Archive for December, 2013

MAK DAN PAK YANG PENGASIH…

Teringat ketika masih sekolah rendah dulu, sekitar tahun 60an dan 70an, hujung minggu begini, apabila arwah bapak masih sihat, cukup bulan apabila dapat duit pencen cikgu besar, bapak akan pergi ke pasar dan balik memasak nasi minyak special. Lauk daging atau ayam, masak gulai ke, tak lupa sambal kerisik, resipi keluarganya di Parit Buntar, ada juga sayur kailan masak kicap perencah ayam untuk kami semua. Saya tengok cara bapa masak yang menggunakan dapur kayu api, ada susu cair, ada lobak merah dimasukkan ke dalam nasi minyaknya yang ditumis menggunakan minyak sapi. Sedapnya hingga terasa sampai hari ini. Bapak memasak di bawah bangsal besar di tepi rumah, mengadap ke sawah padi di kampung saya di Pecah Batu, Lenggong, (kini Lembah Warisan Dunia), sambil menghisap curut besar.

Kalau bapak ada lagi, usianya dah lebih 120 tahun. Cikgu Said, arwah bapak meninggal tahun 1981 ketika saya di UM tahun 2 pada usia bapak 84 tahun.

Arwah mak pulak, guru sekolah rendah, akan gunakan hari hujung minggu mengutip semua selimut dan cadar tebal dan berat dari keluarga besar anak 12 orang untuk direbus dalam periuk besar di bawah bangsal di luar rumah. Apabila dah rebus dengan sabun fab, dibilas dengan air telaga, di pijak dan diperah dengan tangan. Baunya wangi, dan selepas perah mak jemur. Apabila kering, diangkat, masyaAllah, bersihnya selimut dan cadar.

Kalau mak masih ada, usianya dah lebih 90 tahun. Meninggal tahun 2006, juga pada usia mak 84 tahun. Cikgu Aminah orangnya cantik macam mak Arab. Matanya berwarna coklat muda. Hidungnya mancung dan kulitnya putih melepak.

Rindu kepada mereka. Anakmu ini hanya mampu bersedekah ayat-ayat suci dan doa buatmu berdua.

Advertisements

TUHAN AMBIL SATU DEMI SATU…

Tuhan ambil satu demi satu…

Dulu mataku terang dan jelas penglihatannya, kini semakin rabun
Dulu aku sihat tanpa penyakit, kini ada darah tinggi dan diabetes
Dulu gigiku penuh, kini nak mengunyahpun susah
Dulu suaraku mantap, kini sebutanpun tak berapa sedap
Dulu aku mewakili negeri dalam sukan netball
Kini nak berlaripun aku tidak larat
Dulu memandu lebih 8 jam dari Perak ke Terengganu aku boleh
Kini memandu 2 jam dari Ipoh ke KLpun terasa letihnya
Dulu 12 jam naik flight dari KL ke Amsterdam, relaks je
Kini 1/2 jam dari Penang ke Langkawipun, penat rasanya.

Aku yang dulu, bukan aku sekarang
Dulu dulu dulu, rambut ku hitam
Kini kini kini, dah mula banyak yang putih.

Semoga aku semakin dekat denganMu
Ya Robbi Ya Karim Tuhan Sekelian Alam
Amin, Ya Rabbal alamin!!!

SAINS ZAMAN DULU-DULU…

Sains zaman dulu-dulu…

Sebelum tahun 60an hinggaleh ke tahun 80an, di rumah saya di Pecah Batu, Lenggong, Lembah Warisan Dunia, tak ada eletrik dan tak ada bekalan air.

Kami menggunakan air telaga untuk mandi, memasak dan minum.

Satu yang paling saya ingat, bagi memastikan kami sekeluarga minum air bersih, bapak (yang kami panggil “PAK”) buat penapis air menggunakan tong besar. Tong drum ke? Saya masih kecil tak berapa ingat. Pak masukkan lapisan batu demi batu dalam tong itu. Dilapis daripada pelbagai saiz. Dari saiz besar hingga saiz kecil. Ada juga pasir halus. Kami tengok je…Apa Pak nak buat? “Penapis air”, kata Pak.

Tiap hari, Pak, Mak, kakak-kakak, abang-abang dan saya juga dan adik akan mencedok air daripada perigi dan dituangkan ke dalam penapis air besar di depan perigi. Cedok satu baldi kecil demi satu baldi hingga penuh penapis air. Berpeluh dibuatnya apabila mencedok air daripada perigi. Terchungap-chungap jugalah. Kami berdiri atas pangkin yang sama tinggi dengan pangkin penapis air itu. Bagi orang dewasa, boleh mencedok penuh satu baldi kecil, bagi yang kecil seperti saya dan adik-adik, kami mencedok separuh baldi kecil, untuk dituangkan ke dalam’penapis air ajaib’ itu…

Saluran paip dihubungkan daripada penapis air hingga ke dalam tempayan besar di atas pangkin depan ruang dapur. Air yang keluar di hujung paip itu kelihatan sungguh jernih dan bersih, menjadi air suling yang terasa sedap diminum. Air itulah digunakan untuk memasak, membasuh pinggan mangkuk, sayur-sayuran, ikan, daging atau ayam mentah sebelum dimasak.

Tak salah masa itu saya masih sekolah rendah. Hmm, kalau difikirkan, anak-anak sekarang tak mungkin akan merasa ‘azap’ seperti itu. Semuanya tersedia di dalam rumah, terus ke dalam bilik air.

Apapun, saya bangga dengan bapak saya, guru pencen yang kreatif. Semoga Pak tenang di ‘sana.’ Amin.