Posts Tagged ‘Add new tag’

CINTA DI TOKYO (Part 12) “Miko dan Hendra”

Pasangan suami isteri ini memang secocok. Mereka ditakdirkan bersama walaupun dari dua bangsa berbeza. Seorang dari Jepun dan seorang dari Malaysia. Miko anak seorang diplomat Jepun yang berkahwin dengan wanita Indonesia ketika berkhidmat di Indonesia. Miko bertemu Hendra ketika bapanya bertugas di konsulat Jepun di Kota Kinabalu. Hendra ketika itu bertugas sebagai pemberita sambilan di sebuah stesen penyiaran di Kota itu. Takdir mempertemukan mereka dua tahun lalu. Sepasang suami isteri yang sungguh secocok. Miko cantik sekali. mempunyai kulit yang halus mulus, berhidung mancung, bermata galak tapi tidak begitu tinggi. Kecil molek tubuhnya. Persis wanita Asia yang lain. Tak ada wajah Melayu daripada ibunya wanita Indonesia, tetapi mewarisi wajah papanya lelaki Jepun.

Hendra orang Kota Kinabalu ini memang kacak. Agak tinggi, berkulit sawo matang, berkumis nipis dan mempunyai hati yang sungguh murni. Pasangan inilah merupakan tetamu pertama Alisa ketika mula berpindah ke rumah Jepun di Tomigaya yang terletak di bandar Shibuya-ku di kota metropolitan Tokyo yang besar itu selain Hori san. Oh, ini rupanya Hendra dan Miko pasangan suami isteri yang disebut-sebut oleh Lokman sebelum Alisa terbang ke Tokyo tempoh hari. “Kalau u ada apa-apa yang nak minta tolong, Hendra memang boleh diharap. Dia sekarang bekerja sementara sebagai penyiar di NHK.” Jelas Lokman.

Hendra dan Mikolah yang banyak membantu Alisa dan keluarganya sepanjang di Jepun selain Hori san. Hendra amat menyukai anak kecil. Aini juga rapat dengannya. Begitu juga Miko. Selalu juga apabila tiba hari minggu mereka membawa Alisa dan anak-anaknya berjalan-jalan di banyak tempat di kota Tokyo dan tempat-tempat lain.

Musim panas itu, mereka membawa Alisa dan anak-anak ke rumahnya yang terletak agak jauh dari rumah Alisa. Mereka menaiki keretapi bawah tanah dan melalui beberapa ‘eki’ atau stesen keretapi . Rumah  kayu yang mereka sewa sedikit kecil daripada rumah Alisa. Namun mereka bahagia. Hari itu, Miko mengajar Alisa menyiapkan makanan Jepun ‘tempura’. Dia siap membeli pelbagai jenis sayuran seperti carrot, asparagus, brakoli, cendawan shitaki dan lain-lain lagi. Tidak ketinggalan udang besar dan ikan yang dipotong nipis sebelum dicelup tepung yang dicampur telur dan digoreng dengan minyak yang banyak (deep fried). Semua digoreng satu persatu. Sebaik masak, terus dimakan dengan mencicah sos kicap yang dibeli oleh Miko di kedai depan rumah mereka. Miko berpesan, “Akak jangan masukkan garam dalam tepung ini ya…kerana nanti kita akan makan dengan kicap. Nanti hilang rasa sedapnya sayur-sayuran dan udang yang segar.”

Mereka makan dengan lahap sekali. Aishah kelihatan gembira sekali. “Cah akan masak untuk mak dan ayah bila balik Malaysia nanti.” Ujarnya riang sambil mencicah tempura dengan kicap. Aini juga suka makan tempura. Alisa lagi suka. Lepas satu satu disuapnya ke mulut. Tak Hairan mengapa dia kelihatan montel, suka makan apa juga masakan.

Akhir musim panas pertama itu juga Hendra dan Miko membawa mereka ke kebun oren di luar kota. Mereka menaiki densya/ keretapi dan lepas itu menaiki bas pula untuk sampai ke kebun oren. Beratus-ratus pokok oren ada di situ, dipenuhi dengan buah-buah oren yang masak menguning. Cantik sangat, dari jauh kelihatan seperti pokok berbunga kuning dan jingga. “Kita bayar 3 ribu yen, dan makan sepuasnya. Kemudian kita beli jika nak bawa balik.” Kata Hendra. Alisa bukan main seronok lagi memetik buah oren. Dari satu pokok ke satu pokok dipetiknya. Aini berlari-lari riang di celah-celah pohon oren yang merimbun. Penat juga Hendra mengejarnya. Mereka ketawa riang. Aishah dan Miko juga gembira dan riang memetik buah oren. Mereka makan sepuas-puasnya. Di kebun oren itu juga ada gerai yang menjual ubi keledek Jepun yang dibakar. Rasanya sungguh manis dan sedap sekali. ‘Nihon Ocha’ atau teh hijau jepun dihidangkan percuma.  Apabila hari hampir petang baru mereka beredar sambil membeli oren. Alisa membeli beberapa kilo untuk dibawa ke NHK dan dibawa balik ke rumah. Dia juga menghadiahkan beberapa kilo kepada Miko yang menolaknya, tetapi cuma mengambil sekilo. “Cuma kami berdua saja di rumah kak. jangan terlalu banyak.” katanya dengan loghat Indonesia. Wanita ini berwajah Jepun, tapi pelatnya sebiji pelat orang Indonesia jati.

Mereka berpisah di eki terdekat dengan rumah Alisa di Harajuku dekat Yoyogi Koen atau Taman Yoyogi, taman terbesar di bandar Shibuya. “Akak telefon saja kami jika nak ke mana-mana.” Kata Miko. Alisa melambai tangannya kepada pasangan bahagia ini. Mereka berpisah dengan kenangan manis yang tidak terhingga buat Alisa dan Aishah, juga Aini yang mula menyukai Hendra dan Miko.

Advertisements

CINTA DI TOKYO (Part 9) “Tikar Tatami”

Sehari saja Alisah dan anak-anaknya tinggal di Hotel di Shibuya-ku. Hotelnya terlalulah sempit. Nak bergerakpun rasanya payah. Nasib baik sehari saja mereka di situ. Tak sanggup rasanya mereka berlama-lama di ruang sempit itu. Tidak seperti rakan-rakan specialist yang lain, tinggal di hotel berbulan-bulan sementara mendapatkan rumah kediaman.

Dia beruntung kerana dari awal telah bersetuju mengambil tempat tinggal Lokman pegawai yang sebelum ini bertugas di NHK dan kini telah balik ke Malaysia. Seronoknya kerana Lokman mengambil rumah sewanya di Langkawi, Alisa mengambil tempat Lokman di Tokyo. Bukan mudah perkara sebegini terjadi…semuanya ketentuan Ilahi belaka.

“You ambillah bantal, carpet eletrik, pinggan mangkuk aku kat rumah itu Liss.” Kata Lokman melalui telefon sebelum dia terbang ke Tokyo dan Lokman balik ke Malaysia setelah empat tahun berkhidmat di sana.

“Kau pula boleh gunakan air cond aku, meja dan kerusi makan aku, dan langsir baru akupun kau ambiklah Lok” kata Alisa.

“Oh ya, aku ada tinggalkan peti ais untuk kau kat sana.” Kata Lokman. Kiranya mereka seperti bertukar-tukar barang. Kenapa Lokman tak bawa peti ais ke Malaysia? Dia terfikir. Entahlah…

Anehnya rumah itu tidak ada pendigin udara, sedangkan cuaca panas ini seperti menggigit-gigit kulitnya.

I need the air cond, no matter what, Hori san.” Ujar Alisa sebaik saja memasuki rumah Jepun bertikar tatami itu. Rumah kotak itu dibahagi empat. Satu ruang tamu, satu ruang dapur, satu ruang bilik tidur dan satu ruang bilik air, tandas dan tempat mesen basuh kain. Ada enam pintu di dalam rumah itu, satu dari ruang masuk terus ke ruang bilik air, satu terus ke dapur, satu ke ruang tamu, satu dari ruang tamu ke luar mengadap bukit belakang rumah, satu di ruang tamu ke bilik tidur dan satu dari bilik tidur ke ruang bilik air atau tandas. Pintu sorong di dalam rumah diperbuat daripada papan yang ringan dan dibaluti dengan wall paper. Tapi wallpapernya banyak yang koyak? Di bahagian bawah saja…

Alisa san, don’t worry. We will change the wallpaper soon.” Jelas Hori san. “Lokman san has got a cat.” Oh, patutlah wallpaper ini koyak rabak. Fikir Alisa.

Sebaik saja Hori san beredar pergi selepas menolong mengangkat beg-beg besar masuk ke rumah itu Alisa dan Aishah berpandangan mata. Tiba-tiba mereka ketawa besar. Lucu kerana apa yang disangka selama ini di luar dugaan.

“Keciknya rumah ini mak ndak” kata Aishah.

“Tak apelah, kita belajar hidup cara Jepun ya. “Kata Alisa sambil tersenyum. Hatinya riang walaupun ruang rumah papan dua tingkat itu sempit dan kecil. Gelihati pun ada “Tapi banyak almarilah’, kata Aishah.

Almari ini luas. Ada dua tingkat, di dalam ada banyak tilam lipat, selimut dan carpet eletrik. Pintu sorongnya mudah dibuka dan boleh dicabut keluar.

“Seronoknya duduk rumah ini.” Aini yang baru belajar bercakap, tiba-tiba bersuara. Mereka ketawa dan terus ketawa. Aini berguling-guling di atas tikar tatami yang memenuhi setiap ruang rumah kotak kecil itu. Alisa duduk melepas lelah, setelah memunggah pakaian dan dimasukkan ke dalam almari itu. Aishah bernyanyi riang…

“Tengok pintu ini, banyaknye…boleh gi sana, gi sini…” Kata Aishah. “Syok juga ye.” Mereka terus ketawa sambil melepas lelah di atas tikar tatami yang kelihatan baru dipasang. Bau tikar menusuk hidung. Bagusnya tikar ini sedap dipijak, licin dan halus buatannya. Disusun berkotak-kota melintang dan membujur. Cantik pulak susunannya. Ada seni estitika tersendiri. Hari itu mereka tidur awal sekali. Kepenatan. Namun panasnya cuaca musim panas ini tidak tertahankan. Alisa membasahkan tuala kecil dan mengelap-lap seluruh badan anaknya. Kekadang dia ke bilik air untuk membasuh muka dan membasahkan badannya dengan percikan air paip. Tidak sedar pula bila mereka bertiga terlelap.

Esok paginya, Alisa rasa sesuatu di kerongkongnya. Terasa sakit yang amat sangat. Dia mula terbatuk-batuk. Rupanya dia alah dengan tikar tatami. Batuknya semakin menjadi-jadi. Namun dia redha. Kehidupan baru ini memang aneh, tapi amat menyeronokkan.

Lusa Alisa akan melapor diri di NHK…Bagaimana agaknya bekerja di stesen radio antarabangsa nanti?