebutan orang Jepun sendiri. Alisa selalunya hanya mampu tersenyum dan melihat saja perbualan Aini dengan orang-orang Jepun. Maklumlah, Aini dah dua tahun di tadika Jepun. Kawan-kawannya semuanya orang Jepun. Setiap hari dia berbahasa Jepun. Manakala Alisa selalu berbahasa Inggeris dan selalu juga dalam bahasa Melayu.

Alisa tak faham apa yang dibualkan oleh Aini dan Koizumi san. Sesali sekala Hitomi chan menyampuk. Sesekali mereka ketawa sambil bermain salji. Kali ini semakin rancak bermain dan berbual. Alisa cemburu melihat mereka. Kalaulah aku faham bahasa Jepun yang mereka bualkan.

Alisa tidak faseh bahasa itu. Dia cuma mengetahui sedikit bahasa pertuturan harian orang-orang Jepun. Dia Cuma 10 minggu saja belajar bahasa Jepun dalam kelas khas untuk Pakar-pakar bahasa di NHK. Dia hanya boleh berkomunikasi untuk bertanya arah jalan, atau ketika menaiki teksi menyatakan ke mana dia akan pergi…Paling dia ingat ialah “Migi manggate kudasai…” atau “Hidari manggate kudasai”. Arahan beluk ke kiri atau beluk ke kanan…selainnya dia selalu merujuk ke dalam buku. Lucu sangat.

“Alisa san…kami bercakap tentang hoikuen Aini. Dia bagi tahu saya dia ada boyfriend…dulu nama boyfriend dia Murakami kun…sekarang orang lain pula, tapi tak boleh bagi tahu nama…rahsia katanya.” Koizumi san menjelaskan kepada Alisa apabila dia sedar bahawa Alisa tidak menyampuk perbualan mereka.

“So desuka?” Kata Alisa, cuba berbahasa Jepun bermaksud “ye ke?” Itu saja yang dia tahu jawab…

Alisa terasa lucu, ketawanya berderai, geli hati dengan perangai Aini yang lucu, bercerita tentang boyfriendnya di hoikuen atau tadika jepun itu.

Alisa baru menyedari dia juga rasa selesa bersama Koizumi san. Nama dia ni sama macam PM Jepun, Junichiro Koizumi, fikir Alisa. Sama-sama kacak. Koizumi PM tu rupanya macam Richard Gere…Matsuo Koizumi sama macam siapa ya? …

CINTA DI TOKYO: Part 41: “Saya Muhamad Matsuo…”

Salji semakin tebal, mencecah satu kaki. Mereka meredah salji yang terbentang luas di sepanjang jalan menuju taman mini di bahagian depan rumah.

Mereka masing-masing menyarungkan stoking buruk ke kasut supaya dapat berjalan dengan mudah bimbang terjatuh…tips ini Hitomi chan juga tidak tahu kerana diberitahu oleh rakan Alisa pertama kali dia bermain salji di Jepun tahun lalu.

Suasana agak sunyi, namun masih ada yang berjalan perlahan-lahan meredah salji untuk pulang ke rumah masing-masing. Ada yang berpayung, ada yang tidak. Cahaya lampu jalan mencantikkan lagi permandangan yang memutih bagaikan hamparan permaidani puteh …

Alisa, Aini dan Hitomi chan riang bermain di dalam taman. Mereka membuat orang-orang salji yang agak besar, lebih besar daripada saiz badan Aini. Lepas satu satu lagi orang-orang salji dibuat. Payah juga membuatnya menggunakan sarung tangan. Namun menyeronokkan. Salji masih berjatuhan, melayang ke sana sini.

Di atas pepohon dan reranting sakura yang tidak berdaun, salji kelihatan agak menebal, di atas atap juga kelihatan begitu.

Kombanwa” Tiba-tiba Alisa disapa dari belakang. Terkejut dia. Pantas dia menoleh ke belakang. Berderau darah rasanya.

“Eee, kombanwa.” Balas Alisa. Siapa lagi kalau bukan mamat kacak itu lagi. Oh Tuhan…

“Anda orang Malaysia?” Hah? Mamat ini pandai bercakap bahasa Melayu?

“Eee…ya, saya dari Malaysia!…anda boleh bercakap dalam Bahasa Melayu?”

“Maafkan saya…nama saya Muhammad Matsuo Koizumi…” Lancar sekali percakapannya dan sebutannya juga perfect.

“Heh? …Muhamad?” Alisa terkejut sangat. Terpaku dan tergamam. “Anda beragama Islam?”

“Ya…saya pernah bekerja di Malaysia…7 tahun lamanya.”

“Mami!…Mami!…”Jerit Aini. Dia menoleh kepada Aini dan Hitomi chan yang asyik bermain salji.

“Maafkan saya…” Alisa menuju kepada Aini. Jantungnya berdegup kencang…”Ada apa Aini?”

“Mami datanglah kita main salji ini…”

“Boleh saya ikut bermain?” Soal lelaki kacak itu…Aduh…terasa bagaikan Alisa bermimpi. Baru sebentar tadi dia memikirkan tentang mamat kacak ini…dan kini dia ada di sini turut serta bersama dia dan anaknya Aini bermain salji. Nasib baik ada Hitomi chan.

zwani.com myspace graphic comments
Graphics for Good Day Comments