Posts Tagged ‘novel online’

CINTA DI TOKYO (Part 17) “Ayumi Hamasaki”

Siapakah wanita yang cantik sangat ini? Di mana-manapun di kota Tokyo yang mempunyai 23 bandar besar ini ada saja wajahnya terpampang. Di stesen keretapi, di dalam keretapi, di dinding bas, di bangunan besar, bangunan kecil, lorong-lorong, di paparan digital gergasi di persimpangan paling sibuk di dunia di bandar Shibuya-ku, atau di bandar Shinjuku, atau di mana-mana saja di seluruh Jepun wajahnya ada di mana-mana.

Pusing kiri, pusing kanan, nampak wajahnya yang cantik menawan. Namun hati Alisa berkata, dia ini macam perfect sangat. Matanya yang besar dan galak, hidungnya yang mancung dan cantik, raut wajahnya ayng agak comel, bibirnya yang nipis dan terukir bak limau merkah,  lehernya yang jinjang, badannya yang cantik molek, menarik hati Alisa. Tapi ada sesuatu yang nampak agak tidak original pada wajah itu…apa ya? Alisa tertanya-tanya.

Dia sering memutarkan lagu-lagu pilihan pendengar stesen radio tempatnya bekerja di Shibuka-ku, dan wanita ini ternyata ramai peminatnya. Itulah Ayumi Hamasaki, yang berwajah seperti anak patung ukiran tercantik pernah dilihatnya. Alisa hairan, mengapa suara yang sengau dan menja itu menjadi kegilaan peminat?

Wajah dan gambar wanita ini terpampang dalam pelbagai gaya. Hairannya, bukan saja memegang gajet atau peralatan berteknologi tinggi dan canggih keluaran terbaru di Jepun yang mempromosikan satu jenama, tetapi pelbagai barangan lain dengan jenama pelbagai. Semua orang berebut-rebut mahu wajah cantik ini menjadi duta mereka, termasuk kamera video terbaru. Yang nyata syarikat yang menggunakan khidmat wanita ini tidak akan kecewa, semuanya berpuas hati, kerana wajah itu wajah rezeki.

Alisa terus terfikir, apa istimewa sangat dengan wanita cantik awal dua puluhan ini? Dia lalu sering melayari internet untuk mencari rahsia wanita muda ini. Berbagai-bagai gambar dalam pelbagai pos telah diberikan oleh Ayumi. Awal tahun 2000 hingga kini, Ayumi sungguh hebat. Tup-tup, satu hari Alisa terpandang wajah wanita cantik itu dalam pos yang jauh berbeza. Terlalu jauh perbezaan di antara sekarang dengan zaman ketika baru akan bertapak dalam dunia peragaan dan nyanyian. Ayumi memakai bikini berjemur dan berposing dalam pelbagai pos. Tak ada keistimewaan langsung bagi Ayumi melihat wajahnya yang dahulu. Hidungnya pesek sama seperti wajah wanita Asia yang lain. Rambutnya hitam pekat, giginya berlapis. Itulah wajah sebenar wanita ini. Amat berbeza dengan wajahnya yang terkini. Alisa terfikir, inilah teknologi tinggi di dunia sekarang, boleh merobah wajah seseorang hingga menjadi idola ramai.

Hairan juga Alisa melihat gadis-gadis remaja berbaris panjang berbatu-batu jauhnya dari bandar Shibuya ke NHK yang terletak kira-kira dua batu itu. Untuk apa? Untuk melihat wajah idola yang mereka sayangi, termasuklah Ayumi Hamasaki. Tak kira panas, tak kira hujan, tak kira panas terik dalam musim panas yang teramat panas, tak kira cuaca sejuk hingga tulang sum-sum dalam musim dingin, mereka tetap setia berbaris untuk melihat kelibat idola mereka, baik lelaki atau perempuan. Selalu juga Alisa lihat senario itu di depan NHK. Walau tak dapat masuk ke bangunan NHK, mereka sanggup menunggu di luar bangunan. Biar sedikit saja kelibat artis idola mereka , itu sudah cukup memuaskan hati. Melihat kelibat artis itu, mereka cukup teruja hingga menjerit-jerit histeria. Alia bagaikan nak menutup telinganya ketika melalui di depan barisan panjang itu untuk masuk ke NHK.

Ketika mengendalikan surat pendengar, Alisa menerima pertanyaan tentang cukai pendapatan artis di Jepun. Alisa menjawab panjang lebar. Nama Ayumi tersenarai artis yang mendapat banyak bayaran dan pendapatan. Dia termasuk dalam senarai pembayar cukai yang tinggi di negara matahari terbit itu. Beberapa baris terbawah sikit daripada Hikaru Utada, penyanyi yang berpendapatan tertinggi di negara matahari terbit pada ketika itu iaitu di awal melenium hingga kini. Namun dari segi wajah, Utada memiliki wajah yang original wanita Jepun. Suaranya memang hebat dan ada kelas, malahan dia ada bakat menulis lagu dan mencipta lagu. Pernah menetap di New York dan belajar di sana bersama keluarganya yang merupakan orang seni. Ibu bapanya hebat dalam penulisan lagu. Orang muziklah katakan.

Ayumi? Hebat dari segi penampilan wajahnya yang dicipta manusia menjadi hampir perfect…itu yang terfikir dalam hati Alisa apabila melihat wajah wanita bernama Ayu itu (panggilan manja orang Jepun kepada Ayumi). Hebat sungguh pembedahan plastik ini. Fikir Alisa. Artis kita? Ada yang suntik botox. Ada juga yang buat pembedahan plastik. Tapi tak nampak seperti Ayumi yang berani mati untuk cantik…Apa-apapun, kita orang Islam mesti tidak boleh merobah wajah. Fikir Alisa.

CINTA DI TOKYO (Part 15) “Omukai Hoikuen dan Murakami kun”

“Aini chan boreh masuk hoikuen.” Kata Hori san cuba berbahasa Melayu campur Jepun kepada Alisa pada suatu hari selepas mereka menyiapkan rakaman Ulasan Berita. Alisa mendongakkan kepalanya memandang Hori san yang berdiri di sebelahnya dalam konti yang sederhana besar itu.  Sukar juga Hori san nak sebut boleh dengan menyebutnya ‘boreh’. Banyak kali juga Alisa membetulkan sebutan Hori san. Tak perlahan-lahan bolehlah dia menyebut ‘r’ itu. Kata hati Alisa. Tangannya menyusun-nyusun skrip yang dibaca tadi, helai demi helai.

“Hoikuen?” Alisa tak faham apa maksud Hori san dengan ‘masuk hoikuen.’

“Maksudnya kindergarten.”   Alisa rasa lega. Syukur jika Aini dah masuk tadika. “Teka’ itu namanya Omukai Hoikuen tidak jauh dari rumah Alisa san, jalan belakang ke Shibuya-ku.” Alisa teringat kata-kata Yoshimura san dalam bahasa Indonesia ketika mereka sedang makan tengah hari pada musim panas lalu.  “Teka’ itu maksudnya tadika. Katanya cuma berjalan kaki 15 minit saja. Pada masa yang sama Alisa bimbang juga, kerana dia tidak faseh berbahasa Jepun. Macam mana nak berkomunikasi dengan guru-guru tadika Aini nanti?

“Anda ngak usah bimbang, kerna kami bisa membantu anda. Jika ada apa-apa sensei akan telefon saya atau Hori san.  Atau menulis nota untuk anda bawa ke sini untuk kami jelaskan maksudnya nanti.” Kata Yoshimura ketika Alisa menyuarakan kebimbangannya. Selepas itu semuanya menjadi kebiasaan bagi Alisa. setiap hari buku nota akan dicatatkan oleh sensei dalam bahasa Jepun tentang kegiatan Aini di hoikuen. Alisa akan menulis kembali kegiatan Aini di rumah. Samada menonton TV, belajar membaca atau dibacakan buku cerita sebelum tidur. Aishah akan melapor kegiatan itu, sementara Alisa akan mencatatkan dalam buku setiap hari sebelum tidur. Aini di hantar Alisa ke hoikian dari jam 12.30 tengah hari hingga 6 petang. Petangnya Aishah akan mengambilnya.

Aini telahpun diberitahu oleh Alisa tentang sekolah barunya…Omukai Hoikuen. Girang sungguh anak kecil yang montel itu apabila diberitahu dia akan masuk tadika. Tiap-tiap hari ditanya “Mami, bila Aini nak masuk sekolah?” Akhirnya saat yang ditunggu-tinggupun tiba. Kali ini Yoshimura san membawa mereka ke hoikuen itu. Alisa tidak faham apa yang dibincangkan oleh cikgu dan Yoshimura san. Sekali sekali mereka memandang Alisa. Alisa hampir ternganga dibuatnya. Tak faham apa-apapun.

“Jangan bimbang Alisa san, makanan yang mereka sediakan untuk Aini halal.” Tapi hati Alisa tetap bimbang. Dia mahu menyediakan sendiri makanan dari rumah. “Ada seorang lagi budak Muslim.  Teka yang sediakan makanan untuknya.” Melati dan Haizan membantu Alisa menyemak menu harian. Mereka memangkah mana-mana makanan yang Aini tak boleh makan atau makanan yang haram. Mereka menyakinkan Alisa bahawa semua yang dicatatkan itu boleh dimakan. Hati Alisa tidak juga tenteram. Dia tidak mahu mengalah. Kata mereka orang Jepun tidak menggunakan minyak atau lemak binatang dalam makanan mereka khususnya di sekolah.

“Tapi tentu buta niku ada?”

“Tak, rata-rata ayam. Kami memangkah ayam dan apa juga daging dalam senarai ini.” Kata Melati. ” Akak nak masak sendiri.” Tegas Alisa. Akhirnya keputusan dibuat. Aini dibekalkan dengan masakan ibunya. Kadang kadang nasi jepun dengan ikan salmon. Kadang-kadang Onigiri gaya Jepun. Kadang-kadang sandwich telur dan banyak lagi menu yang penat juga Alisa memikirkannya. Masalah juga bagi Alisa bila sampai bab nak menghias makanan itu. Itulah gaya Jepun, obento dihias cantik dan penuh seni.

Hari pertama di sekolah Aini sudah boleh bergaul mesra dengan kawan-kawan Jepunnya. Anehnya dia boleh berbahasa Jepun dalam  masa seminggu? Bila dia belajar? Sepanjang empat bulan sejak datang ke Jepun, Aini tidak pernah belajar bahasa itu. Tetapi macam mana dia boleh bercakap bahasa Jepun?

“Mungkin juga kerana dia nonton TV Alisa san?” Kata Hori san ketika sensei memberitahu Aini dah boleh berbahasa Jepun dengan faseh seminggu selepas hadir ke hoikuen.” Betul, setiap hari dia tonton TV.”

Ketika itu Aini baru berusia hampir tiga tahun. Empat bulan di rumah dia dapat faham fahasa Jepun dengan menonton dan menonton TV khususnya rancangan kanak-kanak Dango Dango: terbitan NHK. Program itu amat popular di kalangan kanak-kanak. Setiap kali ada rakaman di NHK, Alisa lihat ramai sungguh ibu bapa mengiringi anak-anak kecil mereka ke studio.

Kawan-kawan Aini semakin ramai. Pandai juga dia menyesuaikan diri dengan kawan-kawan Jepunnya. Dia ada Mei chan, ada Murakami kun yang dikatakannya sebagai ‘boyfriend Aini’. Murakami kun best. Murakami kun handsome, Murakami kun baik sangat.” Selalu dia bercerita tentang Murakami kun. Alisa teruja nak tahu siapa Murakami Kun itu? Dia ke Hoikuen menghantar Aini. Di tanyanya sensei mana satu Murakami kun. Rupanya budak lelaki itu lawa sangat. Kulit putih melepak, berbadan montel dan sedikit tinggi daripada Aini.

Semua kawan Alisa ketawa besar bila Alisa bercerita tentang Aini dan Murakami kun. Ketawa kerana AIni sudah ada boyfriend…

Setiap hari Aini terus bercerita tentang Murakami kun….Alisa dan Aishah ketawa dan ketawa setiap kali Aini bercerita tentang hoikuen dan tentang Murakami kun.

CINTA DI TOKYO (Part 14) “Dedaun maple yang merah hati”

Musim panas sampai ke penghujungnya. Perlahan-lahan matahari yang terik semakin tidak lagi rasa kehangatannya. Walaupun terik, tapi suasana terus nyaman.

Daun-daun mula bertukar warna. Daripada hijau menjadi kuning, kemudian beberapa hari selepas itu bertukar warna lagi menjadi coklat. Ada juga daun yang bertukar menjadi jingga. Ada juga yang berwarna merah terang dan menjadi merah hati. Warna-warna alam menjadi bertambah ceria dan indah sekali. Pepohon berwarna warni. Kuning, jingga, merah, coklat dan pelbagai warna yang sungguh menawan. Musim luruh telah tiba.

Sebaris pohon yang ditanam berderet-deret membarisi tepi jalan besar di depan NHK. Seluruh daunnya berwarna kuning terang. Daunnya kecil dan berbentuk lima segi. Alisa tak tahu apa nama pohon itu. Tetapi pohon-pohon itu terus memikat hatinya. Dari lorong di Tomigaya, setiap hari Alisa berjalan perlahan-lahan menuju ke  jalan besar dan terus ke lorong itu melalui bawah pepohon itu untuk ke NHK.  Hatinya sungguh riang  menikmati keindahan pepohon yang indah dan segar itu. Cuaca juga semakin nyaman dan menjadi semakin dingin. Alisa memakai jaket labuh berwarna coklat, warna musim luruh ini. Baju itu dibelinya di Takashimaya, kompleks membeli belah yang besar di bandar Shinjuku dalam kota besar Tokyo itu yang melalui  dua eki Yamanote line atau stesen keretapi dari rumahnya. Selepas stesen Harajuku, sampai Shin Okubo, kemudian sampai ke Shinjuku. Dia ke sana dengan Melati seorang gadis Melayu pelajar dari Kampung Baru yang belajar di sebuah Universiti di Tokyo. Melati dikenalinya kerana berkerja sambilan di NHK sebagai penyiar sambilan. Harga jaket itu boleh tahan mahalnya…Kalau di Malaysia tak kuasa dia nak membelinya. Harganya hampir dua ribu ringgit atau 60 ribu yen. Huh, apakan daya, cuaca yang semakin dingin memaksanya membeli juga jaket yang mahal itu.

Satu lagi pohon yang amat disukai oleh wanita Melayu itu ialah pohon  maple, di taman Yoyogi. Dedaunnya merah hati. Daun yang terkenal cantik ini ketika musim luruh banyak terdapat di taman ini. Pohon itu tidak banyak di depan bangunan NHK. Ketika ke Yoogi Kuen, Alisa sempat bergambar di celah-celah pohon yang daunnya rendang dan rendah hampir mencecah kepalanya. Ditariknya dahan maple itu, muka dijengok di celah-celah dedaun, lalu dijeritnya Chao San, penerbit berbangsa Cina berasal dari negara Cina itu supaya mengambil gambar wajahnya dicelah-celah dedaun maple. Hasilnya tidak menghampakan. Unik! kata hatinya.

Alisa ini gila-gila juga orangnya. Apa yang tidak dibuat orang lain, dia buat. Ramai yang kata Alisa kelakar. Tapi kelakar yang tidak menyakitkan hati orang. kelakar yang menyenangkan.

Alisa san, we have to produce four seasons news letter every year, representing each season in Japan. This time we have to produce an edition for this fall. You can write whatever report based on your experience and your observation. Whatever you think is interesting for our listerners” Kata-kata Hori san bagaikan irama merdu yang menyanyi di telinganya. Terasa bagaikan satu hadiah buat dirinya. Manakan tidak, sudah sekian lama Alisa tidak menulis. Sejak peristiwa dia dipermainkan oleh seorang manusia bernama suami. Suami yang meragut haknya sebagai penulis berbakat. Alisa yang menulis buku, suaminya mencetak dan menamakan dirinya sendiri sebagai penulis, bukan Alisa. Alisa cuma diberi seribu ringgit, sedang dia menjual buku itu cetakan demi cetakan dengan harga mencecah 15 ringgit satu buku. Zalim sungguh manusia ini. Dan dia pernah berjumpa bekas suaminya yang telah memakai kereta Mercedes hasil daripada buku itu…

Kini Alisa mahu membuang cerita lama yang menyakitkan hati itu. Dia mahu memulakan langkah dan azam baru di bumi baru ini. Setiap pemerhatian digunakan untuk berkarya. Gambar-gambar yang diambilnya di setiap pelusuk bumi sakura itu dimasukkan ke dalam Newsletter itu…Dia mengisi juga cerita daripada penyiar-penyiar lain dari Seksyen Bahasa Melayu di Radio Japan.Dr. Sofiah dengan ceritanya tentang pengajian tinggi di Jepun. Melati menulis tentang pengalamannya mengembara seminggu di India dalam musim panas lalu. Karya-karya para peminat juga dimuatkan. Newsletter itu direka bentuk sendiri oleh Alisa. Kebetulan dia pernah menjadi Ketua Pengarang di stesen radio tempatnya bekerja di Malaysia tidak lama lalu. Dia juga memang seorang penulis. Menulis untuk radio, TV, majalah dan akhbar di tanah air. Justru menulis Newsletter bukanlah sukar baginya. Newsletter  yang diberi nama SUMBANGSIH itu kemudiannya di hantar kepada para pendengar di serata dunia yang mengikuti siaran radio Japan.

“Kak Liss, saya amat teruja membaca tulisan kakak. terasa bagaikan hendak pergi ke Jepun saat ini juga. Tengoklah jika ada rezeki saya pasti akan sampai ke Jepun. Paling saya suka ialah cerita akak tentang musim panas dan musim luruh di Jepun. Saya dapat bayangkan semuanya. Cemburu saya dengan pengalaman kakak.” Tulis Kartika Sari, salah seorang peminat setia Radio Japan  dari Kota Kinabalu dalam suratnya yang dihantar kepada stesen itu.

“Kakak, comelnya anak akak. Wah, cantiknya permandangan musim luruh di Jepang.” Tulis pula seorang peminat lain dari Tasik Malaya di Indonesia.

“Saya rasa seperti mahu berada di Jepang saat membaca cerita kakak dalam SUMBANGSIH  keluaran musim luruh ini. Paling cantik gambar kakak di celah daun maple…lucu juga kelihatannya, seperti dalam filem Hindi.”  Demikian kata Bonny warga Indonesia yang tinggal di Vietnam. Hati Alisa terus berbunga membaca komen-komen itu. Dia membacakan surat-surat itu di udara. Sambil menyiarkan lagu-lagu Jepun yang dipinta oleh peminat-peminatnya.

Nama-nama Mai Kuraki, Utada, Ayumi Hamasaki sering menjadi pilihan peminat. Lagu-lagu enka, atau lagu asli Jepun juga amat diminati oleh para pendengar. Semakin hari semakin Alisa juga meminati lagu-lagu enka. Tambahan apabila melihat penyanyinya menyampaikannya dengan penuh perasaan dengan memakai kimono yang cantik di kaca TV. Setiap kali mendengar lagu enka di radio, Alisa membayangkan wanita Jepun yang cantik dengan kimono menyanyikan lagu dengan penuh penghayatan.

Lagu-lagu Jepun pula banyak yang menggambarkan cerita pada setiap musim yang dialami. Alisa teruja dengan liriknya yang diterjemahkan oleh Hori san untuk Alisa sampaikan di radio. Banyak juga lagu yang menggambarkan tentang musim luruh. Termasuklah dedaun yang bertukar warna…Terhibur sungguh hati Alisa yang pernah dilukai ketika di tanah air sepanjang bekerja di bumi sakura ini…

CINTA DI TOKYO (part 13) “Yoshimura san, Markoto kun dan Yoyogi Kuen”

“Alisa san, jika ada masa bisa kita ke Yoyogi Kuen?” Panggilan pertama daripada Yoshimura san, teman penerbit dari Seksyen Indonesia masih lagi terngiang di telinganya. Tak sangka wanita jelita tinggi lampai dan puteh melepak itu nak menemani Alisa dan keluarganya keluar.

“Yoyogi Kuen? Apa itu?” Soal Alisa sedikit bingung.

“Taman Yoyogi…taman yang paling besar di Shibuya-ku ini.” Jelas Yoshimura san.

“Bagaimana kita ke sana? Jauh tak dari rumah saya?”

“Ngaklah, sepuluh minit atau lebih sedikit kita berjalan kaki. Alisa san tunggu  di rumah saja ya, dua puluh minit nanti saya lewat rumah anda, dan kita terus ke sana ya!”

Cepat-cepat Alisa bersiap. Anaknya Aini dipakaikan baju yang sesuai. Musim panas, mudah saja nak pilih baju. Nanti jika musim bertukar, payah pula nak pilih pakaian.

Yoshimura san sampai dua puluh minit kemudian. Dia mendukung anaknya. “Ini Markoto, atau panggil saja Marko kun…anak saya.”

“Marko kun?”

“Ya, panggilan anak kecil disebut namanya diikuti dengan perkataan “kun” bagi anak lelaki. Jika anak perempuan dipanggil “chan”, seperti Aini Chan.” Yoshimura san menjelaskan adat dan cara orang Jepun memanggil anak-anak.

“Hai Marko kun?” Markoto tersipu malu. Dia anak yang comel. “Berapa usia Marko kun?” Tanya Alisa.

“Satu tahun.”

Mereka berjalan kaki beriringan, melalui celah-celah lorong kecil dan terus ke jalan besar. Sampai di satu lampu trafik, mereka berhenti dan melintasi jalan apabila lampu bertukar hijau. Jalan ini agak besar. Kenderaan bertali arus. Bas, teksi, kereta, lori dan pelbagai jenis kenderaan lalu di sini. basikal  juga ada. Sepuluh minit lebih berjalan mereka menaiki bukit di bawah pepohon rendang dan besar. Lorong itu agak besar.

Ramai orang berbasikal melalui satu lorong  yang lain. Yang berjalan juga tidak kurang ramainya dan melalui lorong yang lain. “Itu lorong khas untuk yang menggunakan sepeda.” Kata Yoshimura san. “Dalam bahasa Jepang dibilang jitensha” Sedikit demi sedikit Alisa mengingati bahasa Jepun.

Penat juga dia berjalan membimbing anaknya Aini dan Aishah mengikut di belakang. “Jauh ke lagi Yoshimura san?…Saya sudah penat ini.” Keluh Alisa.

“Ngak, cuma sedikit lagi…”Yoshimura san berjalan laju sangat. Walaupun mendukung anak kecil, dia kelihatan tidak penat. Di tangan kanannya membimbit beg kertas. Apa yang dibawanya. Laju sungguh dia berjalan.

Penat Alisa mengejarnya. Kekadang dia mendukung Aini dan kekadang dia berhenti sebentar melepas lelah. Peluh memercik di dahi. Rasanya bajunya kian basah berpeluh. Letehnya rasa kaki dan seluruh badannya. Jelas dia tidak fit seperti wanita Jepun di depannya. Orang-orang Jepun memang berjalan laju.

Permulaan kedatangannya di bumi sakura itu, dia rasa penat sangat. Tambah ketika itu musim panas. Rasa macam didera pula. Jika berjalan dengan Hori san juga begitu. Lajunya mereka berjalan. Alisa tercungap-chungap.

Taman Yoyogi ini memang luas. Saujana mata memandang. Pepohon menghijau besar dan gagah sekali. Daun hijau pekat memenuhi dahan-dahannya. “Inilah pohon sakura. Dalam musim panas, pepohonnya menghijau kerna dipenuhi daun..Musim bunga nanti, tentu Alisa san suka dengan warna sakura yang merah jambu keputihan.”

Mereka duduk di satu kawasan lapang. Yoshimura san menghampar tikar yang dibawa dari rumahnya, tikar plastik. Cepat-cepat Alisa melepas lelah. Aishah juga begitu.

Wanita Jepun itu mengeluarkan sesuatu dari dalam beg plastik yang dibawanya. “Sila makan, ini saya bawa kek yang saya masak sendiri, halal”

“Halal? Anda tahu halal haram?” Soal Alisa pantas.

“Saya pernah ke Indonesia, tinggal di rumah keluarga angkat. Belajar bahasa Indonesia daripada mereka.Mereka beragama Islam. Saya faham orang Islam tidak makan buta niku.”

Buta niku? Apa itu?”

“Daging babi …”

“Ooo…” Alisa dan Aishah menjawab serentak. Mereka ketawa terkekeh-kekeh. Lucu juga rasanya.

Aini mula menyukai Marko. Mereka mula berkawan. Berlari-lari dipadang. Sambil dikejar oleh Aishah. Padang yang hijau itu luas betul. Padang itu berada di tengah-tengah taman yang luas terbentang. Bulatan padang nampak sayup-sayup. Barisan-barisan pohon sakura seperti berbaris-baris dan rendang-rendang di sepanjang tepi padang. Cahaya mentaripun tak boleh mencelah, kerana dedaunnya rapat dan lebat. Di atas padang yang terbentang seperti karpet yang besar, kelihatan cerah dan sedikit panas.

Ramai orang Jepun lelaki wanita, anak-anak dan remaja berlarian dan bermain-main di padang. Ada ibu bapa yang bermain bola dengan anak-anak. Ada yang berguling-guling dan ada yang baring-baring. Ada juga yang berjemur. Yang lenapun ada. Suasana sungguh meriah. Padang Yoyogi bakal menyaksikan pengalaman hidup baru baru bagi Alisa, Aishah dan Aini…Terima kasih Yoshimura san.

CINTA DI TOKYO (Part 12) “Miko dan Hendra”

Pasangan suami isteri ini memang secocok. Mereka ditakdirkan bersama walaupun dari dua bangsa berbeza. Seorang dari Jepun dan seorang dari Malaysia. Miko anak seorang diplomat Jepun yang berkahwin dengan wanita Indonesia ketika berkhidmat di Indonesia. Miko bertemu Hendra ketika bapanya bertugas di konsulat Jepun di Kota Kinabalu. Hendra ketika itu bertugas sebagai pemberita sambilan di sebuah stesen penyiaran di Kota itu. Takdir mempertemukan mereka dua tahun lalu. Sepasang suami isteri yang sungguh secocok. Miko cantik sekali. mempunyai kulit yang halus mulus, berhidung mancung, bermata galak tapi tidak begitu tinggi. Kecil molek tubuhnya. Persis wanita Asia yang lain. Tak ada wajah Melayu daripada ibunya wanita Indonesia, tetapi mewarisi wajah papanya lelaki Jepun.

Hendra orang Kota Kinabalu ini memang kacak. Agak tinggi, berkulit sawo matang, berkumis nipis dan mempunyai hati yang sungguh murni. Pasangan inilah merupakan tetamu pertama Alisa ketika mula berpindah ke rumah Jepun di Tomigaya yang terletak di bandar Shibuya-ku di kota metropolitan Tokyo yang besar itu selain Hori san. Oh, ini rupanya Hendra dan Miko pasangan suami isteri yang disebut-sebut oleh Lokman sebelum Alisa terbang ke Tokyo tempoh hari. “Kalau u ada apa-apa yang nak minta tolong, Hendra memang boleh diharap. Dia sekarang bekerja sementara sebagai penyiar di NHK.” Jelas Lokman.

Hendra dan Mikolah yang banyak membantu Alisa dan keluarganya sepanjang di Jepun selain Hori san. Hendra amat menyukai anak kecil. Aini juga rapat dengannya. Begitu juga Miko. Selalu juga apabila tiba hari minggu mereka membawa Alisa dan anak-anaknya berjalan-jalan di banyak tempat di kota Tokyo dan tempat-tempat lain.

Musim panas itu, mereka membawa Alisa dan anak-anak ke rumahnya yang terletak agak jauh dari rumah Alisa. Mereka menaiki keretapi bawah tanah dan melalui beberapa ‘eki’ atau stesen keretapi . Rumah  kayu yang mereka sewa sedikit kecil daripada rumah Alisa. Namun mereka bahagia. Hari itu, Miko mengajar Alisa menyiapkan makanan Jepun ‘tempura’. Dia siap membeli pelbagai jenis sayuran seperti carrot, asparagus, brakoli, cendawan shitaki dan lain-lain lagi. Tidak ketinggalan udang besar dan ikan yang dipotong nipis sebelum dicelup tepung yang dicampur telur dan digoreng dengan minyak yang banyak (deep fried). Semua digoreng satu persatu. Sebaik masak, terus dimakan dengan mencicah sos kicap yang dibeli oleh Miko di kedai depan rumah mereka. Miko berpesan, “Akak jangan masukkan garam dalam tepung ini ya…kerana nanti kita akan makan dengan kicap. Nanti hilang rasa sedapnya sayur-sayuran dan udang yang segar.”

Mereka makan dengan lahap sekali. Aishah kelihatan gembira sekali. “Cah akan masak untuk mak dan ayah bila balik Malaysia nanti.” Ujarnya riang sambil mencicah tempura dengan kicap. Aini juga suka makan tempura. Alisa lagi suka. Lepas satu satu disuapnya ke mulut. Tak Hairan mengapa dia kelihatan montel, suka makan apa juga masakan.

Akhir musim panas pertama itu juga Hendra dan Miko membawa mereka ke kebun oren di luar kota. Mereka menaiki densya/ keretapi dan lepas itu menaiki bas pula untuk sampai ke kebun oren. Beratus-ratus pokok oren ada di situ, dipenuhi dengan buah-buah oren yang masak menguning. Cantik sangat, dari jauh kelihatan seperti pokok berbunga kuning dan jingga. “Kita bayar 3 ribu yen, dan makan sepuasnya. Kemudian kita beli jika nak bawa balik.” Kata Hendra. Alisa bukan main seronok lagi memetik buah oren. Dari satu pokok ke satu pokok dipetiknya. Aini berlari-lari riang di celah-celah pohon oren yang merimbun. Penat juga Hendra mengejarnya. Mereka ketawa riang. Aishah dan Miko juga gembira dan riang memetik buah oren. Mereka makan sepuas-puasnya. Di kebun oren itu juga ada gerai yang menjual ubi keledek Jepun yang dibakar. Rasanya sungguh manis dan sedap sekali. ‘Nihon Ocha’ atau teh hijau jepun dihidangkan percuma.  Apabila hari hampir petang baru mereka beredar sambil membeli oren. Alisa membeli beberapa kilo untuk dibawa ke NHK dan dibawa balik ke rumah. Dia juga menghadiahkan beberapa kilo kepada Miko yang menolaknya, tetapi cuma mengambil sekilo. “Cuma kami berdua saja di rumah kak. jangan terlalu banyak.” katanya dengan loghat Indonesia. Wanita ini berwajah Jepun, tapi pelatnya sebiji pelat orang Indonesia jati.

Mereka berpisah di eki terdekat dengan rumah Alisa di Harajuku dekat Yoyogi Koen atau Taman Yoyogi, taman terbesar di bandar Shibuya. “Akak telefon saja kami jika nak ke mana-mana.” Kata Miko. Alisa melambai tangannya kepada pasangan bahagia ini. Mereka berpisah dengan kenangan manis yang tidak terhingga buat Alisa dan Aishah, juga Aini yang mula menyukai Hendra dan Miko.

CINTA DI TOKYO (Part 11) “Welcome to NHK!”

Teruja sungguh hatinya hari itu untuk ke tempat kerja barunya…di NHK, Perbadanan Penyiaran Jepun, bekerja sebagai Pakar Bahasa Melayu yang akan bertanggungjawab menentukan popularnya Radio Japan NHK World di seluruh dunia. Awal lagi dia telah bersiap sedia menunggu kedatangan Hori san yang akan membawanya ke sana. Hori san cakap, di antara rumahnya dengan NHK tak jauh, berjalan kaki 10 minit, dengan basikal kurang lima minit. “Within walking distance“. Waktu bekerjanya dari jam 1 tengah hari hingga 9.30 malam. Ada masa untuk menguruskan anaknya ke sekolah nanti…apabila dia didaftarkan di tadika Jepun atau Hoikuen.

Berdebar juga hatinya hari itu. Macam mana tempat kerja nanti? Loceng pintu berdering beberapa kali. Cepat-cepat dia meluru ke pintu, membukanya dan menjemput Hori san masuk. Aishah dan Aini juga sama-sama berlari ke pintu. “Konichiwa….” “Hai, Hori san…please come in” Dia menjemput Hori san. Lelaki muda itu menggeleng kepala. “Let’s go now…It’s almost one now.”

“Bye Aini chan …bye Aishah san.” Kata Hori san. Aini tiba-tiba menjerit.” Nak itu mami…nak ikut mami.” Aishah memujuk anak kecil itu. Dia cepat-cepat mencium dan memeluk anak itu dan melepaskannya segera untuk berlalu pergi. “Ja mata ne, Aini chan.” Hori san menoleh kepada Alisa.”It means see you again.” Hori san menjelaskan.

Mereka melalui lorong -lorong kecil di belakang kedai dan rumah-rumah yang tersusun rapat. Melalui shortcut ke NHK. Lorong belakang itu sungguh bersih. Tak ada walaupun secubit kertas atau sampah. Alisa mengesat-ngesat peluh di dahinya. “I like summer.” Kata Hori san. “I don’t” Cepat Alisa mencelah. Panas ini sungguh merimaskan. Kalau panas di Malaysia rasanya tak rasa melekit begini, fikir Alisa. Mereka bercerita mengenai musim. Hori san menjelaskan nama-nama empat musim dalam bahasa Jepun kepada Alisa. Alisa cuba mengingatinya. Tapi susah juga ya, fikirnya.

Here we are” Bangunan NHK setinggi 8 tingkat tersergam megah. “Our office is at 7th Floor. That’s the International Broadcast Center” Alisa membetulkan tudungnya. Hari itu dia yakin dengan penampilan dirinya, dengan blaus berwarna coklat, dengan vest dan seluar berwarna hitam. Dia memakai tudung bercorak yang dibeli di Mekah dulu, ketika dia mengerjakan umrah tahun lalu. Rasanya dia kelihatan anggun. Berkali-kali dia menanya Aishah apakah dia kelihatan ok. Aishah berkali-kali menyakinkannya, “Cantiklah Mak Ndak. Warna baju dengan tudung matching.”

Mereka menaiki lift dan terus ke tingkat 7. Hori san menunjukkan loker kepunyaan Alisa yang lengkap tertulis namanya di ruang koridor dekat pintu masuk di tingkat 7. Hatinya kian berdebar kencang sebaik melangkah masuk ke ruang pejabat yang luas dan panjang. Ramainya orang di sini. Meja-meja tersusun rapat. Setiap meja ada komputer. Lengkap dengan printernya. Tiga meja disusun sebaris di sebelah kiri. Tiga meja di sebelah kanan. Ada berbaris-baris meja di dalam bilik itu. Dari shiling tergantung label bahagian masing-masing. Ada 22 label bahasa berbeza di ruang yang luas itu hingga ke tepi bahagian kanan. Ruang bahasa Melayu di bahagian paling depan berdekatan pintu di tengah-tengah ruang pejabat itu. Di belakangnya label tertulis “Vietnamese” dan “Myanmar” Di belakangnya tidak ada label.

This is your table and computer.” Hori san kemudian memperkenalkannya kepada semua pekerja di situ. Setiap orang diperkenalkannya. Alisa terus bersalaman dengan mereka. Ada orang India, ada orang Vietnam, Pakistan, Jepun, Arab, Peranchis, German, Kanada, Indonesia dan banyak lagi. Semuanya menyambut kehadiran Alisa dengan wajah cerah ceria. Alisa berasa dirinya sungguh dihargai. Khususnya apabila disambut dengan hangat sekali oleh rakan dibahagian India, Pakistan dan Indonesia. “This is Watanabe san, our head.” Watanabe san bangun dan menundukkan kepalanya. “Welcome to NHK Alisa san.” Lelaki Jepun itu kelihatan agak serius, tetapi tampan. Tidak bercakap banyak. Alisa rasa dia dapat bekerja sama dengan semua di situ nanti. Kerana semuanya kelihatan baik-baik belaka.

Sampai di meja Indonesia, dia diperkenalkan kepada Murai san dan Yoshimura san. “Selamat datang Alisa san. Jika ada apa-apa nanti, silakan ketemu saya. ” Yoshimura san, wanita Jepun yang tinggi lampai dan berhidung mancung menyapanya manis. Bahasa Indonesianya jelas dan kedengaran seperti tutur orang Indinesia sendiri. Tak ada cacat celanya. Begitu juga Murai san. Alisa kagun sekali. “Terima kasih” Alisa menjawab mesra. “Pak Franz , specialist bahasa Indonesia ngak datang hari ini, ada urusan liputan di luar.” Katanya lagi. Dia terus berkenalan dari satu unit ke unit yang lain.

Akhir sekali dia dibawa ke ruang pejabat pentadbiran untuk menyain kontrak. “Uchimura san” Perkenal Hori san kepada seorang wanita tinggi lampai dan kurus cantik. Wanita ini bertanggungjawab atas urusan kontrak dan semua urusan gaji dan hal ehwal pentadbiran untuk semua specialist dari negara asing di situ.

Alisa diminta membaca kontrak dengan berhati-hati. Satu demi satu paragraf diteliti dan dibacakan oleh Uchimura san untuknya. Dia benar-benar faham. Paling dia ingat tentang gajinya, elaun dan keistimewaannya. Sebulan gaji 560,000 yen…kira-kira 16 ribu ringgit. Elaun rumah kira-kira 5 ribu ringgit.Kerja lebih masa sejam kira-kira 100 ringgit. Lumayan. Dia betul-betul bersyukur dengan nikmat Allah yang dikurniakannya kepadanya seorang ibu tunggal beranak satu ini.

Ketika nak menyain kontrak, dia tiba-tiba merasa malu. Kuku-kuku dijari jemarinya agak kotor sedikit. Tadi dia berhasrat nak memotongnya, tetapi tiba-tiba kerana terlalu kalut bersiap, dia lupa. Mana tidaknya sejak sampai di sini dia terlupa memotong kuku di jari kerana terlalu sibuk mengemas dan mencuci rumah. Ada habuk-habuk di celah kukunya. Tambahan dia uzur daripada bersolat. Dia paling tidak suka jika kukunya kotor, walaupun sedikit. Janganlah Uchimura san tengok kuku aku ini. Dia berdoa. Di tahannya malu. Syukur sesi menyain kontrak akhirnya tamat. Dia merasa lega. Lebih melegakan kerana dia diberikan elaun selamat datang dan elaun pindah yang mencecah 20 ribu ringgit selepas itu. Sekali lagi dia memanjatkan syukur kepada Ilahi. Rezekinya di bumi sakura ini lumayan sungguh. Dia terfikir.

Masa berlalu, hari pertama dilalui dengan kegembiraan di hati. Esok bermula episod baru dalam hidupnya..”Otskaresamadesuta” Hori san memberi ucapan perpisahan. “Ja mata ne” Balas Alisa riang. Dia cuba menggunakan bahasa Jepun yang baru dipelajarinya. Ucapan itu bermaksud jumpa lagi, dipelajari daripada Hori san ketika saling berbalas email, sebaik saja Alisa mendapat tahu dia diterima bekerja di Jepun.

CINTA DI TOKYO (Part 10) “Shopping sakan”

“Aku ingat kat Jepun ini taklah hujan lebat gila macam kat Malaysia tu, rupanya lebih gila lagi pulak.” Rungut Alisa dalam hati. Hari-hari hujan. Musim panas dan musim hujan di Jepun macam sebati tiap tahun. “Alisa san, you have to monitor the weather report every day .” Pesan Hori san berkali-kali. “How?” Soal Alisa. “Watch TV or listen to radio.”  Jawap Hori san pantas. Malu pula Alisa, kerana menunjukkan kebodohan dirinya.

“But I don’t have both set at home!” ‘Well, we go shopping tomorrow. You and me.” Dia baru saja menerima elaun pindah dari NHK  tengah hari tadi ketika dia melapor diri. Bagus juga di sini. Lapor diri dapat elaun. Bukan sedikit. Hampir dua puluh ribu ringgit. Jika dicampur dengan elaun rumah lima ribu, dah 25 ribu. Jika ditambah dengan elaun lebih masa, alhamdulillah dah jadi hampir 28 ribu ringgit. Lumayan di sini. Di banding di tanah air, berapa sangat dia dapat sebagai pegawai kerajaan kumpulan A sepertinya? Semua ini anugerah Allah buat aku…fikirnya.

Hori san membawanya mencari barangan elatrik di Shibuya-ku. Kedai-kedai eletriknya besar-besar belaka. Mula-mula mereka pergi ke Tokio Hand. Ada empat atau lima tingkat semuanya. Tiap tingkat dipenuhi dengan barangan berbeza. Pakaian di satu tingkat khas, peralatan rumah di tingkat lain, peralatan dapur di bahagian lain. Barangan eletrik di tingkat lain. Kemudian mereka pergi ke kedai lain pula. Meninjau dari satu kedai ke satu kedai eletrik yang lain. Beli hari ini, esok baru dapat. Lambatnya dapat barang ini. Kalau di Malaysia hari itu beli, hari itu dapat. Kenapa lain di sini? Hairan juga. Tapi entah kenapa dia lupa nak tanya Hori san kenapa.

Dia memilih dan terus memilih dari satu  barangan ke barangan lain. Air cond, seterika, radio, TV, mesen basuh, telefon dan dapur ketuhar. Hori san tetap setia menjadi teman shoppingnya. Juga menjadi jurubahasa kepada Alisa. Seronoknya tiap kedai yang dimasuki semua jurujual meneriak “Iraishemase…”Sementara di kaunter bayaran mereka meneriak “Arigato gozaimasu.” Serentak pulaktu. Seronok mendengarnya. Bagaikan irama yang merdu dan menghiburkan. Apa maksudnya? “Iraishemase maksudnya selamat datang. Arigato gozaimasu maksudnya terima kasih banyak.” Tak jemu Hori san mengajarnya bahasa jepun. Disiplin betul orang Jepun. Para penjual tidak pernah bermasam muka. Bekerja dengan riang. Walaupun cuaca panas terik dan peluh memercik.

Susah juga shopping di sini. Satu perkataanpun aku tak faham. Semuanya dalam bahasa Jepun.Aku pulak tak sempat nak belajar bahasa Jepun. Nasib baik ada Hori san. Fikir Alisa.,

“You can understand Japanese soon. We are organising a Japanese class for all the specialist at NHK. So you don’t have to worry about that Alisa san.” Kata Hori san yang nama sebenarnya Ketsuke Hori. Katanya Ketsuke Hori maksudnya parit besar mengelilingi kampung yang luas dan hijau subur. Di baca daripada tulisan kanji. Kata Hori san ketika menerangkan kepada Alisa maksud namanya. Jujur sungguh Hori san. Tidak pernah lokek tentang apa juga ilmu.

Penat benar kakinya mengatur langkah. Cuaca yang panas menambah penat lagi dirinya. “We will shop again tomorrow.” Kata Hori san. Banyak lagi barang yang belum diperolehi. Walau apapun, pengalaman bershopping barang eletrik sekali banyak begini belum pernah dilalui sebelum ini. Maklumlah dia bukan senang nak beli sekali gus begitu. Mahal berbelas ribu ringgit.

CINTA DI TOKYO (Part 9) “Tikar Tatami”

Sehari saja Alisah dan anak-anaknya tinggal di Hotel di Shibuya-ku. Hotelnya terlalulah sempit. Nak bergerakpun rasanya payah. Nasib baik sehari saja mereka di situ. Tak sanggup rasanya mereka berlama-lama di ruang sempit itu. Tidak seperti rakan-rakan specialist yang lain, tinggal di hotel berbulan-bulan sementara mendapatkan rumah kediaman.

Dia beruntung kerana dari awal telah bersetuju mengambil tempat tinggal Lokman pegawai yang sebelum ini bertugas di NHK dan kini telah balik ke Malaysia. Seronoknya kerana Lokman mengambil rumah sewanya di Langkawi, Alisa mengambil tempat Lokman di Tokyo. Bukan mudah perkara sebegini terjadi…semuanya ketentuan Ilahi belaka.

“You ambillah bantal, carpet eletrik, pinggan mangkuk aku kat rumah itu Liss.” Kata Lokman melalui telefon sebelum dia terbang ke Tokyo dan Lokman balik ke Malaysia setelah empat tahun berkhidmat di sana.

“Kau pula boleh gunakan air cond aku, meja dan kerusi makan aku, dan langsir baru akupun kau ambiklah Lok” kata Alisa.

“Oh ya, aku ada tinggalkan peti ais untuk kau kat sana.” Kata Lokman. Kiranya mereka seperti bertukar-tukar barang. Kenapa Lokman tak bawa peti ais ke Malaysia? Dia terfikir. Entahlah…

Anehnya rumah itu tidak ada pendigin udara, sedangkan cuaca panas ini seperti menggigit-gigit kulitnya.

I need the air cond, no matter what, Hori san.” Ujar Alisa sebaik saja memasuki rumah Jepun bertikar tatami itu. Rumah kotak itu dibahagi empat. Satu ruang tamu, satu ruang dapur, satu ruang bilik tidur dan satu ruang bilik air, tandas dan tempat mesen basuh kain. Ada enam pintu di dalam rumah itu, satu dari ruang masuk terus ke ruang bilik air, satu terus ke dapur, satu ke ruang tamu, satu dari ruang tamu ke luar mengadap bukit belakang rumah, satu di ruang tamu ke bilik tidur dan satu dari bilik tidur ke ruang bilik air atau tandas. Pintu sorong di dalam rumah diperbuat daripada papan yang ringan dan dibaluti dengan wall paper. Tapi wallpapernya banyak yang koyak? Di bahagian bawah saja…

Alisa san, don’t worry. We will change the wallpaper soon.” Jelas Hori san. “Lokman san has got a cat.” Oh, patutlah wallpaper ini koyak rabak. Fikir Alisa.

Sebaik saja Hori san beredar pergi selepas menolong mengangkat beg-beg besar masuk ke rumah itu Alisa dan Aishah berpandangan mata. Tiba-tiba mereka ketawa besar. Lucu kerana apa yang disangka selama ini di luar dugaan.

“Keciknya rumah ini mak ndak” kata Aishah.

“Tak apelah, kita belajar hidup cara Jepun ya. “Kata Alisa sambil tersenyum. Hatinya riang walaupun ruang rumah papan dua tingkat itu sempit dan kecil. Gelihati pun ada “Tapi banyak almarilah’, kata Aishah.

Almari ini luas. Ada dua tingkat, di dalam ada banyak tilam lipat, selimut dan carpet eletrik. Pintu sorongnya mudah dibuka dan boleh dicabut keluar.

“Seronoknya duduk rumah ini.” Aini yang baru belajar bercakap, tiba-tiba bersuara. Mereka ketawa dan terus ketawa. Aini berguling-guling di atas tikar tatami yang memenuhi setiap ruang rumah kotak kecil itu. Alisa duduk melepas lelah, setelah memunggah pakaian dan dimasukkan ke dalam almari itu. Aishah bernyanyi riang…

“Tengok pintu ini, banyaknye…boleh gi sana, gi sini…” Kata Aishah. “Syok juga ye.” Mereka terus ketawa sambil melepas lelah di atas tikar tatami yang kelihatan baru dipasang. Bau tikar menusuk hidung. Bagusnya tikar ini sedap dipijak, licin dan halus buatannya. Disusun berkotak-kota melintang dan membujur. Cantik pulak susunannya. Ada seni estitika tersendiri. Hari itu mereka tidur awal sekali. Kepenatan. Namun panasnya cuaca musim panas ini tidak tertahankan. Alisa membasahkan tuala kecil dan mengelap-lap seluruh badan anaknya. Kekadang dia ke bilik air untuk membasuh muka dan membasahkan badannya dengan percikan air paip. Tidak sedar pula bila mereka bertiga terlelap.

Esok paginya, Alisa rasa sesuatu di kerongkongnya. Terasa sakit yang amat sangat. Dia mula terbatuk-batuk. Rupanya dia alah dengan tikar tatami. Batuknya semakin menjadi-jadi. Namun dia redha. Kehidupan baru ini memang aneh, tapi amat menyeronokkan.

Lusa Alisa akan melapor diri di NHK…Bagaimana agaknya bekerja di stesen radio antarabangsa nanti?

CINTA DI TOKYO (Part 8) “Hori san…”

Bandar Shinjuku di Tokyo telah dimasukinya. Huh hebat sungguh bandar ini. Di sepanjang jalan, kelihatan ada saja orang berjalan kaki, berbasikal dan berkereta. Semakin dia memasuki pusat bandar, semakin sesak bandar ini dengan bangunan-bangunan tinggi dan rapat-rapat. Jejantas dan laluan bertingkat sama tinggi dengan bangunan berpuluh tingkat. Laluan bertingkat itu nampaknya berputar dan berbelit. Nun jauh di bawah sana, rumah-rumah Jepun kelihatan kerdil dan comel. Bersesak dan rapat-rapat. Bangunan-bangunan tinggi juga tersusun rapat.

Bas yang dinaikinya bergerak semakin perlahan. Kenderaan semakin bersesak-sesak. Dia melihat jam…wah, dah dekat empat jam tak sampai lagi. bukan kerana jauh, tapi kesesakan di jalan raya di kota Tokyo ini. “From Shinjuku, I will take you to Shibuya-ku.” Dia masih ingat kata-kata Hori san melalui telefon tempoh hari.

Hori san baginya seorang lelaki yang amat sopan. Dia mengenali Hori san ketika menjalani temuduga untuk mendapatkan jawatan hebat di NHK ini. Hori san yang menjalankan ujian suara, ujian bertulis dan temuduga bersemuka ketika di KL empat bulan lalu.

Welcome to Tokyo Alisa san!” Terpacul wajah tampan Hori san sebaik saja bas berhenti dan pintu bas terbuka. “How’s the trip?”.

“The trip was ok, but the weather is too hot over here compared to KL” Rungutnya tentang cuaca musim panas di Jepun kepada Hori san. Alisa kedengaran agak kesal.

Jejaka Jepun itu tersenyum. “Yes, it’s almost 40 degrees centegrate today!” Kata Hori san. Patutlah panas sangat. Air cond dalam bas bagaikan tak cukup untuk mengurangkan kehangatan cuaca itu. Hori san mengangkat beg-beg besar milik Alisa ke dalam dua buah teksi yang menunggu. Dia masih ingat, Hori san terkejut sangat kerana dia membawa lima buah beg besar yang teramat berat. Mana tidaknya. Dia terpaksa bayar excess luggage sehingga hampir 3 ribu ringgitlah.

I have read in the internet, that a big size woman like  me can’t get big size clothes  easily here in Japan…That’s why I brought lots of clothes from Malaysia” Celah Alisa tersipu.

‘Really? But you are not that big” Hori san mengambil hatinya kot? Fikir Alisa. Mereka ketawa bersama.

Aini chan, Aishah san! Ogengi desuka?” Tegur Hori san. Aini memeluk Alisa. Aishah bersalaman dengan Hori san. Mata Hori san terpaku melihat Aishah  yang cantik. Aishah tersipu malu.

Alisa san, Aishah  san is very beautiful…very beautiful…kawai desio.” Kata Hori san beberapa hari selepas itu. Bangga juga hati Alisa mempunyai anak buah yang cantik begitu. “Aini chan comel sangat.” Itu kata-kata pertama Hori san tentang Aini. Pandai juga dia berbahasa Melayu.

Di Jepun ini orang yang paling rapat dengan Alisa selain Aini dan Aishah ialah Hori san. Hori san temannya, Hori san sahabatnya dan Hori san penerbit di NHK yang amat baik, sopan, berbudi bahasa itu banyak membantu Alisaa menyesuaikan diri di kota metropolitan itu. Setiap kali berjumpa sesiapapun, dia akan menunduk nunduk. Kenangan bersama Hori san yang baik tidak akan dilupakan hingga akhir hayatnya, kerana pemuda Jepun ini teramat baiknya dan sedia membantunya bila-bila masa saja…Hori sanlah yang menjadi “kawan baik” Aini selepas itu dan hingga beberapa tahun di Jepun. “Aini chan kawan baik saya yang paling kecil!” Kata Hori san satu hari ketika dia bermain dan berguling-guling dengan Aini yang berusia dua tahun setengah itu di atas tikar tatami di rumah Jepun Alisa ketika menghantar sekampit beras yang dia tolong belikan untuk Alisa pada hari ketiga mereka sampai di Tokyo dalam musim panas pertama di negeri sakura itu.

CINTA DI TOKYO: Part 5: Musim sejuk …

Sebaik saja tangannya menyentuh air untuk mensucikan diri setelah menunaikan panggilan hajat kecil, kebas rasanya seluruh tangan kirinya. Aduh…Nasib baik air panas dicampurkan. Kalau tidak, aduh, macam mana agaknya.  Selesai saja mengambil wuduk, cepat-cepat dicapainya tuala kecil yang tersangkut di ampaian kecil bersebelahan ruang sempit menempatkan sinki dan cermin muka. Ish, ruangan ini sejuk sungguh. Kalau di dalam bilik, siap dipasang alat pemanas seperti selimut eletrik, karpet eletrik dan alat pemanas udara, daripada alat pendidingin udara, yang bertukar fungsi dalam musim sejuk menjadi alat pemanas, tapi di ruang kecil selebar empat kaki dengan panjang tujuh kaki ini, sejuk yang teramat sangat…Nasib baik tuala kecil ini ada tersidai diampaian kecil bersebelahan sinki.  Mudah juga tinggal dirumah sempit Jepun ini, semuanya boleh dicapai dengan tangan. Sungguhpun sempit, namun kemudahan dan ‘finishing tauch’nya semuanya sempurna. Sebab itu agaknya harga sewa rumah di sini mahal? Selain berada di tengah-tengah kota Metropolitan Tokyo, rumah kecil yang dibuat daripada papan ini lengkap segala-galanya. Hmmm, tak hairanlah sewanya mencecah 125,000 yen…kira-kira RM 4,200 sebulan. Kalau di Malaysia harga sebegini dah boleh duduk rumah banglow, detik hati Alisa.

 

Tiba-tiba dia terdengar suara Aini menangis…Lamunannya terhenti. Secepat kilat dia berjingkit masuk melalui pintu pertama dari ruang pintu masuk depan ke dalam bilik. Ditepuk-tepuknya punggung anak comel itu. “Shhh, tidur, tidur, mami ada di sini…tidur ya sayang.” Bisiknya. Cahaya lampu dari ruang depan dan dapur menyuluh pipi monggel anak comel itu. Nasib baik terlena balik anak kecil berusia 2 tahun setengah itu. “Alhamdulillah”.

 

Dia melangkah perlahan ke ruang tamu. Dibentangnya sejadah, dan dicapainya telekung. Subuh kian meninggi. Dia mengangkat takbir menunaikan solat subuh di pagi yang dingin. Dia berdoa panjang-panjang, agar hari-hari yang mendatang akan membawa sinar dalam hidupnya bersama-sama anaknya yang masih kecil.

 

Ya Allah, ampunlah dosa-dosaku, kedua ibu bapaku dan dosa muslimin dan mulismat. Ampunkan dosa anakku. Kurniakan kehidupanku yang lebih bahagia di rantau ya Allah” bisik hatinya. “Aku bermohon kepadamu, agar kebahagiaaan ini dipanjangkan hingga bila-bila…”

 

Selepas berdoa, Alisa teringat kepada Aishah…Mahu digerakkan gadis manis berhidung mancung dan bermata galak itu bangun bersembahyang. Tapi tiba-tiba dia teringat, kata Aishah siang tadi, dia uzur. Biarkanlah dia tidur, tambahan dalam cuaca yang dingin hingga ke tulang sum sum ini. Fikirnya. Teringat pula Alisa kepada rasa yang berbunga ketika melihat salji memutih dalam kedinginan subuh yang masih kelam. Dia menjengok sekali lagi ke luar rumah melalui tingkap cermin di kepada tidurnya. Aduh, cantiknya alam maya ciptaan Allah…Terasa bagaikan mahu saja dia berlama-lama disitu, namun Alisa tiba-tiba terasa sejuk mencengkam diri. Cepat-cepat ditariknya langsir yang terselak luas. Cepat-cepat juga ditutupnya tingkap cermin itu.