…Sudah setahun setengah di PERAKfm

Rasanya banyak perubahan yang telah saya bawakan untuk pendengar Perakfm sejak saya mengetuai stesen ini. Di antaranya kandungan program di radio yang lebih mantap demi mengekalkan jumlah pendengar dan mencapai sasaran KPI bagi jumlah pendapatan melalui iklan Perakfm. Apapun, matlamat hiburan berinformasi Untuk Kome Aje akan dicapai demi memastikan anda terus mendengar radio Perakfm.

Bagi anda yang tinggal di luar negara layarilah perakfm.rtm.gov.my, inshaallah anda akan terhibur khususnya dengan program tonggak kami di antara lain Santai Petang Bersama Ustaz Kazim Elias Al Hafiz, Cer Pikio Bersama Os, Cerita Bersama Kak KT (Katijah Tan) menggunakan loghat Perak. Anda boleh berinteraktif dengan Ustaz atau dengan DJ, OS dan KT.Program agama juga kami sediakan bagi memperbaiki kefahaman kita terhadap agama Islam dengan program Soal Jawab Agama bersama SS Tan Sri Mufti Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. Deme Tanya Pak Ngah Jawab, khas untuk anda mengadu apa juga perkara demi kebaikan bersama…

Jom ke perakfm.rtm.gov.my

Untuk Kome Aje…

Sila baca Novel Online…CINTA DI TOKYO dari part 1 hingga part 49

Empat tahun menimba pengalaman bekerja dan hidup di negara matahari terbit, banyak meninggalkan kenangan manis dan indah buat diriku seorang penyiar…

Kisah yang tertera dalam CINTA DI TOKYO adalah cerita benar…

Silakan menyelami kisah hidupku di negara sakura yang sungguh indah itu…Sila ke NOVEL ONLINE.. di bawah KATEGORI di sebelah kiri blog ini, inshaallah…

Bertukar ke PERAK fm…

Mulai 11 April 2011 saya mula bertugas di PERAK fm sebagai Pengarah Penyiaran Negeri Perak. Ini kali kesebelas saya berpindah tempat kerja. Kali ini alhamdulillah saya dinaikkan pangkat lagi, syukur kepada Allah.

Buat masa ini teramatlah sibuknya, hingga tidak sempat nak jengok blog ini. Namun kepada pembaca semua, saya ucapkan salam mesra dan salam hangat …semoga semua diberkati Allah.

Japan, my heart is with you…

I pray for you Japan…

“Japan scrambled to avert a meltdown at a stricken nuclear plant on Monday after a hydrogen explosion at one reactor and exposure of fuel rods at another, just days after a devastating earthquake and tsunami that killed at least 10,000 people”…

I am so sad that Japan and it’s peoples are suffering right now. I have received an email and some news that my friends are safe in Tokyo…but what about those who had lost their families in Sendai and the areas affected by tsunami? Let’s pray for them…

EPISOD 2 MINGGU DI PULAU BALI…

Disember 1988: Waktu-waktu sedih seperti ini, alangkah bersyukurnya diriku dapat terbang jauh daripada suasana di pejabat yang seperti tidak mengerti perasaan lukaku…

Bukan salah mereka, tapi itulah hakikat yang perlu ditempuh apabila ditanya orang, awak bila lagi nak dapat anak? Mereka tidak tahu bahawa hatiku waktu itu terlalu hancur.

Sebenarnya aku sudah bergelar ‘janda’ ketika usia masih muda ketika itu. Malu, geram, sedih, terharu, bingung, benci tapi rindu. Semuanya berserabut.

Namun apabila dapat ke Pulau Bali sellama dua minggu mengikuti Seminar Mass Media and The Protection of the Environment, aku melompat gembira. Ya Allah, aku bersyukur kerana engkau menganugerahkan aku peluang untuk lari jauh daripada kesedihan yang amat sangat ini. Berseminar selama dua minggu tentang alam sekitar bersama penyiar–penyiar dari banyak negara lain menemukan aku dengan rakan-rakan baharuku yang baik dan mesra. Kami berbincang tentang alam sekitar. Maklumat baharu yang aku temui ialah di Pulau Bali yang indah ini bangunan yang dibina tidak boleh lebih tinggi daripada pokok kelapa. Ini bagi mengekalkan kelasterian alam sekitar bagi memastikan keindahan pulau yang popular itu kekal dan cantik.

Kami tinggal di Sanur Beach Resort. Pengalaman baharu ialah susah untuk mencari makanan halal. Kena hati-hati ketika makan makanan yang disediakan penganjur, ada yang tak halal diletal bersebelahan dengan yang halal…senduk dikongsi pulak itu. Ampun, aku tidak sanggup makan. Akhirnya pergi cari gerai Muslim yang menjual bakso dan nasi. Aku makan nasi dengan telur rebus ajelah…atau berani makan conflake, susu, buah-buahan, salad sahaja. Sabar je lah. Tidak mengapapun, hati yang luka tidak memungkinkan aku makan banyak pun. Tak selera…sesekali kesedihan itu datang apabila sesi tamat. Kemudian aku membuka Al Quran dan hati kembali terubat.

Kami dibawa melawat banyak tempat wisata atau pelancong. Termasuklah ke lurah yang luas dan saujana mata memandang, yang satu ketika dulu dilanda muntahan gunung berapi, namun kini telah kembali menjadi bumi dan kampung yang subur. Paling sesuai daerah itu mengeluarkan jeruk atau limau nipis yang berskala besar hingga penduduk boleh bergantung kepadanya.

Rata-rata penduduk di situ bukan Islam. Anjing ada di mana-mana.

Beberapa hari terakhir sebelum seminat tamat, pada hujung minggu aku dan beberapa orang teman dari Indonesia, Malaysia dan Filipina menyewa sebuah mobil 4W untuk mengelilingi pulau Bali nan indah. Kami melihat sawah padi bertingkat-tingkat yang menghijau dan menguning, melihat desa-desa dan rumah-rumah Bali yang comel dan bersih, juga melihat pintu gerbang ke hampir semua kampung yang diukir cantik. Biara dan kuil tempat penduduk beribadat (agama Hindu) banyak sekali. Masjid tidak banyak, kerana hanya 10 peratus orang Islam saja tinggal di pulau itu ketika itu.

Kami ke sebuah kuil yang dihuni oleh monyet yang banyak jumlahnya. Paling lucu seekor monyet naik ke atas belakangku dan mengejutkan aku. Paling menakutkan ia menarik cermin mataku yang membawa lari. Nasib baik dilepaskan tidak jauh dariku. Lucu juga tapi yang pasti aku menjerit sekuat hati kerana terkejut dan takut.

Dua minggu di Pulau Bali dapat juga mengubat hatiku yang luka parah ketika itu. Tapi kata orang semuanya berlalu selepas 100 hari…tapi susah bagi diriku untuk melupakan wajahnya begitu saja…

EPISOD SEBULAN DI COLOMBO, SRI LANKA

Aku bertemu buat pertama kali dengan Jee di Changi Airport…aku menegurnya. Rupanya dia juga akan ke Colombo di bawah program yang sama. Cuma aku ke radio dan dia ke bahagian TV, sungguhpun dia bukan orang TV…dia dari Lembaga Penduduk…buat apa dia ke sana? kursus yang sama?

Tak apa…Colombo aku datang bersama Jee…

Bulan Mei tahun 1991, aku berada sebulan di Colombo. Setiap hari berulang alik menaiki bas yang disediakan oleh Sri Lanka Broadcasting Corporation, SLBC dari hotel yang murah ke SLBC menjalani kursus Audience Research,  bagi mencari ilmu penyiaran. Research Persons yang dibawa khas oleh Asia PasificInstitute of  Broadcasting ini ialah dari Filipina, dari Australia dan dari Sri Lanka sendiri. Seronok juga kerana dapat berkursus bersama rakan-rakan penyiar dari Asia Pasifik yang lain. Hanya Jee seorang bukan penyiar.

Teringat juga ketika berulang alik itu, khususnya waktu malam, kami melihat ribuan orang miskin tanpa rumah tidur di kaki-kaki lima kedai dan di atas beca. Berderetan sepanjang kaki lima dalam bandar Colombo. Sedih melihat ibu, ayah, anak-anak kecil tanpa selimut dan remaja bergelimpangan tidur.

Paling aku ingat ialah kekadang, apabila kami mahu ke pekan atau bandar, menaiki bas yang terlalu padat dengan penumpang, hingga senget ke tepi, terasa seperti nak terbalik, anehnya bas tetap berjalan dan meluncur laju.

Kami dibawa ke kawasan-kawasan kampung di Sri Lanka berjumpa dengan pelbagai keluarga yang sederhana dan miskin bertanya tentang program radio yang mereka dengar dan pandangan mereka tentang program radio Sri Lanka.

Paling bertuah buat diriku ialah dapat bertemu dan berkenal mesra dengan keluarga Melayu Sri Lanka, iaitu penyiar TV Sri Lanka bernama Hartini Muhamad, yang selalu juga datang ke DBP di Kuala Lumpur untuk membuat kajian bahasanya di Malaysia. Dia amat mesra orangnya. Aku teringat aku bertemu dengannya sekali lagi di rumahku di Subang Jaya ketika beliau datang ke Malaysia. Persahabatan yang diharap akan berkekalan. Aku pernah ke rumahnya di Colombo dan beliau menghidangkan makanan Sri Lanka yang amat enak, tetapi pedas luar biasa kerana mereka menggunakan rempah ratus yang pedas dicampur dengan lada hitam. Kemudian aku juga ke rumah seorang rakan penyiar yang menghidangkan kami dengan makanan Sri Lanka seperti kari, masak udang dan sayur-sayuran yang rasanya tidak kurang enak, tetapi pedas menyengat.

Bertuah juga dalam sebulan dapat bertemu ramai kenalan baru yang baik dan mesra. Pertemuan dengan keluarga Mr Hussein sungguh memberi kesan kepadaku dan Jee. Keluarga kaya Muslim Sri Lanka ini memang hebat. Mengetahui kami sebulan di Sri Lanka ketika kami ke kedai permata mereka di Colombo, pada bulan Ramadhan ini, memberi ruang keapda kami menikmati juadah berbuka puasa di rumah mereka. Kemudian apabila tiba hari Raya Aidil Fitri Mr Hussin menyuruh anak lelakinya yang kacak lawa mengambil kami di hotel dibawa ke rumahnya untuk berhari raya dan makan-makan. Sebelum itu kami ke masjid untuk bersolat sunat raya. Aneh aku rasa, wanitanya tidak memakai telekung dan menutup aurat litup seperti orang kita. Mereka memakai sari, rambut boleh dilihat, kerana tidak litup, sesekali sari yang diletak di atas kepala jatuh dan bahu dan mereka menarik dan menutup kembali kepala ketika sedang solat. Tak kusyuk aku dibuatnya. Apapun, mereka baik dan beriman, aku hormati mereka dengan mazhab yang mereka ikuti.

Malam sebelum raya, Mr Hussin mengajak kami berbuka puasa, dan selepas solat terawikh, kami diajak sama untuk mengedarkan beras yang dibelinya bertan-tan di rumahnya untuk dicedok dari guni ke dalam beg plastik untuk diedar kepada fakir miskin. Mengalir air mataku terharu dengan budi mulia Mr Hussin yang kaya raya tetapi bersedekah kepada orang miskin yang berbaris panjang sehingga larut malam untuk menerima beras yang diberi sebanyak dua gantang seorang. Masya-Allah.

Keluarga Mr Hussin menjamu kami dengan makanan negara itu yang sedap tatapi seperti biasa pedas. Dan yang aku rasa pengalaman yang tidak dilupakan apabila menghirup sup yang dihidangkan dalam gelas. Hmmm, tak payah pakai sudu. Hirup saja macam hirup kopi.

 

 

Sri Lanka ditinggalkan dengan pelbagai pengalaman indah bersama Jee.

EPISOD SEBULAN DI QUEZON CITY, MANILA…Bhg. 1

Ribut taufan itu sungguh dahsyat. Aku jadi teramat takut tinggal dalam bilik asrama Universiti di Quezon City…Bunyi angin yang bertiup sungguh menyeramkan. Aku takut dan gerun sekali. Selimut tak boleh menghilangkan rasa takut yang teramat sangat ini.

Inilah pertama kali dalam hidupku berhadapan dengan suasana taufan yang mengganas seperti itu. Bunyi ribut itu seperti guruh yang menggerunkan. Dunia seperti akan kiamat. Angin yang berdesing masuk di celah-celah tingkap bilik asrama. Dan tingkap terasa seperti akan terbuka. Ya Allah, selamatkan aku…

Bersambung.