Posts Tagged ‘cerpen online’

Menggapai pelangi (PART VII)

Aku seorang penyiar. Aku menerajui sebuah stesen radio di Utara, milik kerajaan. MUTIARAfm. Para petugas di stesen ini amat dedikasi. Tugas kami ini nampak mudah. Bagi orang luar, mereka akan pasang radio dan dengar radio. Ada lagu terkini, ada lagu retro, lagu klasik, antarabangsa, ada pengumuman awam, ada iklan, ada program agama, progam yang membincangkan isu semasa, ada berita dan pelbagai program lain, termasuk menyiarkan lagu-lagu pilihan pendengar. Untuk stesen ini, kami siarkan pelbagai jenis lagu. Tapi aku nampak, orang Penang suka lagu hindi. Akupun tak kurang juga suka lagu hindi atau hindustan ini. Ramai juga yang menelefon minta slot hindi disambung menjadi sejam, daripada setengah jam sehari, empat kali seminggu ini. Aku masih mengkaji juga.

Menerbitkan rancangan pada masa sekarang memang jauh lebih mudah berbanding ketika aku baru menyertai industri ini 26 tahun lalu. Dulu kami tidak ada peralatan digital. Tak ada komputer, tak ada internet dan mesin editing yang canggih seperti hari ini. Hari ini 2008, orang dah guna komputer saja untuk membuat editing. Dulu aku menggunakan open reel. Mesti ada banyak mesen di depan aku. Ada turn table, untuk memutar lagu atau membuat mixing muzik ke dalam master tape bagi menyiapkan sebuah program dokumentari misalnya. Aku ketika itu menerbitkan program majalah mingguan, menulis dan menyampaikan ulasan berita, membuat sorotan berita seminggu sekali yang disampaikan secara live di Radio Malaysia Rangkaian Nasional. Program yang aku terbitkan banyak juga menerima pujian. Aku juga menulis dan menyampaikan program yang berbentuk kritikan sosial setiap pagi jam 7 selama 5 minit, bertajuk Topik Pagi Ini. Hampir setiap hari suara aku kedengaran di radio. Aku tak tahu sejauh mana suara aku di dengar.Tapi apabila aku bertemu pak menteri ke, tokoh akadamik dan sebagainya, mereka kenal aku..”Oooo saya pernah dengar suara awak membaca ulasan berita dan menyampaikan Topik Pagi Ini. Bagus, saya suka” Kata mereka. Seronok juga kerana usaha dan penat lelah menerbitkan program radio tidak sia-sia. Ketika itu tak ada lagi radio swasta. Radio Malaysia didengar ramai.

Suatu hari ketika aku sedang mengikuti masyuarat di unit Ehwal Semasa Radio tempat aku bekerja, bos kanan aku panggil aku..”Tahniah! Program awak, Perspektif, mendapat pujian. Menteri telefon tadi, katanya program awak menyeluruh, menarik dan berkesan.” Aku sungguh seronok kerana mendapat pujian begitu. Tak salah aku, program majalah setangah jam itu aku terbitkan mengenai tuntutan kenaikan gaji oleh Quepec pada tahun 1986 atau 1987. Tetamu aku ialah Pak Ungku, Allahyarham Datuk Seri Megat Junit, Menteri ? ketika itu, dah lupa pulak, Aireen Fernandez dari FOMCA dan orang ramai. Masing-masing memberi komen yang sungguh bernas.

Aku terbitkan program radio dengan penuh dedikasi. Pernah juga jam satu pagi aku masih di studio membuat editing. Masa itu kami membuat editing dan mixing, scripting, temuramah dll secara solo. Aku memikul nagra (alat rakaman) seberat 15 kg ke hulu hilir untuk merakam pendapat orang ramai dan tokoh-tokoh tertentu. Balik ke studio, dengar kembali rakaman itu, membuat editing dan kemudian menulis skripnya. Selepas itu menjalani proses penerbitan. Wah, panjang waktu yang diambil. Dari pagi hingga malam, masih bekerja. Kadang tu tak ingat nak makan. Selepas siap, dengar semula program itu. Muzik yang dipilih mesti sesuai, digunakan sebagai sign tune dan juga bridge music. Bila puas hati semuanya, baru menghantar que-sheet ke konti untuk disiarkan pada waktu yang dijadualkan. Walaupun susah dan penat, hatiku puas.

Aku masih ingat, ketika mula bertugas dan menerbitkan program, pernah bos aku kata, suara aku macam katak? Terkejut aku. Aku baiki dan baiki penyampaian aku, akhirnya suara aku semakin baik di udara. “Cara penyampaian yang bagus dan jelas” kata bos akhirnya. Ketika itu bos aku pangkatnya sama dengan aku. Pegawai Penerbitan Rancangan A22. Pegawai kategori A. Kerana aku masuk RTM selepas menamatkan pengajian di UM dalam bidang Penulisan Kreatif dan Deskriptif tahun 1982. Oh ya, Menteri Penerangan kami yang disayangi, Datuk Ahmad Sabree Cheek ialah junior aku kat UM dulu. Beliau grad tahun 1983, aku tahun 1982. Bila mula-mula Pak Lah umumkan barisan kabinetnya, aku terkejut? Eh, aku kenal Datuk ini? Rupanya pak menteri kami ini ialah bekas pemimpin pelajar ketika di kampus dulu. Hebat orangnya.

Aku terbaca akhbar hari ini, 9 Mei 08, cerita tentang penyampai berita Dunia Hari ini, Hamidah Hamzah yang mula memakai tudung ketika bersiaran mulai 16 April 2008, selepas Datuk Sabree menerajui Kementerian Penerangan. Aku rasa bangga, kerana betul kata Kak Wan Cik Daud, teman lama aku, ketika dia nak muncul di TV memakai tudung, pelbagai tentangan diterima dari atas. Akhirnya dia tidak muncul di TV membaca berita kerana polisi (tidak bertulis) dilarang memakai tudung di RTM. Hari ini, larangan itu tidak ada lagi. Pembaca boleh bertudung. Terima kasih Datuk. Kita kan negara Islam. Inilah realiti kita. Ada bertudung ada tak bertudung. Kenapa pula pemakaian tudung dilarang, sedang kan itu tuntutan agama? Tahniah Datuk dan terima kasih banyak.

Aku pernah menjadi penerbit di RTM1. Menerbitkan program Selamat Pagi Malaysia (4 jam sehari – dari jam 6 pagi hingga 10 pagi- tahun 1994- 1996) dan Wawancara (45 minit siaran setiap minggu). Ketika itu kami dah pakai tudung. Apabila aku suarakan ada tetamu yang akan memakai tudung di udara, bos aku kata “awak nak naas?” Aku faham maksudnya. Kami mendapat arahan “dari atas”, tak benarkan penyampai wanita memakai tudung, itu dasar. Tapi tak tahu pula tetamupun tak boleh pakai tudung? Tentang larangan penyampai tak boleh pakai tudung ini memang menimbulkan tak senang hati kami sebagai penerbit yang tahu hak kami sebagai wanita Islam. Walaupun kami tak muncul di kaca TV tapi sebagai penyiar aku rasa terkilan juga. Aku bukan bercakap pasal hak wanita biasa, tapi wanita Islam, yang wajibkan memakai tudung dalam Islam. Dalam hati aku berkata, di akhirat nanti sesiapa yang bertanggungjawab mengeluarkan larangan itu itu akan menjawapnya….Ini bukan soal main-main, ini soal tuntutan agama. Dalam al Quran ada menyebutnya. Jadi aku rasa tanggungjawab wanita ialah menutup aurat ketika mahu keluar rumah, apatah lagi nak muncul di khalayak ramai seperti di kaca TV yang penontonnya berjuta orang jumlahnya. Syabas Hamidah Hamzah yang cantik manis, yang pernah menjadi penyampai Selamat Pagi Malaysia ketika aku masih menerbitkan program SPM di Hal Ehwal Semasa TV dulu. Terima kasih Datuk Menteri!!! Memakai tudung bukan bermakna kita ketinggalan zaman. Malahan nampak lebih sopan, cantik dan bergaya.

Ketika aku bertugas selama lebih empat tahun di Radio Japan, NHK World di Tokyo pada tahun 1999-2003, tidak pernah sekalipun aku keluar rumah tanpa tudung. Begitu juga ketika aku berkursus di Holland pada tahun 1991. Aku sedikitpun tak rasa malu dengan penampilan itu. Malahan aku punya ramai kawan daripada pelbagai bangsa. Kawan dari pelbagai benua- Amerika, Afrika, Asia dan Timur termasuk tenaga pengajar dari BBC, dari Kanada, dari Holland sendiri, dan kawan-kawan dari Jepun, Mesir, Kanada, dan 22 negara lain dan dari pelusuk dunia. Tidak pernah sekalipun mereka memandang hina kepadaku. Malahan aku ada menerima komen daripada rakan-rakan, yang Islam atau yang bukan Islam menyatakan aku punya jati diri yang besar kerana penampilan aku yang Islamik itu. Ya, kita bertudung, bezanya dengan orang bukan Islam ialah kita ada sekeping kain di atas kepala dan mereka tidak ada kain itu. Atau lebih tepat mengenakan pakaian yang sesuai, longgar dan tidak menunjukkan bentuk badan dan ambil sekeping kain tudung, diletak di atas kepala. Diikat atau digayakan dengan kemas. Gunakan warna tudung yang sesuai dengan baju, habis cerita. Tak tahu bagaimana dengan pandangan orang lain, tapi bagiku, nak pakai tudung ini mudah aje. Ikhlas kerana Allah hati jadi tenang dan damai.

Tahun 1992, ketika ke UK mengunjungi sahabat penaku, seorang wanita British yang cantik dan lemah lembut, dia juga kagum dengan penampilanku memakai tudung. Dia tanya mengapa aku bertudung, aku jelaskan sebab dan alasan dari sudut pandangan Islam. Eh, dia boleh faham penjelasanku. Tak pula dia malu membawa aku berjalan dan bersiar-siar.

Aku tabik kepada Datuk Siti Nurhaliza, Syeila Rosli dan artis muda yang memakai tudung. Lebih kelihatan cantik dan manis. Tapi harap-harap Datuk Siti jangan pakai separuh-separuh (tangan terbuka dan tudung yang menampakkan rambut) seperti ketika berjumpa dengan Celine Dion baru-baru ini. Pakailah yang sepenuhnya menutup aurat. Jangan kerana kita nak jumpa selebriti barat, kita malu pula nak tampilkan pakaian menutup aurat. Kita mesti ada jati diri. Sheila Rusli memang cantik. Mengenakan tudung yang menampakkan wajahnya yang manis. Begitu juga kak Fauziah Nawi yang muncul setiap hari dalam AF6. Semua nama-nama itu kebetulan baru saja mengerjakan haji di tanah suci bersamaku pada akhir tahun 2007-awal tahun 2008. Kebetulan Kak Fauziah yang aku panggil kak Jee, rakan lama ketika di RTM KL dulu, menyertai pakej haji yang sama denganku. I love you kak Jee. Ingat tak ketika kita sama-sama pergi melontar? Allah mudahkan kita dalam mengerjakan ibadat itu bukan?

Advertisements

Menggapai pelangi (PART VI)

Aku dah terbang jauh. Tak sangka pula bahawa satu hari aku akan sampai ke Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina bahkan Tokyo, Beijing, London, Amsterdam, Paris, Brussel, Gineva dan lain-lain kota BESAR di banyak negara… Aku kan dari keluarga susah. Susah bukan dari segi tak makan, tapi susah untuk hidup mewah. Tak ada duit lebih nak beli baju baru, kasut dan keperluan harian. Bapak cuma guru besar pencen. Mak pun guru sekolah rendah, adik beradik ramai, 12 orang, cukup satu dozen. Gaji ibu dan pencen bapak cukup-cukup je untuk belanja makan…tapi, kami tetap bahagia. Ibu tak pernah merungut. Makan minum kami semuanya cukup. Tak mewah sangat, tapi cukup untuk menggemukkan badan, kerana semua zat makanan ada.

Menggapai pelangi (PART V)

Bapak dah pencen ketika aku masih kecil. Siingat aku, bila aku bersekolah, bapak dahpun pencen. Tapi semua orang di kampung atau di daerah Lenggong kenal bapak. Selalunya bapa dijemput ke majlis Hari Ibu Bapa. Dalam majlis itu ibu bapa dan guru membincangkan tentang pelbagai perkara. Bapa mesti akan bercakap dalam majlis itu, dia dikira sebagai wakil para ibu bapa, maklumlah bekas guru besar. Entah kenapa, dalam satu majlis itu aku turut serta, tak salah kerana menerima hadiah kerana menjadi juara bola jaring kawasan utara Malaysia. Tiba giliran bapak berucap, dia komen tentang aku. Kata bapak “Anak saya, di darjah enam, wakil pasukan sekolah dan negeri Perak dalam bola jaring. Main memang hebat. Tapi dah jadi macam tomboy… Kebelakangan ini keputusan periksanya menurun. Dapat nombor 20. Patutlah, bila dipanggil namanya dia menjawab “O””O”. Dua kali “O” jadi 20. Sebab itu dapat nombor 20″ Kenapa bapak cakap macam itu? Malunya aku.

Semua hadirin ketawa besar, aku malu sangat. Aku menangis hingga nak pecah kepala. Puas juga cikgu perempuan memujuk aku. Aku tak dengar lagi apa yang bapak cakap lepas itu. Bila balik rumah, aku menangis lagi. Bapak dengan ibu memujuk aku. Bapak kata, bapak tak nak anak bapak dapat nombor corot, kerana aktif dalam bola jaring tapi pelajaran tertinggal.

Lepas itu aku pulun belajar. Keputusan peperiksaan pun meningkat. Dari nombor 20 dapat nombor 8 kemudian nombor 3. Aku cuba nak dapatkan nombor 1 tapi tak upaya. Rozana memang hebat. Dia kekal di nombor satu sejak darjah empat. Aku pernah dapat nombor satu di dalam darjah empat, tapi merosot apabila aktif bersukan. Hairannya Rozana masih di nombor satu, walaupun dia aktif bersukan. Aku tahu aku boleh buat, tapi sedikit malas. Hari ini, Rozana jadi pensyarah kanan di sebuah institusi pengajian tinggi. Aku pula dalam bidang penyiaran. Tapi sejak peristiwa di hari ibu bapa itu, selepas bapak tegur baru aku berusaha lebih. Hasilnya tak mengecewakan.

Jarak rumah aku dengan sekolah agak sederhana jauh. Berjalan kaki, melalui kawasan quarry dekat rumah. Tak terasa takutpun, walaupun hari masih agak gelap, sebelum pukul tujuh pagi. Aku masih ingat, adikku Maznah selalu cakap pada aku, apabila sampai di dekat kuari dan melihat bukit di dekat kuari, dia selalu berangan, di bawa terbang oleh kuda terbang. Aku pula berangan kalau ada sungai mengalir di tepi bukit ini, alangkah bagusnya. Dan malamnya aku bermimpi air mengalir di kawasan kuari di tepi bukit yang hijau ini. Kami tak ada TV hendak ditonton, jadi hidup kami penuh dengan angan-angan. Ibu selalu membawa balik buku cerita. Ada bermacam-macam hikayat yang ibu bawa balik. Setiap hari ada saja buku yang ibu pinjam untuk kami adik beradik baca. Aku yang paling banyak membaca. Agaknya sebab itu aku rajin berangan. Adik juga begitu. Rajin berangan. Jadi apabila berjalan di tengah panas, apabila kita memasang angan-angan, tak terasa jauh pulak jarak di antara sekolah dengan rumah.

Untuk ke sekolah, ada dua jalan. Satu jalan di tengah sawah, satu jalan di tepi kuari. Waktu petang, kami selalu bermain di kuari. Batu yang dikilang bertimbun-timbun. Kami memanjat batu yang telah dikecilkan sebenar ibu jari. Ada juga sebesar bola tenis dan dikelas-kelaskan mengikut saiz. Timbunan batu itu mengadap ke sawah padi yang luas terbentang. Indah sangat tempat itu. Selalu juga kami tengok seorang budak lelaki berbasikal seorang diri lalu depan kami, dari arah sekolah menuju ke dalam kampung kami, terus ke ulu kampung, untuk mandi mandi agaknya di empangan di sungai di dalam hutan di bukit. Budak itu baik sangat. Kami tahu dia ada juga menjeling kami. Tapi tak kisahkan dia. Baik sangat orangnya. Tak sangka pula, budak ini menjadi adik ipar aku bila dah besar dan menamatkan pengajian di UPM. Rupanya dia anak bekas tuan kadi di pekan kami. Maznah adikku bertemu jodoh dengan Zam apabila dewasa. Mereka tak pernah berkenalan, tapi kawan Zam rekomenkan Zam bahawa di Lenggong ini, Maznah gadis yang cantik dan baik tingkah laku. Zam pergi ke rumah, pura-pura nak tengok anak pokok durian kepunyaan bapak yang terkenal baik dan sedap buahnya, rupanya nak tengok Maznah. Hati terpaut dan mereka bertemu jodoh, walau tidak pernah berkawan. Zam anak seorang kadi, baik perangai dan berpelajaran tinggi. Tidak sombong, kuat ibadat dan kami semua menghormatinya. Sekarang mereka dah punya empat anak. Seorang dah tamat pengajian di Universiti Islam Antarabangsa, seorang akan tamat tahun depan di UKM, keduanya dalam bidang kejuruteraan dan seorang baru mendapat 11A dalam SPM dan yang bungsu di darjah empat. Semuanya bijak.

Tak sangka pula aku sekarang menjadi jiran Maznah di Bandar Baru Bangi. Aku membeli rumah bersebelahan saja dengan rumahnya. Kami membuang pagar pemisah kami. Jadi rumah Maznah macam rumah aku sendiri. Rumah aku macam rumah Maznah sendiri. Walau kini aku di tukarkan ke Pulau Mutiara, tapi selalu juga aku balik ke Bangi apabila menghadiri mesyuarat di KL. Rajinlah aku ke rumah Maznah. Kalau balik ke Bangi, tak pernah aku memasak, mesti makan di rumah Maznah. Zam pula peramah dan baik orangnya. Bercerita pasal jodoh mereka Zam pernah cakap, ketika dia berbasikal melalui jalan depan rumah kami di kampung, dia terlihat karpet yang tersidai di varendah. Tertulis perkataan “Cikgu Minah”. “Oo, rupanya tuan rumah ini namanya cikgu Minah” Fikirnya. “Tak sangka pula rupanya cikgu Minah ini yang menjadi ibu mertua saya” Kata Zam. Maznah mendapat jodoh dengan orang dekat. Yang lain dalam 12 adik beradik, tiga lagi kakak dan abang bertemu jodoh dengan orang satu daerah. Mudah juga, tak payah nak bertekak pasal nak balik cuti. Yang lain-lain mendapat jodoh dengan orang luar, sama ada orang Ipoh, orang Sungai Petani, orang Slim River, orang Johor dan banyak lagi. Kini semua adik beradik yang dah keluar daerah. Ada yang bekerja di KL, Shah Alam, di Sabah, Serawak, di Port Dickson , di Ipoh, di Terengganu, di Langkawi dan malah di luar negara. Maznah sekelurga dah tinggal di Jepun tiga tahun, kerana Zam menyambung pelajaran peringkat MA. Aku teringin sangat nak pergi Jepun, masa itu Maznah terbang ke Jepun, aku terbang ke Holland. Dari sana kami berutus surat. Tetapi tidak lama selepas itu aku pula mendapat rezeki tinggal di Jepun. Betapa besarnya nikmat Allah. Aku tak terfikir langsung satu hari aku akan tinggal di sana, di zaman milinium, 1999-2003. Nanti aku cerita kisah itu.

Berbalik kepada bapak. Satu hari bapak pergi jumpa cikgu kelas, ambil aku di sekolah dan bawa aku naik basikal tuanya. Tempat duduk basikal itu besar. Seronok juga duduk di tempat duduk besar tu. Bapak nak bawa aku ke mana agaknya? Fikirku. “Nak buat kad pengenalan” kata bapak. “Bila umur cukup 12 tahun kena buat kad pengenalan.” Itu tahun 1968. Sampai di pejabat daerah Lenggong, akupun diangkat turun basikal. Lepas buat kad pengenalan, bapa bawa ke kantin pejabat daerah. Aku masih ingat bapak order ovaltin untuk aku dan dua biji telur rebus. Itu saja yang aku masih ingat. Bukan apa aku rasa itu minuman yang paling sedap aku pernah rasa dalam hidupku. Bukan tak ada ovaltin di rumah, tapi yang dikedai ini yang paling sedap. Macam masih terasa hingga hari ini. Kenapa? Kadang-kadang ketika aku dah dewasa, aku cuba bancuh oveltin untuk diminum, tapi tak pula terasa sesedap ovaltin di pejabat daerah.

Pernah aku cakap kepada Maznah, aku ingin sangat mengulangi pengalaman lalu. Khususnya dapat nikmati masakan ibu, bersama ibu bercerita kisah lama, minum ovaltin lazat ketika bersekolah rendah. Maznah kata, dia juga teringat masakan ibu ketika kecil-kecil dulu, iaitu ikan bilis di masak rendang menggunakan banyak serai yang dikisar halus, dimasukkan juga daun kunyit. Memang sedap. Sebab itu Maznah memasakkan untuk ibu ketika ibu bersetuju ke rumah kami dua tahun lalu pada hujung tahun 1995, sebelum ibu kembali ke rahmatullah pada Januari 2006 ketika Maznah dan suaminya ke tanah suci Mekah menunaikan Haji. Seronoknya, hari Sabtu dan Ahad ibu tidur di rumah aku, hari bekerja yang lain ibu ke rumah Maznah, kerana Maznah suri sepenuh masa. Jadi kami dapat bermanja dengan ibu sebulan lamanya, setelah sekian lama ibu yang tinggal di kampung bersama adik bungsu kami. Selepas sebulan ibu nak balik kampung kerana rindu kepada adik bungsu kami Pin dan isterinya Bah juga anak mereka Haikal yang baru berusia 2 tahun ketika itu. Rupanya bukan saja rindu kepada Pin dan keluarganya, bahkan ibu ditakdirkan akan pergi menemui ilahi beberapa minggu selepas sakit dua minggu, sakit tua kata doktor. Ketika itu usia ibu dah mencecah 83 tahun. Hancur luluh hatiku ketika ibu pergi. Tak dapat lagi menatap wajah ibu, tak dapat melepaskan rindu kepada ibu. Maznah lagi parah. Berita kematian ibu diterima ketika dia di tanah suci Mekah. Setiap hari dia beribadat, dan setiap hari mendoakan ibu. Selalu juga katanya kesedihan tak dapat dibendung, hingga tidak dapat menumpukan perhatian kepada ibadat. Akhirnya Maznah pergi bersolat dan berdoa di depan Multazam, memohon kepada Allah agar kesedihan itu hilang dan akhirnya dia dapat menumpukan ibadat sepenuh hati dan menghadiahkan arwah ibu dengan seluruh isi al Quran. Hingga kekadang, di tanah suci itu, Maznah termimpi berjumpa ibu dan mendakap tubuh ibu. Katanya ia seolah bukan mimpi, tetapi seperti dunia nyata, dapat merasa kehangatan tubuh ibu dan mencium bau wangi ibu yang kelihatan manis menawan.

Ibu memang hebat. Wanita yang tabah dan usia tuanya dihabiskan dengan beribadat dan membaca Quran. Hingga lusuh naskah Quran milik ibu, kerana beratus kali habis dan habis dibacanya. Ketika ibu masih larat, sihat dan sudah pencen, ibu panggil ustaz mengajar agama di rumah. Ramai jiran dan kenalan datang ke rumah untuk belajar agama. Selepas habis kelas agama, ibu dan jiran menghidangkan makanan sumbangan jiran, kenalan juga sumbangan ibu sendiri untuk dinikmati bersama. Kalau tak salah ketika itu masih belajar di tingkatan 6 di Taiping. Jika balik cuti, aku turut sama menghidangkan makanan selepas ikuti kelas agama. Memang bagus kelas begini. Ustaz yang mengajar memang bertauliah. Seorang ustaz yang dah lama bersara sebagai guru agama. Sebelum minum petang, sesi soal jawab dibuka. Ramai yang mengemukakan soalan. Aku masa itu masih remaja. Bukan pandai sangat nak menghayati kelas yang baik ini. Aku kemukakan soalan dengan niat nak kenakan jiran yang aku tak suka. Ramailah yang menjeling. Seorang jiran sekampung pula bertanya soalan, “Apa hukumnya gadis memakai gaun pendek.” Ambil aku. Aku tahu ditujukan soalan kepada ustaz untuk perli aku. Gadis kampung, bersekolah Inggeris, dan anti baju kurung ketika itu. Lepas ustaz memberi jawapan panjang lebar, aku mulai sedar, bahawa memang aku berdosa kerana tidak turup aurat. Tak lama selepas itu aku menutup aurat. Ikhlas kerana Allah. Hatipun jadi tenang. Ibu gembira. Hubungan dengan jiran tetangga baik. Apabila aku dapat melanjutkan pelajaran ke UM, ramai yang mendoakan aku berjaya.

Menggapai pelangi (PART IV)

Apa sebab pula aku tak boleh post kali ini? Penat juga aku tulis semuka surat penuh, bila nak post gagal. Tak apalah, aku tulis sekali lagi.

Hari ini aku nak cerita pasal bapak pula. Kami sekeluarga paling seronok apabila bapak terima pencen. Sebelum bapak ke pekan, dia pesan pada ibu. “Mak hang tak payah masak, biar aku masak hari ini.” Kami dah tahu kenapa bapak cakap macam tu. Sebab bapak terima wang pencen. Kira-kira pukul 10.30 pagi, bapak dah balik, selalunya bapak tunggu hari minggu, kerana nak jamu kami makan sedap-sedap. Aku rasa itu makanan yang paling sedap, kerana bapak sendiri yang masak. Menu bapak ialah nasi minyak dengan ayam masak tomato, sayur kailan masak kicap. Mak tuan, seeeedap sangat. Aku tengok macam mana bapak masak. Mula-mula bapak masukkan minyak sapi dalam periuk besar. Lepastu, dimasukkan bawang dan ramuan lain seperti halia, rempah ratus ditumis hingga berbau wangi. Lepas tu bapak masukkan air, tunggu hingga melegak, dimasukkan pula susu cair. Aku rasa lepas tu bapak masukkan pula beras basmati dikacaunya, dimasukkan juga carrot yang dipotong halus, daun sup, dan tomato sos juga dimasukkan ke dalam nasi tu. Aku tak berapa ingat sepenuhnya, kerana masa tu aku baru darjah 4 atau 5. Tapi aku masih terbayang-bayang lagi rupa bapak masa itu, merah padan kerana apa kayu yang menyala marak di bawah periuk yang menggunakan tungku batu yang diambil dari quarry tak jauh dari rumah. Bapak kacau nasi tu, kemudian ditutup periuk. Api dikecilkan.

Lepas itu, bapak mula masak ayam, sayur dan kami menunggu dengan penuh tak sabar nak makan masakan bapak yang lazat itu. Aku masih ingat rasanya yang sungguh sedap. Sebenarnya bukan ibu tak pandai masak, tapi bapak masak setiap hujung bulan dengan bajet besar juga bagi seorang pesara. Kami makan sekenyang-kenyangnya.

Aku tanya ibu macam mana bapak pandai masak, ibu kata keluarga bapak di Parit Buntar memang tukang masak handal di negeri Perak. Dengarnya masa itu, selalu dapat kontrak untuk majlis istana. Aku tak tanya banyak. Tapi yang pasti memang bapak pandai memasak. Aku ingat lagi, aku mewakili sekolah dalam acara bola jaring di peringkat Malaysia utara, di antara Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Sekolah aku menjadi juara kawasan utara, dan gambar aku keluar surat khabar kerana kejohanan sukan itu. Wah, seronok bukan main lagi. Comel juga aku masa kecil-kecil dulu…jangan marah.

Bila cikgu kata kami akan ke Kuala Kangsar atau Ipoh untuk bermain bola jaring, dan cikgu kata kami akan singgah di air terjun di tengah perjalanan dan semua mesti bawa bekalan, akupun cakap pada ibu. Bapak kata, “Tak pa, pak masak subuh esok.” Esoknya pagi-pagi lagi aku dah bangun, aku tengok bapak dah menumis dan menyiapkan masakan untuk aku. Telor mata kerbau masak kicap. Baunya semerbak, hingga terasa bagai ada baunya hingga saat ini. Bapak masukkan masak kicap telur kerbau ke dalam tin susu yang telah digunakan dan dibasuh bersih serta dilap dengan kain lap hingga kering, ditutup dengan plastik dan diikat dengan getah. Nasi dibungkus dalam daun pisang. Bila tiba waktu berkelah, aku rasa masakan bapak paling sedaaaaaap. Cikgu pun pernah rasa, katanya “Sedapnya, sapa masak?” Aku kata “Bapak”. Cikgu kata Cikgu Said memang pandai memasak. Kembang hati aku. Cikgu tak tahu, rumah aku tak ada bekalan eletrik. Bapak masak dalam samar cahaya pelita ayan. (“iron” Kut?)

Menggapai Pelangi (PART III)

Ibu seorang guru sekolah rendah. Hari-hari ibu sibuk di dapur menyiapkan makanan untuk anak-anak sebelum ke sekolah dengan berbasikal sejauh lebih 5 batu. Setiap hari ibu kecoh membangunkan anak-anak yang bermacam perangai tu. Kalau sampai kepada abang Khalid pening kepala ibu. Terjerit-jerit ibu memanggil namanya. Dah penat ibu memanggil, ibu cakap “Lantak kamu le…cikgu marah, jawab sendiri” Ibu mesti menguruskan diri sendiri juga untuk ke sekolah. Ibu ini bukan suka berpakaian sembarangan. Mesti pakai kemas atau smart kata orang. “Wah, cikgu Minah, hari-hari melawa.” Pernah ibu bercerita dia mendengar cikgu-cikgu lain bersuara di belakangnya. Ibu tak kesah. Yang penting ibu tak kacau orang. Mereka tak tahu, ibu pakai baju murah saja. Baju kurung kain tetron, dan berkain batik jawa yang warna ‘matching’ dengan baju kurung kain daripada bahan tetron itu. Ibu cuma ada 5 helai baju kurung tetron. Hari Isnin ibu pakai warna oren lembut, hari Selasa biru lembut, hari Rabu warna hijau lembut, hari Khamis warna coklat muda dan hari Jumaat warna kuning lembut. Ibu padankan dengan warna kain batik jawa yang sepadan warna dan designnya. Tudung pula ibu pilih warna yang sepadan juga dengan baju kurung kosong. Ayu sangat ibu. Cikgu -cikgu lain agak cemburu juga dengan penampilan ibu. Ketika itu, kalau pakai tudung kepala, daripada kain tudung jarang. Boleh nampak sanggul ibu. Ibu cuma buat sanggul yang simple. Dicucuk dengan pencucuk sanggul yang paling murah, berbentuk u. Tapi ibu tetap nampak cantik dan menawan. Natural beauty. Ibu akan rotate baju kurangnya setiap hari dalam seminggu. Jadi nampak seolah ibu ada banyak helai baju. Ibu tak pernah pakai baju berbunga, cuma baru kurung kosong dipadan dengan kain batik jawa. Huh, simple je, tapi caaantik sangat.

Memang aku tengok, cantik ibuku. Hidungnya mancung macam hidong tok arab. Matanya bewarna coklat muda, “hazel” dalam bahasa Inggeris. Kulit ibu putih langsat, tinggi lampai dan anggun, walau ibu orang kampung. Tapi aku rasa ibu yang paling cantik dibandingkan dengan orang lain, termasuk cikgu-cikgu lain ketika itu di kampung aku. Aku rasa ibu ini mesti ada darah campuran Arab, sebab cantik sangat orangnya. Tapi kata kakak, bapa ibu Cikgu Muhamad, juga kacak lawa orangnya. Anehnya aku tak pula mewarisi hidung mancung bak seludang macam ibu tu? Kenapa ye? Bapak juga lawa orangnya, macam rupa Tunku Abdul Rahman kata orang kampung. Ya, rupanya aku mewarisi hidung bapak, tak mancung tapi tak le pesek sangat…quite ok kata orang.

Kasihan ibu. Tiap pagi kecuh sangat ibu. Pernah ibu memakai kasut selipar sebelah, dan kasut kayu sebelah kaki lagi berbasikal ke sekolah. Nasib baik, ketika kira-kira 500 meter dari rumah ibu tersedar, dia tersarung kasut lain-lain. Apa lagi, ibu ketawa seorang diri dan berpatah balik ke rumah. Nasib baik hari masih awal, jika tidak, tentu cikgu besar marah. Aku masih di sekolah rendah tahun 60an. Hari yang lain pula, ibu cakap dia terpakai tuala mandi di dalam kain batiknya hingga ke sekolah. Bila ke bilik air, ibu terkejut bila terpegang tuala itu. Ibu ketawa sendiri hingga sakit perutnya. Bila cikgu-cikgu lain tahu, mereka tergelak besar. Riuh rendah bilik guru hari itu kata ibu.

Waktu itu, bapak dah bersara sebagai guru besar sekolah rendah. Dengar kata, ketika bapak masih muda, bapak seorang pemain bola sepak yang bagus. Hingga mat salleh yang bermain dengannya turut rasa gerun dengan cikgu yang seorang ini. Kata orang pernah Cikgu Said sepak bola hingga pecah. Kalau Cikgu Said bermain, ramai yang datang tengok bola. Zaman itu, zaman penjajah. Akupun belum ada di dunia ini. Bapak juga merupakan orang pertama memiliki kereta morris minor dikampung itu. Masa itu aku tak ada lagi di dunia, kata kakak. Bapa pakai baju dengan coat. “Handsome” kata kakak bercerita tentang bapa ketika aku di sekolah menengah.

Menggapai pelangi (PART II)

Aku masih ingat ketika aku masih dikampung, setiap pagi ibu menggerakkan semua adik beradikku yang ramai (enam lelaki dan enam perempuan) dari tidur supaya bangun cepat.

“Bangun Quzah, bangun Miya, bangun Aini…” jerit ibu. Kadang ibu menjerit lagi, tapi nama abang dan kakak pula, “Dilah, Manaf, Din, Khalid…cepat bangun, dah dekap pukul 8 ni…nanti lambat ke sekolah.” Aku yang paling awal sampai ke perigi dalam kedinginan pagi. Tangan menggapai cebok yang lebih besar dan berat daripada badanku sendiri ketika itu…Aku ketika itu baru darjah enam. Pagi masih muda. Suasana masih gelap. Ketika itu, tak ada pula rasa takut dengan manusia durjana seperti zaman milenium ini. Tak ada yang mengintai, tak ada nak kacau anak gadis di perigi. Tak terfikir langsung rasa takut seperti aku merasa takut jika anak gadisku berada di luar rumah walau waktu siang seperti hari ini. Takut anak gadis diculik orang, dikacau orang. Mandi dan mandi seenaknya…mencedok air dari perigi dengan susah payah, tapi tetap menyenangkan hati, walaupun dingin mencengkam tulang temulang.

“Cepatle Quzah…” jerit abang Manaf…”Yelah, dah siap.” Jeritku kembali. Pada masa yang sama ibu masih menjeritkan nama abang Khalid yang terkenal dengan liatnya untuk bangun pagi. “Tak payah pergi sekolahlah, dah dekat pukul 8 pagi, nanti cikgu marah.” Sempat abang Khalid nak ambil kesempatan atas amaran ibu yang kata “..hampir pukul 8 pagi”…

menggapai pelangi (PART I)

Aduh, aku dah poskan ceritaku pada pos pertama. Malangnya entah ke mana hilangnya cerita aku tu. Tak pelah, aku cuba sekali lagi…

Bagiku, pelangi itu indah dengan warna warninya yang mengasyikkan. Ketika kecil, aku selalu melihat pelangi yang sekali sekala muncul di ufuk…aku bertanya kepada kakak, apa itu? Kakak berkata, jangan tunjuk, tak baik…tapi aku tertanya juga mengapa tak boleh tunjuk…

Ketika itu, aku tinggal di kampung yang sungguh cantik dan indah. Di depan rumah papan yang dibina pada tahun 1960 itu, terbentang sawah padi yang menguning ketika tiba musim menuai. Sebuah anak sungai mengalir laju yang hulunya datang dari bukit bukau yang menghijau.

Walaupun di rumah papan ini tidak ada bekalan eletrik, tidak ada bekalan air, cuma menggunakan pelita dan telaga untuk bekalan eletrik dan air, kedamaian masih terasa ketika berada di sini.